my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 11

BAHAGIAN 11


ATIQAH merenung banguan KUASA yang berada dihadapannya. Fuad meminta dia menunggu di situ dan kini sudah hampir lima minit Fuad masih tidak turun lagi. Dia menekan telefon tangannya untuk cuba menghubungi Fuad namun suara yang menjawabnya mengatakan yang Fuad masih berada di dalam bilik mesyuarat.

Atiqah bersungut sendirian. Fuad memang selalu begitu, berjanji kemudian memungkirinya. Dia mengambil keputusan untuk menunggu Fuad di pejabat sahaja. Bangunan KUASA yang setinggi tiga puluh lima tingkat itu dimasukinya. Orang ramai yang bekerja di situ sudah mula keluar untuk makan tengah hari. Dia kemudian mencari lif ke tingkat dua puluh lima. Ketika pintu lif terbuka, dia menepi untuk memberi laluan kepada orang ramai yang baru keluar. Tiba-tiba sahaja dia terasa tangannya dicengkam kuat.

“Iqa!”

Satu suara kedengaran. Atiqah mendongak. Wajahnya serta-merta pucat. Tubuhnya menggeletar.

“Iqa nak ke mana?” Tanya lelaki separuh umur yang mencengkam tangan Atiqah.

Atiqah menelan air liur. Dia cuba menepis tangan lelaki tersebut.

“Iqa nak ke mana?” Tanya lelaki itu setelah soalannya yang pertama berlalu sepi.

“Jumpa busu.” Atiqah tergagap-gagap menjawab.

Dia sendiri tidak menyangka bahawa jawapan itu yang keluar dari mulutnya. Dia sebak tiba-tiba, menolak cengkaman di tangannya dan kemudian berlari di celah-celah orang ramai yang semakin ramai keluar makan tengah hari. Dia terdengar namanya dipanggil beberapa kali namun Atiqah tidak peduli. Dia terburu-buru masuk ke dalam keretanya dan dalam fikiran yang bercelaru, Atiqah memandu ke sekolah Dahlia.

“KENAPA dengan kau ni?” Tanya Dahlia hairan. Ketika itu Dahlia sedang mengajar.

Atiqah tidak menjawab. Melihat keadaan temannya yang gawat, Dahlia menyuruh Atiqah masuk ke dalam biliknya.

“Kenapa dengan kau ni Iqa? Bengkak mata kau… Kau menangis?”

Atiqah hanya diam mengesat air matanya. Dahlia direnung dengan pandangan berbalam.

“Aku jumpa ayah aku tadi.” Beritahu Atiqah dengan nada yang tersekat-sekat.

Dahlia mengerutkaan dahinya lantas ketawa. Dia tahu sangat apa yang berlaku di antara Atiqah dan ayahnya. Namun sebagai anak, Atiqah tidak patut berdendam begitu lama dengan Datuk Amrzuki. Walau apa pun yang berlaku, Datuk Marzuki tetap ayah Atiqah.

“Jumpa dengan ayah kau pun nak menangis? Kau bukan tak pernah Nampak ayah kau dekat surat khabar. Sebulan mesti ada sekali. Ahli perniagaan yang terkenal dalam bidang industri dan kini menceburkan diri dalam bidang komputer. Datuk Marzuki melebarkan perniagaannya ke Afrika. Datuk Marzuki membuat rancangan itu ini… bla… bla.. and bla..”

Atiqah membeliakkan matanya. Dia geram mendengar kata-kata Dahlia yang begitu bersahaja.

"Kalau aku, aku bangga tengok muka ayah aku selalu masuk surat khabar. Saban minggu atau saban bulan.” Dahlia duduk di sebelah Atiqah yang merengus merenungnya.

“Dan aku bangga menjadi anak kepada seorang yang terkenal.” Usik Dahlia lagi.

“Kepala otak kau. Kau sukalah kalau ayah aku keluar surat khabar dengan cerita isteri Datuk Marzuki menuntut cerai dan harta sebanyak dua puluh juta. Pembaca berita terkenal berkahwin dengan Datuk Marzuki. Datuk Marzuki mengambil isteri orang. Kau sukalah!” Jerkah Atiqah geram.

Dahlia menggeleng. Perlahan-lahan dia mengusap bahu Atiqah. Menenangkan gadis itu.

“Kau jumpa dia dekat mana?” Tanya Dahlia.

“Aku nak jumpa Busu Fuad… Masa nak masuk lif, dia ternampak aku. Dia pegang tangan aku dan aku rasa dia kejar aku. Aku lari. Aku tak kuat nak pandang muka dia.” Atiqah meramas jarinya dengan perasaan yang berbaur.

“Habis, apa kau nak buat sekarang?” Tanya Dahlia bodoh.

Atiqah menggeleng lagi beberapa kali.

“Aku tak tahu apa aku nak buat Dahlia. Kalau aku tahu, aku tak datang jumpa kau tahu tak!” Atiqah merengus perlahan.

“Aku tak nak jumpa ayah aku. Aku nak berhenti kerja dan duduk dengan mama aku.” Atiqah menyambung kata.

Dahlia membeliakkan matanya. Dia kurang senang dengan kata-kata Atiqah. Perlahan-lahan bahu Atiqah ditepuknya lembut.

“Jangan terburu-buru buat keputusan Iqa. Dah berapa lama kau tak berjumpa dengan ayah kau? Sampai bila kau nak menolak hakikat yang engkau ni anak Datuk Marzuki..

“Sampai bila kau mahu berdegil? Aku tahu perasaan kau. Kau masih marah dengan apa yang ayah kau lakukan pada mama engkau. Tapi kau mesti ingat segalanya dah pun berlaku. Mama kau sekarang bahagia dengan caranya sendiri dan ayah kau.. kau berdoalah supaya dia pulang ke pangkal jalan. Doakan rumah tangganya bahagia dan doakanlah suapa dia berhenti dari tabiat suka mengumpul isteri. Menjauhkan diri, berhenti kerja, menipu identiti kau… semua tu tak akan mendatangkan hasil. Timbangkanlah Iqa. Aku yakin malah amat yakin yang ayah kau masih menyayangi kau.” Panjang lebar dahlia member nasihat.

“Kau tak tahu perasaan aku, Dahlia. Kau tak akan faham.” Atiqah mahu menangis lagi tapi sedaya mungkin ditahannya.

“Aku faham, aku faham. Tapi cubalah kau kuatkan semangat, Iqa. Cubalah hadapi kekurangan ayah kau. Jangan asyik mencari salah dia. Tiap orang ada kekurangannya.”

Atiqah mengetap bibir. Dia tahu setiap orang ada kekurangannya namun Datuk Marzuki terlalu banyak kekurangan yang tidak boleh diselindungi. Itu yang menyebabkan dia kecewa.

“Aku ada kelas sekarang. Kau duduk di sini dulu. Nanti aku datang semula.” Dahlia menepuk paha Atiqah. Memujuk namun ketika Dahlia keluar mengajar semula, Atiqah keluar mengikut pintu belakang menuju ke keretanya. Mengadu masalah pada Dahlia tidak dapat juga menyelesaikan masalahnya. Dahlia akan tetap mengatakan yang dia bersalah. Dia terus pulang ke pejabatnya selepas meneliti mukanya di cermin kereta berkali-kali. Ketika dia sampai, telefon di mejanya berbunyi.

“Iqa… busu ni!”

Atiqah hanya mendiamkan diri. Dia tidak berminat bercakap dengan Fuad. Dia masih tidak percaya akan berjumpa dengan ayahnya hari itu. Dia sudah berusaha sedaya mungkin untuk mengelak dari berjumpa dengan Datuk Marzuki namun tak dir Tuhan, dia tidak dapat elak.

“Iqa.. Iqa marah busu ya? Busu minta maaf. Last minute boss busu panggil. Busu baru keluar dari bilik mesyuarat. Ada perkara penting. Busu minta maaf ya?”

Atiqah mengeluh perlahan. Memang dia patut memarahi Fuad sekarang namun entah mengapa hatinya lebih memikirkan pertemuan dengan ayahnya tadi.

“Iqa, Iqa dengar tak busu cakap apa ni?”

“Tak apalah busu, lain kali ajalah. Iqa ada di bawah tadi tunggu busu. Tapi busu tak turun-turun. Iqa balik ajalah.” Atiqah berkata perlahan.

“Busu tahu Iqa marahkan busu tapi busu tak boleh mengelak. Ada projek baru Iqa, Iqa tahu ajalah kalau bos dah panggil. Sorry ya sayang… Anak buah busu baikkan?”

Atiqah mencebir mendengar kata-kata Fuad namun hatinya masih rawan.

“Suka hati busulah… time nak pujuk bukan main! Okeylah, lain kalilah.” Atiqah membalas perlahan.

Sorry ya Iqa?” Fuad meminta maaf lagi.

“Hem..” Atiqah hanya mengeluh perlahan. Dia mengingati kata-kata Dahlia. Haruskan dia melupakan segalanya? Tetapi bagaimana dia dapat melupakan apa yang telah ayahnya lakukan dua belas tahun yang lalu di hadapan mata kepalanya sendiri!

“Faizal ada?”

Atiqah tersentak, merenung seorang lelaki yang berdiri tegak di hadapannya. Atiqah termangu-mangu. Tuan Ahmad! Dia berbisik sendirian.

“Badrul mana?” Tanya Tuan Ahmad lagi.

Atiqah merenung bilik Encik Badrul yang kosong. Dia mengerut dahi. Dia tidak adapat mengingat dengan jelas ke mana Encik Badrul pergi. Seingatnya lelaki itu tidak memberitahunya ke mana dia mahu pergi.

“Dia belum balik lagi tuan.” Atiqah berkata perlahan. Dia tidak sangka tuan Ahmad akan datang hari itu. Lelaki itu jarang datang menjenguk syarikat tersebut. Selalunya dia hanya menelefon sahaja.

“Balik dari mana?’

Suara garau Tuan Ahmad singgah ditelinganya. Atiqah mengetap bibir. Melihat jam di tangannya. Belum sempat dia menjawab, Tuan Ahmad sudah bersuara.

“pukul berapa awak pergi lunch? Pukul dua belas awak dah tak ada. Saya tengok pukul dua baru awak masuk. Senang-senang awak nak keluar masuk!’ Garau suara Tuan Ahmad.

Atiqah tidak menjawab. “Kalau nak kerja lama di sini, jangan buat perangai. Badrul ke mana pun awak tak tahu.”

Atiqah menahan sabar. Sudahlah dia ditindih dengan rasa sedih ketika berjumpa dengan ayahnya, kini Tuan Ahmad pula cuba mencabar kesabarannya.

“Awak dengar ke tak dengar saya cakap ni?” Tanya Tuan Ahmad lagi. Suaranya sedikit meninggi.

Atiqah merenung Mary yang baru masuk, membawa beg di tangan. Berkerut dahi Mary mendengar suara Tuan Ahmad yang meninggi. Dia menggeleng seraya tersenyum kelat pada Atiqah yang pura-pura tidak mendengar kata-kata Tuan Ahmad.

“Kalau Badrul balik, cakap dengan dia saya nak jumpa dia. Saya nak tanya dia macam mana dia tak tahu awak keluar lunch samapi dua jam!’ Tuan Ahmad berkata keras.

Atiqah masih membisu. Dia hanya merenung skrin komputernya seolah-olah kata-kata Tuan Ahmad tidak meninggalkan kesan langsung padanya. Atiqah memerhatikan Tuan Ahmad melangkah keluar perlahan-lahan.

Mary merapati Atiqah.

“Apa kena orang tua tu Iqa?” Tanya Mary perlahan.

Atiqah mengangkat bahu tanda tidak mengerti.

“Gila agaknya. Dia ingat besar sangat ke syarikat dia ni. You jangan bimbang Iqa kalau I dapat kerja baru nanti, I cuba risik-risik untuk you. Mana tahu! Kerja di sini menyakitkan hati aja…”

Atiqah ketawa kecil merenung Mary. Mary memang baik. Perempuan itu rajin bercerita itu ini dengannya.

“Biarlah… Tuan Ahmad tu datang bulan agaknya hari ni.” Atiqah berkata selamba.

Mary melambakkan tawanya. Atiqah, ada-ada sahaja. Direnung wajah Atiqah, lama.

I suka tengok muka boring you bila Tuan Ahmad cakap tadi… you memang baguslah Iqa. Dia ingat dia bagus sangat ke. I pun hairan apa yang you tunggu dari company ni. You boleh jadi setiausaha tempat lain tau.”

Atiqah mengangkat bahu. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia malas mahu mencari kerja lain. Tunggulah sebulan dua lagi, desis hatinya.

2 comments:

miaa ayuni said...

SALAM KENAL DARI SY... :)

Kniedaz said...

ai ai..dah abis dah..next next next..

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff