my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 10

BAHAGIAN 10

JUNE memerhatikan Atiqah yang bersiap-siap mahu keluar dengan membawa unit sistem di tangan.

“Kau nak ke mana malam-malam macam ni Iqa?” June merenung Atiqah yang duduk di sofa. Dia sedang memikirkan sesuatu.

“Aku nak hantar benda ni pada Nik Arif.” Atiqah berkata perlahan, merenung June yang sedang menonton televisyen.

June merenung Atiqah dan kemudian merenung unit sistem yang berada di pangkuan Atiqah.

“Nik Arif punya?”

Atiqah mengangguk. Dia memang malas berjumpa Nik Arif apatah lagi mahu bercakap dengan lelaki tersebut. Kalau tidak kerana terpaksa hari itu, Nik Arif tidak akan bercakap dengannya.

“Kau betulkan?” Tanya June lagi.

Atiqah mengangguk lagi. Dia benar-benar malas mahu menghantar unit sistem tersebut tetapi bila mengenangkan yang Nik Arif meminjam unit sistemnya, dia tidak ada pilihan. Dia terpaksa bertemu lelaki itu. Dia mahu menelefon Nik Arif untuk memberitahu yang dia mahu menghantar unit sistem tersebut. Kalau Nik Arif tidak ada lagi bagus. Tentu Hajah Mimah ada di rumah. Ketika dia balik tadi dia tidak nampak kereta Hajah Mimah. Tetapi sekarang, mungkin Hajah Mimah sudah balik.

“Habis, kenapa kau macam orang bingung aja... Pergilah hantar! Kalau tak mahu, mari aku hantarkan.” June menawarkan diri sambil menghulurkan tangannya.

Atiqah merenung June, kemudian tersenyum. Dia tahu June memang mencari peluang untuk berjumpa dengan Nik Arif. Lagi bagus! Dia memang malas berjumpa Nik Arif. Apatah lagi mahu melihat muka lelaki tersebut.

“Boleh juga, nanti kejap.” Atiqah berkata girang. Dia bangun untuk mengambil kertas dan pen yang berada di sebelah meja telefon lalu menulis sesuatu.

“Kau bagi kertas ni pada Nik Arif. Nanti dia faham. Terima kasih banyak-banyak June.” Atiqah menyerahkan unti sistem kepada June yang sudah bersedia di muka pintu.

June membaca kertas yang ditulis oleh Atiqah namun dia tidak faham akan biji butirnya. Kemudian dia keluar dengan wajah girang.

Atiqah masuk ke dalam bilik. Ada beberapa buah komputer yang mahu dibetulkan yang diambilnya dari Fuad dan juga Dahlia. Namun baru beberapa minit dia menghadap salah satu komputer yang berada di dalam biliknya, telefon tiba-tiba bordering nyaring.

“Iqa, Nik ni. Iqa datang sini sekejap boleh?”

Atiqah menepuk dahi. Dia mengeluh.

“Hah... kenapa Encik Nik?”

“Nik langsung tak faham apa yang Iqa tulis ni. Pasal unit sistem yang Iqa nak upgrade dan kemudian Nik tak tahu nak pasang balik komputernya. Mana Nik tahu.”

Atiqah mengetap bibir. Kalau diikutkan, dia memang malas berjumpa Nik Arif namun unit sistem tersebut mesti dipasang untuk membawa balik unit sistem yang dipinjamkannya kepada Nik Arif tempoh hari. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Esok-esok bolehkan Encik Nik?” Atiqah berkata perlahan namun apabila mengingatkan June berada di rumah Nik Arif, dia cepat-cepat menyambung kata, “Tak apalah, saya datang sekejap lagi,” lantas meletakkan telefon.

Dia mencapai tudung, merapatkan pintu hadapan rumahnya dan berjalan perlahan ke rumah Hajah Mimah. Kalau June ada tentu dia tidak perlu bercakap dengan Nik Arif. Dia boleh membuat kerjanya dan Nik Arif tentu akan leka berbual dengan June.

Atiqah member salam. Terjengul Nik Arif di muka pintu.

“Hai Iqa, masuklah!” Girang suara Nik Arif kedengarannya.

Atiqah masuk perlahan-lahan. June sedang duduk di sofa menonton TV.

“Mak cik mana?” Tanya Atiqah perlahan.

“Mak jumpa kawan-kawan pencen dia.”

Atiqah menggeleng seraya melemparkan senyuman pada June yang mengangkat kening.

Atiqah berjalan perlahan ke bilik bacaan Nik Arif. Dia melihat unit sistem yang June hantar sebentar tadi berada di situ. Dia tunduk dan menarik wayar yang berada di unit sistem yang dipinjamkan pada Nik Arif.

“Nik tak faham langsung apa yang Iqa tulis ni...”

Atiqah hampir meloncat terperanjat kerana suara tersebut begitu dekat di telinganya. Atiqah mengurut dada.

Nik Arif ketawa kecil melihat reaksi spontan Atiqah.

“Kenapa ni, hem... Iqa, Iqa. Terperanjat ke?”

Atiqah mngesat hidungnya. Dia betul-betul terkejut. Dia langsung tidak perasan bila Nik Arif berada di sebelahnya.

“Encik Nik punya unit sistem out dated sikit. Kalau encik bagi saya upgrade, saya bleh tolong upgrade. Upgrade RAMnya, CPU dan juga hard disknya.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif mengerutkan dahi, kemudian ketawa.

“Iqa takut Nik tak bayar? Iqa tahu pasal komputer, tambah ajalah. Apa kena dengan komputer Nik ni Iqa?” Tanya Nik Arif.

Atiqah menjenguk ke ruang tamu. June masih berada di situ, menonton. Dia tidak mahu June membuat apa-apa prasangka terhadapnya.

Windows dia yang problem, saya dah format dan download semula. Data di dalamnya masih ada lagi. Tapi saya dah susun fail-failnya semula. Jangan bimbang.” Atiqah berkata tenang. Dia kurang senang Nik Arif melihat dia bekerja. Dia lebih senang membuat kerja sendirian di situ.

“Bila Iqa nak upgrade komputer Nik ni?” Tanya Nik Arif apabila melihat Atiqah diam selepas itu. Atiqah memang rajin bercakap tetapi setiap kali bercakap, Atiqah tidak memandang mukanya.

“Nantilah saya beritahu. Tapi kalau upgrade semuanya mahal sikit, mahu dalam enam tujuh ratus.”

Gadis itu sudah selesai menyambung segala wayar yang ada. Dia kemudian menghadap komputer tersebut, memeriksa satu per satu proram yang ada. Nik Arif mengambil kesempatan itu untuk meneliti wajah Atiqah dari dekat. Cantik juga, desis hatinya.

“Dah okey semuanya, boleh dipakai. Insya-Allah.” Atiqah berkata sendiri. Matanya masih tidak berganjak dari skrin komputer.

“Ada guarantee ke.. berapa tahun?” Nik Arif mengusik sambil tersenyum. Dia meletakkan tangan dan dagunya di atas monitor. Wajah Atiqah direnungnya lama. Meneliti wajah Atiqah dengan mata lelakinya.

Atiqah menjadi serba salah. Mukanya serasa panas berbahang. Malu! Kenapa Nik Arif merenungnya? Dia tiba-tiba teringat bagaimana dia mendengar Nik Arif merendah-rendahkannya suatu ketika dahulu. Prasangka menujah hatinya.

“Berapa Nik kena bayar ni?” Nik Arif terus-terusan mereung wajah Atiqah.

Atiqah menelan air liur.

“Tak payahlah Encik Nik. Tak ada benda yang mahu diganti. Kalau ada nanti , saya minta bayaran.” Atiqah menggagahkan dirinya merenung wajah Nik Arif yang masih lagi tersenyum merenungnya.

“Kalau tak mahu bayaran, esok kita keluar makan. Nik belanja Iqa.” Nik Arif membuat usul.

Atiqah menggeleng.

“Kenapa? Tak sudi atau Nik tak layak keluar dengan Iqa?”

Atiqah terkedu.

Aku sebenarnya yang tak layak keluar dengan kau atau kau yang tak layak keluar dengan aku, Atiqah berkata pada dirinya sendiri. Kalau setakat menghantar makanan ke rumah Nik Arif dia sudah dituduh perempuan gatal, apatah lagi mahu keluar dengan Nik Arif. Entah apa pula yang bakal Nik Arif tuduh nanti.

“Hei! Dah okey ke?” June berkata manja sambil berjalan menuju kea rah Nik Arif.

Nik Arif cepat-cepat mengangkat tangan dan dagunya. Dia tersenyum pahit pada Atiqah.

“Apa yang rosak Nik?” Tanya June

Nik Arif mengangkat kening.

“Tanya doktor pakar bedah kita, manalah I tahu apa yang rosak! I bukan pandai sangat pasal komputer ni.” Nik Arif ketawa kecil kemudian keluar diikuti oleh June.

Atiqah menutup komputer dan berkemas untuk dibawa pulang. Dia mendengar bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah. Tentu itu Hajah Mimah, detik hatinya. Tidak lama kemudian dia mendengar suara orang memberi salam.

“Hai Iqa, bila sampai?” Hajah Mimah terjengul di muka pintu bilik bacaan.

Atiqah tersenyum lembut merenung Hajah Mimah.

“Cantik mak cik malam ni. Nak pergi mana ni, kalah Mak datin!” Atiqah mengusik.

Hajah Mimah ketawa. Wajah Atiqah direnungnya lembut.

“Jumpa kawan-kawan masa jadi cikgu dulu. Mak cik ingat nak ajak Iqa tapi jenguk-jenguk Iqa tak keluar pun.”

Atiqah tersenyum mesra. Dia sudah menutup komputer dan mengangkat unit sistem komputer.

Bersedia untuk pulang. Hajah Mimah mendekati Atiqah dan berbisik sesuatu pada gadis itu.

Atiqah ketawa kecil.

“Mari masuk ke bilik mak cik. Mak cik nak suruh Iqa pilih mana satu yang cantik. Nanti Nik Arif tahu dia bising, dia cakap mak cik buang duit aja.”

Atiqah mengekori Hajah Mimah. Tersengih pada Nik Arif dan June yang berada di ruang tamu.

“Pilihkan mak cik yang mana satu, Iqa.” Hajah Mimah mengunjukkan sebuah kotak pada Atiqah. Atiqah meneliti isi kotak tersebut lantas membelek-belek beberapa bentuk cincin.

“Solitare ni cantk mak cik, sesuai dengan jari mak cik. Lagipun solitare memang ada nilai sikit.” Atiqah mencadangkan.

Tersengih-sengih Hajah Mimah menyarungkan cincin tersebut ke jarinya. Kemudian dibelek-beleknya cincin tersebut.

“Betul cantik ni Iqa?” Tanya Hajah Mimah meminta kepastian.

Atiqah mengangguk mengiakan.

“Berapa ni mak cik?” Tanya Atiqah sambil tersenyum melihat kegirangan Hajah Mimah.

“Dua ribu lapan ratus. Murahkan?”

Atiqah membeliakkan matanya, kemudian ketawa. Baginya dua ribu lapan ratus adalah terlalu mahal bagi sebentuk cincin yang begitu kecil. Namun apalah maknanya wang ringgit andai tidak boleh membeli kegembiraan. Jika itu boleh menggembirakan wanita itu, biarkanlah...

“Bolehlah mak cik. Cantik! Tak boleh kurang ke mak cik?” Atiqah memandang penuh kagum.

Hajah Mimah menggeleng.

“Okeylah harganya Iqa, tiga kali bayar ni. Kalau dekat kedai entah dapat ke tak.” Wanita itu masih tekun membelek-belek cincin dijarinya.

Di luar, di ruang tamu, Nik Arif sedang memikirkan apa yang dilakukan oleh Atiqah dengan emaknya. Terdengar juga suara mereka ketawa. Dia dapat melihat keakraban hubungan antara Atiqah dengan emahnya. Serasa amat sukar untuk dipisahkan. Bukan setakat hubungan antara tuan rumah dengan penyewa.

“Apalah Iqa dengan mak buat tu!” Dia seolah-olah bercakap sendirian.

June yang berada di sebelahnya ketawa. Telapak tangannya diletakkan dipaha Nik Arif tanpa segan silu.

“Alah... Iqa memang macam tu, suka layan mak cik. Tengoklah tu! Dia nak pikat you, dia pikat mak you dulu.” June menjawab sambil tersenyum manja.

Nik Arif tersenyum kelat.

Dia tidak pasti apa tujuan June berkata begitu. Lagipun dia tidak nampak tanda-tanda gadis itu mahu memikatnya. Cakap-cakapnya begitu tegas dan tenang. Tidak manja dan meleweh seperti June.

“Dia ada boyfriend?” Tanya Nik Arif tiba-tiba.

June membeliakkan matanya, menampar paha Nik Arif sambil ketawa.

“Siapa... mak you ke, Iqa?”

Nik Arif tersenyum, geli hati.

Dia merenung wajah June. June agak cantik tetapi tidak pernah tanpa make up. Atiqah pula dilihatnya tidak pernah bermake up. Dia tidak tahu kenapa dua tiga hari ni dia asyik teringatkan Atiqah. Kadangkala dia menjenguk-jenguk ke rumah sewa Atiqah dengan harapan dapat melihat Atiqah.

“Kenapa dengan you ni, you sukakan Iqa?” June menepuk paha Nik Arif. Pertanyaannya berbaur cemburu.

Nik Arif menggeleng perlahan-lahan. Tidak pasti.

“Alah dia tu bukan ada boyfriend. Lelaki pun takut nak dekat dengan dia. Tengoklah... selekeh aja.” Komen June.

Nik Arif tidak suka mendengarnya. Atiqah tidak selekeh tetapi gadis itu ringkas. Tidak memakai perhiasaan kecuali sebentuk cincin berbatu kecil di jarinya yan runcing, tidak bermake up tetapi wajahnya sentiasa segara. Bibirnya merah.

Kenapa tiba-tiba memikirkan Atiqah? Dia menarik nafas.

“Boleh mak cik, nanti Iqa ikut.”

Nik arif mengangkat mukanya. Dia melihat Atiqah sedang memeluk bahu Hajah Mimah dengan mesra. Mereka begitu ceria keluar dari bilik Hajah Mimah.

“Balik dululah mak cik.” Atiqah berkata sambil minta diri pada Nik Arif yang merenungnya dengan pandangan tajam.

June bangun apabila Atiqah sudah mahu keluar. Dia merasa kurang selesa dengan kehadiran Hajah Mimah.

“Apa yang mak suka sangat dengan Iqa tadi tu mak?” Nik Arif bertanya sambil menjeling emaknya yang sudah duduk menyandar di sofa. Penuh dengan perasaan ingin tahu.

“Itu hal mak dengan dia, kamu jangan masuk campur.” Ejek Hajah Mimah.

Nik Arif merenung emaknya yang tenang. Hatinya meronta-ronta mahu tahu.

“Alah... ni mesti ada apa-apa ni. Bukan main lagi. Dia nak ikut emak pergi mana?” Nik Arif masih berusaha mengorek rahsia kedua-dua wanita itu.

Hajah Mimah mencebirkan bibirnya.

“Kamu ni macam mata-mata gelap, kenapa?”

Curious mak. Kenapa dia mesti baik sangat dengan mak?” Tanya Nik Arif.

“Hai, dia baik dengan mak pun salah? Kenapa dengan kamu ni! Kamu ingat dia baik dengan mak sebab dia nakkan kamu ya?”

Nik Arif tersengih mendengar serkap jarang emaknya itu.

“Yalah... bukan main suka lagi mak dengan dia. Pelik juga Nik.”

Hajah Mimah tidak menjawab. Malas dia hendak melayan Nik Arif. Atiqah yang banyak membantu pun dikata begitu begini. Dia tidak mahu mendengar lagi.

“Apa yang kau buat dengan mak cik dalam bilik dia tadi Iqa?” Tanya June ketika mereka sudah sampai di rumah.

Atiqah tidak menjwab. Dia masuk ke dalam biliknya. Meletakkan unit sistem yang dibawanya di atas katil kemudian membuka tudungnya.

“Ini mesti ada apa-apa ni?” June masih tidak berpuas hati. Dia mengekori Atiqah masuk ke dalam bilik gadis itu.

“Tak ada apa, dia tunjukkan cincin yang baru dibelinya. Cincin berlian.” Atiqah berkata tenang. Dia sebenarnya tidak mengenali June sebelum ini. Ketika dia menyewa rumah tersebut dari Hajah Mimah, June sudah pun menyewa di situ. Dia tidak begitu rapat dengan June kerana dia merasakan June tidak sesuai dengannya. Namun June tidak pula dianggapnya sebagai musuh.

“Ya, cantik tak?” Tanya June dengan dada berkobar-kobar ingin tahu.

Atiqah mengangguk. Dia mengemaskan beberapa buah buku komputernya yang berselerak di atas katil.

“Mahal?” Tanya June lagi. Masih belum berpuas hati.

Atiqah mengangguk.

“Dua ribu lebih, nak dekat tiga ribu.” Atiqah berkata perlahan. June kalau bab perhiasan dan pakaian memang suka betul.

“Huh... bestkan. Kalau aku menjadi menantu dia, tentu aku boleh pinjam. Silap-silap aku dapat.”

Atiqah ketawa kecil. Wajah June yang duduk di birai katil direnungnya sekilas.

“Baguslah. Anak dia pun aku tengok macam suka kat kau. Buat-buatlah baik dengan Hajah Mimah tu.” Usik Atiqah.

June ketawa mengekeh. Sudah berapa kali dia keluar dengan Nik Arif. Nik Arif memang lelaki tampan dan pandai bergaya. Dia selalu berangan berada di dalam pelukan lelaki itu. Walaupun dia ramai teman lelaki, dia merasakan Nik Arif yang paling tampan dan menarik.

“Kau ni teruklah. Kau ingat, aku boleh ke tackle Nik Arif tu?” Tanya June sambil memasang angan-angan.

“Boleh... aku tengok dia pun macam sukakan kau. Kau pun cantik, June.” Atiqah memuji.

June tersengih-sengih mengdengar pujian tersebut. Perasan habis. Dia mngetap bibir menahan perasaan yang kian membara.

“Kau ni Iqa, ada-ada ajalah. Kau ni memuji aku atau menyindir?” June menepuk bahu Atiqah.

“Aku cakap betullah June. Aku pernah dengar dia cakap kau cantik dan dia sukakan kau.” Atiqah meletakkan buku yang disusun ke dalam rak bukunya. June berdiri sambil bercekak pinggang merenung Atiqah yang mengemas mejanya pula.

“Betul ke Iqa, bila masa kau dengar” Tidak sabar dia menunggu jawapan daripada Atiqah. Dan bibirnya kian melebar senyuman.

“Aku cuma terdengar dia bercakap dengan mak cik.”

June melompat sambil memeluk badannya keriangan.

Gembiranya aku Iqa... Hiss... kalau aku dapat Nik Arif, aku belanja kau makan, Iqa!”

Atiqah tidak menjawab. Malas dia mahu melayan. Untunglah kau June, desis hatinya. Dia mendengar June menyanyi-nyanyi kecil keluar dari biliknya.

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff