my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 12

BAHAGIAN 12


ATIQAH melangkah perlahan ke hotel yang dijanjikan oleh ayahnya. Sudah beberapa kali Datuk Marzuki menelefonnya menyuruh dia datang. Puas orang tua itu memujuknya. Dia tidak tahu dari mana ayahnya mendapat nombor telefon rumah dan nombor telefon bimbitnya. Mahu dengan tidak, dia terpaksa akur. Sudah seharusnya dia boleh bertolak ansur dengan Datuk Marzuki. Dia sepatutnya tidak menyimpan dendam yang terlalu lama.

Ketika dia sampai, Datuk Marzuki sudah berada di coffee-house di hotel yang dijanjikan.

Datuk Marzuki hanya keseorangan. Lelaki itu kelihatan ceria apabila melihat Atiqah. Dia mahu memeluk Atiqah tetapi melihat wajah Atiqah yang tegang, dia hanya berdiri kaku di hadapan anaknya itu.

“Dah lama ayah sampai?” Atiqah bertanya perlahan.

Datuk Marzuki mengangguk.

Atiqah menaiki LRT sebentar tadi. Dia malas mahu membawa kereta buruknya ke hotel tersebut. Parkingnya agak mahal. Tidak kuasa dia menghabiskan duit hanya untuk parking sahaja.

“Tak lama, baru lima minit. Iqa datang ke sini naik apa?” Tanya Datuk Marzuki.

Atiqah menelan air liurnya. “Naik LRT, kemudian jalan kaki dari stesen.”

Datuk Marzuki menggeleng. Atiqah selalu membuat perkara yang tidak pernah difikirkannya. Kadangkala dia merasakan yang Atiqah mahu memalukannya. Entah apa yang dicari oleh anaknya itu dalam hidup, dia sendiri tidak pasti. Namun dia tahu Atiqah lebih suka hidup sebagai orang biasa.

“Iqa kerja di mana sekarang?” Tanya Datuk Marzuki kepada Atiqah yang sudah duduk di hadapannya.

Atiqah tersenyum kelat. Ayahnya tidak perlu tahu di mana dia bekerja. Cukuplah mengetahui nombor telefonnya. Itu pun dia sudah cukup hairan siapa yang memberikan nombor telefonnya pada ayahnya itu.

“Kerja sikit-sikit ayah untuk survive, sekurang-kurangnya tak menyusahkan orang lain.” Atiqah berkata perlahan namun sudah cukup untuk membuat Datuk Marzuki terasa hati. Direnungnya wajah Atiqah lama.

“Iqa masih berdendam dengan ayah?” Tanya Datuk Marzuki.

Atiqah tidak menjwab. Dia merenung pelayan yang datang bertanyakan pesanan. Berdendam? Dia sendiri tidak tahu jawapannya. Cuma yang dia tau, dia memang tidak akan melupakan apa yang Datuk Marzuki lakukan terhadap mamanya.

“Tak ada apa yang nak didendamkan ayah.” Atiqah menjawab acuh tak acuh. Dia tahu dia menipu diri sendiri. Biarlah… dalam keadaan begini dia tidak mahu berbalah dengan ayahnya. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang telah sedia keruh.

“Tapi kenapa Iqa tinggalkan rumah dan langsung tak hubungi ayah? Kalau Iqa marahkan ayah sekalipun, ayah tetap ayah Iqa.”

Atiqah terkesima. Kata-kata ayahnya kedengaran begitu pilu. Dia tahu dia silap tidak menghubungi ayahnya namun ayah yang menghalau dia dahalu. Mengatakan yang dia anak yang menyusahkan dan tidak tahu diuntung. Ayah yang tidak mengizinkan dia jejak kembali ke rumah itu. Jadi untuk apa dia mencari ayahnya kalau dia tidak diakui anak lagi oelh Datuk Marzuki.

“Iqa anak yang menyusahkan dan tak memberi keuntungan pada ayah. Sebab tu Iqa tak mahu menyusahkan ayah. Lagipun ayah yang halau Iqa. Tak mahu tengok muka Iqa lagi.” Atiqah berusaha menahan sebak di dada.

Datuk Marzuki menghembuskan nafasnya perlahan. Dia teringat selepas pernikahannya dengan Zakiah, Atiqah ada berjumpa dengannya dan mereka bertengkar hebat. Dia menghalau Atiqah keluar dari rumah.

Sejak itu Atiqah tidak pulang-pulang ke rumah. Merajuk membawa diri mengikut mamanya keluar negara. Ketika itu dia tidak terasa kehilangan Atiqah namun selepas beberapa bulan, baru dia terasa akan kebenaran kata-kata Atiqah. Atiqah mengatakan padanya yang Zakiah berkahwin dengannya hanya semata-mata kerana duitnya. Dia mengatakan yang ayahnya tidak akan mendapat seorang isteri sebaik mamanya.

“Ayah minta maaf Iqa, ayah terlalu megikut perasaan. Ayah tahu ayah dah melakukan kesilapan kerana menghalau Iqa dulu. Tapi ayah tak bermaksud begitu. Ayah sebenarnya sayangkan Iqa.” Datuk Marzuki menyusun kata-katanya perlahan. Dia tidak tahu apa yang harus disampaikan kepada Atiqah. Sejak akhir-akhir ini dia amat merindukan anaknya itu.

“Iqa ni tak pernah menyenangkan ayah. Belajar pun separuh jalan. Tapi terima kasih ayah kerana mahu mengaku Iqa ni anak ayah.” Sinis kata-kata tersebut, cukup menyentuh hati tua Datuk Marzuki.

Datuk Marzuki mengeluh lagi. Tangan Atiqah dipegangnya lembut.

“Ayah minta maaf, Iqa. Ayah tahu Iqa terluka dengan apa yang ayah lakukan pada Iqa selama ni. Ayah tak bermaksud begitu. Cuma, masa tu ayah tak dapat mengawal perasaan. Ayah sayangkan Iqa lebih daripada segala-galanya. Percayalah Iqa… Di dalam hati ayah tak bermaksud begitu.” Datuk Marzuki berkata separuh merayu.

Atiqah masih membisu. Dia tidak tahu apa tujuan Datuk Marzuki memanggilnya dan begitu beria-ia mahu bertemu dengannya.

“Apa tujuan sebenarnya ayah panggil Iqa? Mana ayah dapat nombor telefon Iqa?” Atiqah bertanya sambil melarikan pandangannya kepada sepasang kekasih yang duduk di hadapannya. Saling berpegangan tangan dan begitu mesra. Atiqah tersenyum sendirian. Adat orang bercinta.

Datuk Marzuki yang melihat Atiqah tersenyum terus berpaling memandang pasangan yang direnung oleh Atiqah. Dia tidak dapat membaca fikiran anaknya ketika itu. Atiqah memang selalu bersipak pelik.

“Salahkah seorang ayah bertemu dengan anaknya?” Tanya Datuk Marzuki.

Atiqah berpaling memandang ayahnya. Dia tersenyum kelat. Dia tahu dia anak tunggal. Datuk Marzuki tidak mempunyai anak lain. Sebab itulah agaknya Datuk Marzuki mencari dia semula.

“Tak salah tapi pelik… Selepas ayah tak mengaku Iqa anak ayah!” Atiqah berkata selamba namun sudah cukup untuk membuat Datuk Marzuki merah muka. Atiqah selalu bercakap tanpa menimbang perasaannya. Tetapi dia cepat sedar, dia yang membuat Atiqah jadi begitu. Keadaan telah banyak mengajar Atiqah.

“Kan ayah dah cakap, ayah minta maaf. Masa tu ayah terlalu mengikut persaan. Tapi selepas beberapa bulan ayah cuba mencari Iqa. Tak jumpa. Masakan ayah nak iklankan kehilangan iqa di surat khabar. Malu ayah nanti!”

Atiqah merengus. Ayahnya terlalu menaga reputasi tetapi berkahwin dan bercerai bagai bertukar baju tidak pula memalukannya. Itu yang membuat dia tidak faham.

“Isteri baru ayah sihat?” Atiqah bertanya acuh tak acuh.

Sebentar kemudian dia mengucapkan terima kasih kepada pelayan yang datang meletakkan hidangan dia hadapannya. Dia memandang Datuk Marzuki sekilas. Dia dapat mendengar keluhan ayahnya. Dia merenung kuetiau goreng kegemarannya yang dipesan oleh ayahnya. Ayah masih ingat rupanya.

“She’s okay.” Perlahan jawapan Datuk Marzuki.

Atiqah tersenyum hambar. Satiap kali Zakiah keluar di kaca TV, dia mengalihkan pandangan. Kadangkala June ada juga membuka cerita tentang Zakiah. Pembaca berita perasanlah, sanggup tinggalkan laki kerana mengejar harta dan macam-macam lagi namun ditahankan sahaja hatinya. Takut dia sendiri terlepas cakap dan akhirnya June tahu siapa dirinya yang sebenar.

“Iqa macam mana, sihat?” Datuk Marzuki sebenarnya terasa amat janggal berhadapan dengan Atiqah walaupun Atiqah anaknya sendiri. Apatah lagi melihat penerimaan Atiqah yang acuh tak acuh. Apabila melihat Atiqah tidak menjawab, Datuk Marzuki mengajukan pertanyaan lain yang boleh membuka mulut anaknya itu.

“Mama Iqa sihat?” Dia melihat Atiqah sedikit tersentak dengan pertanyaan tersebut. Kemudian dia melihat secebis senyuman di wajah gadis tersebut seolah-olah senyuman itu satu sindiran.

“Dah lama ayah tak berjumpa dengannya.”

Dia mendengar Atiqah ketawa kecil.

“Jumpa pun buat apa ayah. Ayah juga yang cakap mama tu tak tahu diuntung. Iqa anak mama, perangai Iqa sama dengan perangai mama. Tak tahu untung!” Atiqah mencebirkan bibirnya.

Datuk Marzuki mengetap bibir. Nasi goreng yang dipesannya dikunyah perlahan. Hari itu dia terpaksa bersabar dengan karenah Atiqah. Dia terpaksa mendengar apa sahaja jawapan yang keluar dari mulut anaknya itu walaupun menyakitkan. Walaupun bisa merobek benteng kesabarannya yang setipis kulit bawang itu.

Ditatap wajah Atiqah lama. Atiqah banyak mengikut bekas isterinya. Kalau dia memadankan anaknya dengan anak-anak temannya, sudah tentu tidak ada yang menolak.

“Bercerai bukan bermakna bermusuh, Iqa.” Datuk Marzuki menjawab. Sambil mengunyah, dia merenung dua orang gadis yang berpakaian seksi yang duduk di meja sebelah. Berbisik-bisik sesama sendri seolah-olah memperkatakan tentang dirinya. Mungkin orang salah anggap antara dia dengan Atiqah. Ah… pedulikan! Bukan sekali dua dia digosipkan. Dia tidak peduli apa orang lain kata. Lantaklah!

Words baru.” Atiqah mengejek menyebabkan Datuk Marzuki menelan air liurnya. Pahit.

“Sebenarnya ayah datang nak jumpa Iqa buat apa?” Tanya Atiqah selepas mereka senyap buat seketika. Mata Atiqah meliar ke sana ke mari kemudian jatuh pada dua orang gadis yang berada di sebelah mejanya. Tersenyum-senyum merenung ke arahnya.

“Ayah ada tawaran untuk Iqa dan sebab tu ayah panggil Iqa datang berjumpa dengan ayah.” Datuk Marzuki akhirnya memberitahu tujuan dia memanggil Atiqah datang berjumpa dengannya.

Atiqah yang sedang mengacau minumannya dengan straw ketawa.

“Tawaran apa? Jadi tea lady di tempat ayah?”

Datuk Marzuki ketawa kecil. Ditatapnya wajah Atiqah lagi tanpa jemu. Anaknya itu lebih cantik daripada Zakiah, fikirnya. Kenapalah selama ini aku terlalu buta dala menilai semua ini?

“Iqa dah ada boyfriend?”

Soalan yang tiba-tiba terpacul dari mulut Datuk Marzuki menyebabkan Atiqah membeliakkan matanya.

Datuk Marzuki ketawa melihatnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa pertanyaan itu yang diajukannya.

“Anak ayah ni tak cantik. Tak ada orang yang nak, ayah!” Atiqah menjawab tenang. Jawapan yang membuatkan Datuk Marzuki ketawa lagi.

“Berbalik pasal tawaran ayah tadi. Apa tawarannya?” Tanya Atiqah perlahan.

Datuk Marzuki tersentak, kemudian mengangguk.

“Iqa tahukan ayah dah ambil alih Kilang Take 2020. Ayah mahu Iqa mengusahakannya. Iqa memang layak mengendalikannya kerana Iqa minat dengan komputer. Ayah semakin lama semakin tua. Sudah sampai masanya Iqa belajar. Kalau ayah tak ada nanti, ayah mahu Iqa meneruskan usaha ayah. Ayah tak mahu ia jatuh ke tangan orang lain. Ayah mahu anak ayah sendiri yang mewarisi peninggalan ayah. Bukan orang lain. Ayah harap Iqa mengerti.”

Atiqah mahu membalas kata-kata ayahnya namun melihat ada tanda kesedihan di wajah orang tua tersebut, dimatikan niatnya.

“Yah dah tua Iqa. Dah tiba masanya ayah berehat. Ayah mahu melihat Iqa belajar mengenai perniagaan kemudian ayah mahu melihat Iqa berkahwin.

Ayah mahu Iqa mencari suami yang boleh membantu Iqa dalam perniagaan. Harapan ayah memang besar, Iqa tapi ayah tahu Iqa boleh melakukannya dan ayah begitu yakin Iqa akan berusaha memajukan syarikat ayah.” Kedengaran suara Datuk Marzuki begitu tulus.

Atiqah menelan air liur.

“Pulanglah ke rumah, Iqa. Ayah perlukan Iqa.” Datuk Marzuki memujuk.

Atiqah menggeleng. Tidak mungkin dia pulang ke rumah Datuk Marzuki. Mamanya sudah tidak ada di situ. Lagipun dia tidak sukakan Zakiah dan kalau boleh tidak mahu berjumpa dengan perempuan itu. Hatinya sakit dan masih tidak dapat menerima perempuan tersebut. Memang dia agak keterlalukan manun dia tidak boleh membohongi dirinya sendiri. Walau apapun berlaku, untuk menerima Zakiah tidak sama sekali!

“Iqa bahagia dengan cara Iqa sendiri, ayah. Iqa boleh hidup sendiri tanpa menyusahkan orang lain. Iqa dah besar. Iqa boleh memilih jalan hidup Iqa sendiri. Iqa tak mahu menyusahkan ayah. Biarlah Iqa buat apa yang Iqa rasa perlu. Rasanya Iqa takkan mengganggu kehidupan ayah.” Begitu berhati-hati Atiqah menuturkan kata-katanya.

Datuk Marzuki meletakkan telapak tangannya di tangan Atiqah.

“Iqa baliklah. Ayah perlukan Iqa untuk menguruskan perniagaan Take 2020. Ayah tahu Iqa boleh menguruskannya dengan baik. Ayah Amat berharap yang Iqa dapat menerima tawaran ayah ni.” Datuk Marzuki berkata lembut namun penuh mengharap.

Atiqah mengetap bibir. Sayu dia mendengar kata-kata Datuk Marzuki. Dia melihat ada genangan air mata di kelopak mata ayahnya. Dia tidak pernah melihat Datuk Marzuki dalam keadaan begitu. Ketika dia keluar dari rumah dahulu, ayah langsung tidak memandangnya. Ketika ayah menceraikan mamanya, wajah itu tetap ego. Amat berlainan dengan sekarang. Adakah lelaki itu sudah berubah? Dia tidak tahu.

“Pulanglah… ayah memang mengharapkan Iqa balik. Ayah sayangkan Iqa. Ayah rindukan Iqa. Pertimbangkanlah. Pintu rumah sentiasa terbuka untuk Iqa, bila-bila masa saja. Percayalah… kalau apa pun berlaku mulai hari ini, ayah mahu Iqa yang menguruskan syarikat ayah.”

Atiqah diam namun dia dapat mersakan yang suara Datuk Marzuki kali ini ada keikhlasannya.

“Ayah berharap benar Iqa penuhi permintaan ayah ni. Sebelum ayah tutup mata, ayah mahu melihat anak ayah yang menguruskannya.”

Atiqah diam lagi. Kelu. Fikirannya bercelaru. Antara mahu menerima atau tidak. Permintaan tersebut terlalu drastik. Masih sukar untuk dia mempercayainya.

“Terimalah Iqa, jangan hampakan ayah.” Suara tersebut begitu sayu.

Atiqah terkesima namun akhirnya dia berkata perkata. “Biar Iqa pertimbangkannya nanti ayah!”

Akhirnya Atiqah membuat keputusan. Suaranya antara dengar dengan tidak namun sudah cukup membuat Datuk Marzuki tersenyum.

1 comment:

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff