my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 13

BAHAGIAN 13


SUDAH beberapa hari Atiqah memikirkan tawaran Datuk Marzuki. Sudah berhari-hari dia menimbang namun keputusannya tidak juga diperolehi. Dia kemudian menelefon Fuad memberitahu tentang tawaran tersebut. Fuad meminta dia dating ke pejabat untuk berbincang. Ketika dia datang, busunya itu sedang meneliti pasaran saham. Sebagai pegawai di bahagian penyelidikan, memang itu tugas Fuad.

“Kenapa Mak Datin?” Tegur Fuad ketika Atiqah masuk ke biliknya.

Atiqah tidak menjawab. Dia duduk di dahapan Fuad.

“Tak kerja?” Tanya Fuad mesra.

Atiqah menggeleng.

“Malas.” Mendatar Atiqah menjawab. Acuh tak acuh.

“Oh... orang nak jadi board director., tu yang malas kerja tu!”

Atiqah tidak suka dengan usikan Fuad,mengeluh perlahan. Namun sampai kini Atiqah tidak tahu yang bapa saudaranya itulah yang memberi nombor telefonnya kepada Datuk Marzuki.

“Jangan sindir Iqa, busu!’

Fuad ketawa kecil sambil mengangkat kening. Direnungnya Atiqah yang cuma berbeza tiga tahun daripada usianya. Sebab itu mereka rapat. Dia sayangkan Atiqah seperti adiknya sendiri walaupun hakikatnya Atiqah anak saudaranya.

“Mama Iqa sihat?”

Atiqah mengangguk. Beberapa hari lepas mamanya menelefon dari New Zealand.

“Lama betul busu tak jumpa dia. Kita ambil cuti nak, jumpa mama Iqa.” Cadang Fuad.

“Cakap ajalah busu tu, dah berpuluh kali Iqa dengar. Penghabisannya Iqa yang balik sorang.”

Fuad ketawa. Direnung wajah Atiqah lama. Anak buahnya itu memang mempunyai wajah yang menarik namun sampai sekarang masih tidak mempunyai teman istimewa. Dia tidak tahu kenapa. Sebagai lelaki dia mengakui dia suka melihat wajah Atiqah namun dia tidak dapat menolak hakikat Atiqah anak buahnya.

“Nah, apa masalah Iqa sekarang. Macam ada masalah besar nampaknya. Terima ajalah Iqa, apa yang Iqa nak fikirkan lagi. Nanti dapat kereta besar, orang panggil Iqa bos. Tak suka?” Fuad berkata lembut tetapi separuh mengusik.

“Kepala otak busu!” Jerkah Atiqah.

Fuad menggelengkan kepalanya.

Kadangkala Atiqah bercakap main sedap mulut sahaja namun dia tak pernah ambil hati. Dia dengan Atiqah pun begitu. Kalau dia mahu cakap, dia akan cakap terus di hadapan Atiqah.

“Habis nak suruh busu cakap apa lagi Iqa.... segalanya di tangan Iqa”

Atiqah meraup mukanya beberapa kali.

“Busu tak tahu perasaan Iqa!” Atiqah bangun perlahan-lahan.

Fuad ketawa kecil. Dia tahu sangat dengan sifat keras kepala Atiqah. Dia tahu sangat dengan perangai Atiqah yang suka berdendam.

Bagi Atiqah, mamanya tidak pernah ada cacat celanya. Yang cela semua Datuk Marzuki. Walaupun dia adik kepada emak Atiqah dan merasa sakit hati dengan apa yang Datuk Marzuki lakukan terhadap kakaknya, tidak semestinya dia harus berdendam.

“Ayah Iqa pun dah minta maaf bukan? Apa yang Iqa nak marah lagi!” Pujuk Fuad lembut.

“Syarikat Angkasa memang perlukan Iqa. Iqa anak kandung Datuk Marzuki. Iqa kena bertanggungjawab. Ayah Iqa dah tua. Dia perlukan Iqa.”

Atiqah mencebir.

Dia tidak tahu kenapa ayahnya begitu lembut sekarang. Dahulu ketika dia menyuarakan hasratnya untuk berhenti dari pengajian, ayah begitu marah dan menentang keras hasratnya. Apatah lagi bila dia mendapat tahu hobi ayahnya bercerai dan berkahwin lain.

“Dah tua tapi tak tua untuk menambah isteri. Menukar ganti bini!” Keras suara Atiqah.

Fuad mengeluh panjang. Marah Atiqah masih tebal dan sukar untuk dikikis.

“Dia mampu Iqa, apa salahnya.” Fuad bergurau. Tujuannya cuma mengusik tetapi ia membuatkan wajah Atiqah masam mencuka.

“Lelaki akan tetap mempertahankan lelaki juga busu. Walau buruk macam mana lelaki pun, lelaki akan mengatakan kaum mereka tak salah.” Atiqah merengus geram.

Fuad ketawa besar mendengarnya. “Male chauvinist. Iqa, Iqa, bila masanya busu cakap ayah Iqa tak salah. Dia memang bersalah tapi dia dah minta maaf. Iqa nak apa lagi? Iqa nak suruh dia sujud di kaki Iqa? Walau apapun Iqa kena terima hakikat Datuk Marzuki tetap ayah Iqa. Sampai bila Iqa nak menyembunyikan perkara yang sebenar? Samapi bila Iqa nak larikan diri? Iqa, busu yakin apa pun yang berlaku, ayah Iqa tetap sayangkan Iqa. Duduklah Iqa. Sakit mata busu tengok Iqa mundar mandir macam kucing hilang anak.”

Atiqah menjegilkan matanya sambil merenung jam di pergelangan tangan. Dia mahu berjumpa Dahlia selepas ini. Banyak yang mau dibincangkan dengan Dahlia. Dia akan mengajar tiga orang penolong Dahlia menggunkan komputer yang telah diprogramkan. Beberapa bulan yang lepas di tidak tidur malam memilih bahan-bahan yang mahu dimuatkan di dalam komputer tersebut. Dia melakukannya seorang diri. Setelah selesai, dia menunjukkan pada Dahlia. Dahlia nampaknya begitu gembira.

“Iqa nak baliklah busu.” Atiqah berkata perlahan.

“Hai! Baru datang dah nak balik? Kalau macam tu baik tak payah datang. Tak payah tanya pendapat busu. Macam orang nak ambil hati aja.”

Atiqah menjeling Fuad yang ketawa. Mengejek. “Habis busu nak suruh Iqa buat apa lagi? Kalau bincang dengan busu ni bukan boleh menenangkan jiwa. Sakit jiwa lagi ada. Datuk Marzuki semuanya betul.”

Fuad kurang senang dengan kata-kata Atiqah. Dia tidak faham kenapa Atiqah terlalu keras kepala dan tidak boleh ditegur. Dia tahu perasaan Atiqah tetapi tidak adakah ruang kemaafan untuk ayahnya?

“Susah dapat orang macam Iqa, belajar tinggi-tinggi sampai degil tak boleh nak cakap!” Suara Fuad kedengaran agak keras.

Atiqah mencebir.

“Iqa tak belajar tinggi macam busu. Belajar sekerat jalan aja.” Atiqah menyindir.

Fuad ketawa kecil, merenung Atiqah lama.

“Itulah... suruh ambil law cabut lari, sekarang dah jadi loyar buruk. Bukankah payah!” Fuad mengusik lagi.

Atiqah tidak menjawab. Dia duduk semula di hadapan Fuad sambil merenung busunya dengan muka masam mencuka.

“Iqa, kalau semata-mata datang nak jumpa busu dengan muka macam kuih apam balik basi, baik tak payah. Sueh tahu tak. Sudahlah syarikat busu dah teruk sekarang!”

Atiqah menjeling Fuad yang masih terus-terusan mengusiknya.

“Iqa tak minat kerja dengan ayah.” Atiqah berkata perlahan, seolah-olah bercakap dengan dirinya sendiri.

“Tak minat atau Iqa sengaja buat tak minat. Iqa tahukan Dtuk Marzuki dah ambil alih Kilang Take 2020... Busu tahu kenapa ayah Iqa beralih angin dari syarikat perundangan kemudian kepada syarikat komputer.”

Atiqah membisu. Dia membiarkan Fuad memberikan pendapatnya.

“Busu yakin kerana Iqa. Dulu Iqa pernah bergaduh denga ayha Iqa sebab Iqa gilakan komputer tapi ayah Iqa suruh Iqa ambil law. Busu bukan tak tahu!”

Atiqah mengerutkan dahinya, tidak pasti adakah kata-kata Fuad itu benar atau pun tidak. Namun Datuk Marzuki pernah memeberitahunya kenapa dia mengambil alih Kilang Take 2020. Kerana dia! Ketika itu dia cuma mendengar sahaja., buat-buat tidak mengerti.

“Dulu bukan Iqa tak tahu ayah Iqa beria-ia mahu Iqa menjadi salah seorang kakikatangan di Marzuki Associates, kemudian dia berjinak-jinak dalam pembinaan dan kemudian bila Iqa bergaduh dengan dia, dia tukar pula pada bidang komputer. Busu yakin ayah Iqa lakukan begitu kerana sesuatu. Bukan hanya kerana keuntungan aja.”

Atiqah mencebirkan bibirnya lagi. Tidak yakin akan kebenaran kata-kata busunya. Bagi Atiqah, ayahnya tidak pernah menghargainya sebagai seorang anak. Datuk Marzuki hanya memikirkan keuntungan sahaja.

“Ayah Iqa dah tua.. Dah sampai masanya dia berubah, Iqa. Busu yakin dia akan berubah satu masa nanti dan Iqa juga perlu berubah.” Keras suara Fuad menasihatkan.

Atiqah masih membisu. Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Mengeluh perlahan. Kemudian berjalan menuju ke pintu.

Fuad bingkas bangun sambil memegang bahu Atiqah. “Tengoklah tu, tegur sikit marah. Iqa ni dah besar tahu tak. Dah boleh berfikir!”

Atiqah merengus geram. Menolak tangan busunya.

“Malaslah nak cakap dengan busu... Buat kering tekak aja. Iqa nak baliklah. Nanti Iqa beritahu busu macam mana.”

Tidak sempat Fuad membalas kata-kata itu, Atiqah sudah keluar. Atiqah... Atiqah, geleng Fuad. Atiqah tidak pernah mahu berubah, bisik hatinya.

Beberapa minit selepas Atiqah keluar dari biliknya, Nik Arif terjengul di muka pintu. Fuad terkejut melihat kedatangan sahabat karibnya.

“Hei hantu! Apa mimpi kau datang ni, nak melabur?”

Nik Arif ketawa kecil menarik kerusi di hadapan meja Fuad. Duduk.

“Sengaja datang menjenguk. Hari ni aku free. Sebab tu aku datang.” Nik Arif berkata perlahan sambil tersengih.

Fuad merenung wajah Nik Arif lama kemudian ketawa kecil.

“My niece baru balik. Kalau tak, boleh aku kenalkan kau dengan dia.”

Nik Arif mengerut dahinya. Hairan. Sebelum ini Fuad tidak pernah menyebut tentang anak saudaranya.

“Berapa tahun, sepuluh tahun?” Usik Nik Arif.

Fuad tersenyum. “Gilalah kau! Sikit lebih kurang macam kita aja. Muda tiga tahun daripada aku.”

Memang selama ini dia tidak pernah memberitahu tentang Atiqah pada Nik Arif.

Nik Arif membeliakkan matanya kemudian ketawa.

“Tak pernah kau cakap kau ada niece sebesar tu!”

“Hem... tak kuasa aku. Dia dulu di overseas. Lagipun malaslah aku nak cerita dan kenaikan dengan kau. Dia tu baik. Nanti dapat buaya macam kau, kasihan anak buah aku tu!”

Nik Arif mencebir. Fuad ingat dia apa!

“Jangan nak menyindir, kawan... Kau ingat aku ni teruk sangat ke? Adakah pernah aku buntingkan anak dara orang? Aku kawan dengan perempuan pun sengaja nak tengok gelagat mereka, itu aja. Lebih-lebih tak!” tegas kata-kata Nik Arif.

Fuad menegakkan badannya. Direnung wajah Nik Arif sekilas, kemudian tersenyum.

“Suka hati kaulah NIk, aku tahu kau tu ramai perempuan. Sana sini perempuan. Aku pun hairan apa yang perempuan suka kat kau.”

Nik Arif mengangkat dahinya, kemudian berkata separuh mengusik. “Aku ni handsome taklah... tapi macho.”

Fuad menekan dadanya beberapa kali, kemudian menggeleng. “Nak termuntah aku mendengarnya Nik. Hei, macam mana hubungan kau dengan budak yang sewa rumah kau tu?”

Nik arif tersengih. Ada sekali dia memperkenalkan June pada Fuad. Itu pun ketika mereka terserempak di pusat membeli belah. Fuad sedang membelek sepasang kasut. Dia pula sedang mencari kemeja dan June membantu dia memilih.

“Hem... biasa aja. Lagipun dia tu banyak boyfriend. Ada kaki kikis sikit. Baru sekali dua keluar dengan aku, dia dah suruh aku belikan dia baju. Nak tunjuk gentleman, aku belikan tapi dalam hati aku menyumpah habis. Pisau cukur betul!”

Fuad ketawa besar mendengarnya. “Padan muka kau, habis kau masih berkawan dengan dia?”

Nik Arif mendepangkan tangannya.

“Biasa aja...tak ada yang istimewa.” Di matanya terbayangkan Atiqah.

Beberapa kali bercakap dengan Atiqah, dia merasa begitu senang. Atiqah suka tersenyum. Gadis tersebut begitu rendah hati. Ada beberapa kali dia mengajak Atiqah keluar makan namun gadis itu menolak dengan baik. Atiqah seolah-olah mahu mengelak daripadanya. Semakin Atiqah mengelak, semakin pula dia mahu mendekati gadis tersebut. Dia merasa ada sesuatu yang membuatkan dia tertarik kepada Atiqah.

“Apa hal datang ni?” Tanya Fuad apabila melihat Nik arif seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

“Kau melamun, Nik. Kenapa?”

Nik Arif tersenyum kelat. Sejak akhir-akhir ini setiap saat yang terluang., dia selalu mengingati Atiqah.

“Kau tanya apa?” Tanya Nik Arif bodoh.

Fuad menggeleng.

“Aku tanya kau, apa hal kau datang?”

“Datang melawat kau pun tak boleh? Jom kita keluar makan, aku belanja kau.” Nik Arif mempelawa ikhlas.

“Di mana?”

“Mana-mana aja tempat yang kau suka.” Beritahu Nik Arif.

“Marilah, aku nak makan sedap-sedap.” Fuad bangun sambil menepuk bahu Nik Arif.

“Kau makan nasi dengan budu pun kau cakap sedap!” Nik Arif mengejek.

Fuad ketawa kecil.

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff