my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 14

BAHAGIAN 14


DATUK MARZUKI menghantar Ustaz Idris sehingga ke pintu pagar. Sejak akhir-akhir ini hatinya benar-benar lega kerana apa yang diinginkan sudah pun termakbul.

“Awak balik awal sikit Zakiah. Nanti kita boleh belajar bersama!” Datuk Marzuki teringat perbualannya dengan Zakiah suatu ketika dahulu. Ketika itu Zakiah bertembung dengan Ustaz Idris di pintu utama. Zakiah hanya mendengar endah tak endah. Dia merenung Zakiah yang meletakkan punggung di sofa.

“Kiah banyak kerjalah bang. Abang pun tahu kerja Kiah macam mana.”

Dia mengeluh mendengar penerimaan Zakiah yang begitu hambar.

“Masakan hari-hari banyak kerja. Ada hari awak cuti awak beritahlah. Kita usahakan belajar bersama-sama.” Usul datuk Marzuki dengan penuh harapan.

Zakiah merengus. “Abang belajarlah seorang. Abang yang suruh ustaz tu datang kenapa… Dah rasa nak mati?”

Tersentak dia mendengar kata-kata tersebut. Terbelalak matanya. Zakiah benar-benar mencabarnya. Dia mengucap panjang di dalam hati.

“Orang muda pun mati juga, tahu tak Kiah!” Datuk Marzuki berkata kerasa tetapi suaranya masih rendah.

“Kiah tahulah tapi Kiah banyak kerjalah bang. Abang belajarlah sendiri kalau nak masuk syurga sangat.”

Mahu sahaja dia menampar Zakiah. Kenapa Zakiah begitu celupar? Apakah Zakiah merasakan yang dia tidak akan mati untuk selama-lamanya?

“Kenapa dengan Kiah ni! Abang sebagai suami mahu mengajak Kiah membuat perkara yang betul, perkara baik… yang Kiah nak marah-marah kenapa?” Suara Datuk Marzuki bertambah keras. Dia tidak tahu kenapa Zakiah begitu kurang ajar. Dahulu ketika dia baru mengenali Zakiah, Zakiah amat baik dan sopan. Kini sifat-sifat itu sudah hilang ditelan masa.

“Kita makin lama makin tua, Zakiah. Abang terasa benar-benar kosong sekarang. Benara-benar tak ada apa. Sejak belajar dengan Ustaz Idris ni, abang rasa tenang dan aman. Abang benar-benar rasa diri abang pulih semula.” Datuk Marzuki mahu Zakiah mengerti apa yang dirasainya sekarang. Dia mahu Zakiah tahu keseronokan dunia tidak pernah kekal buat selamanya. Namun hanya rengusan Zakiah yang didengarinya, sebelum perempuan itu bangun untuk naik ke tingkat atas dengan wajah yang masam mencuka.

“Zakiah tak boleh dibentuk,” desis Datuk Marzuki sambil duduk di kerusi halaman rumahnya. Dia mendongak ke langit. Langit kelihatan bercahaya ditambah oleh bintang-bintang yang bergemerlapan.

“Rumah ni terlalu besar bang.”

Dia teringat kata-kata Zainab suatu ketika dahulu. “Zai rasa sunyi. Rasa benar-benar kosong. Dah lama kita tak sembahyang berjemaah bersama-sama.” Zainab menyambung kata.

Datuk Marzuki medengar acuh tak acuh.

“Bagaimana sibuknya abang, Zai harap abang tak akan berubah… berubah pada Zai dan berubah pada agama kita.”

Kata-kata Zainab benar-benar menysup ke telinganya. Dia rasa terpukul namun dia tidak akan menyerah kalah. Dia tahu Zainab dapat membaca perubahan demi perubahan terhadap dirnya namun Zainab tidak pernah mempertikaikannya lagi. Dia sudah jarang pulang ke rumah, dia sudah jarang berbual dengan Zainab dan paling ketara dia jarang duduk di kaki sejadah. Dia tahu Zainab memerhatikan perubahannya.

“Kalau abang berubah dengan Zai pun tak apa bang, tapi jangan berubah dengan agama kita. Dia yang membantu abang berjaya sekarang.” Zainab bersuara tenang.

Datuk Marzuki dapat merasakan yang Zainab mahu menyampaikan sesuatu. Namun dia tidak peduli. Kejayaan demi kejayaan membuat dia semakin jauh dengan Zainab dan agamanya.

“Kalau abang perlukan seorang isteri yang dapat mengikut abang ke sana ke mari, kahwinlah.. Zai relakan tapi jangan sesekali berzina bang!”

Zainab memberitahunya pada suatu hari. Mungkin Zainab mendengar desas-desus yang semakin menular. Gosip antara dia dengan seorang penyanyi terkenal tanah air yang sudah lama menjanda.

“Kalau abang merasakan yang Zai dah tak dapat menunaikan tanggungjawab Zai sebagai isteri dengan baik, abang boleh cari siapa saja untuk menggantikan Zai. Zai rela bang!”

Dia tahu Zainab berkata dengan hati yang separuh terluka. Namun peduli apa dia. Dia punya segalanya sekarang walaupun tidak dinafikan yang kekayaan tersebut bermula daripada pengorbanan Zainab. Zainab yang menyerahkan hampir keseluruhan gajinya setiap bulan untuk rumah tangga mereka kerana mahu melihat dia berjaya. Zainab yang tidak pernah jemu menantinya pulang dengan doa dan harapan.

“Seperti yang Zai katakan pada abang, walau abang berubah dengan Zai sekalipun tapi janganlah abang berubah pada agama, bang.”

Dia terdengar suara tersebut begitu sayu. Dia tahu dia semakin jauh dari Zainab, semakin jauh daripada Atiqah, satu-satunya anak tunggal mereka. Pada kala itu dia merasakan dia boleh mencari orang menggantikan tempat Zainab bila-bila masa. Dia juga merasakan untuk mendapat anak selain daripada Atiqah tidak menjadi masalah pada dirinya.

Cinta boleh didapati dengan mudah sehingga dia tidak dapat membezakan antara cinta suci dengan palsu. Dia sudah tidak menghargai Zainab seperti dahulu. Zainab tidak lagi membawa erti apa-apa. Zainab hanya seorang isteri yang sopan dan penuh pengertian. Isteri yang lebih suka menghabiskan masa di rumah daripada menikmati kehidupan bersosial. Kolot!

“Kau ada dengarkan hubungan abang dengan Susan?” Dia bertanya Zainab pada suatu malam ketika Zainab menantinya dengan penuh setia, penuh pengertian dan kasih saying yang tidak pernah berubah. Dia mahu melihat kejutan di wajah Zainab namun Zainab adalah seorang wanita yang benar-benar tabah yang pernah dilihatnya.

“Kenapa… Abang mahu menafikannya?” Tanya Zainab perlahan.

Dia tahu Zainab masih mempunyai kepercayaan padanya. Dia tahu Zainab masih mengasihinya seperti dahulu dan paling penting Zanab masih menaruh harapan yang rumah tangga mereka masih dapat diselamatkan.

“Tak… abang mahu mengakuinya!” Dia menjawab pantas.

Ada kejutan di wajah Zainab. Cuma sebentar. Dia melihat wajah Zainab cerah kembali. Tenang dan tidak berkocak.

“Kami dah berunding.” Dia terus-terusan bersuara.Cepat dan penuh keyakinan.

“Kami siapa bang?” Zainab bertanya perlahan. Ada sedikit getaran pada suara tersebut. Ada nada resah dan gelisah.

“Abang dan Susan!” Dia menjawab tanpa apa-apa perasaan. Dia malas mahu menimbangkan perasaan Zainab. Biarkan. Dia sudah muak dengan kehidupan dengan Zainab yang tidak membawa apa-apa pengertian sekarang. Perkahwinan mereka sudah terlalu lama. Sudah mula membosankan.

“Apa yang abang rundingkan. Susan tu Cinakan bang?” Zainab bertanya.

Dia mengangguk acuh tak acuh.

“Kami akan berkahwin.” Dia tidak tahu sama ada Zainab terluka dengan kata-kata tersebut ataupun tidak. Dia merenung wajah Zainab yang tenang. Tidak ada riak kecewa.

“Alhamdulillah. Susan tu bukan Islam. Bimbing dia dengan baik, bang.”

Dia agak terperanjat mendengar kata-kata tersebut. Ikhlas dan tulus kedengarannya. Zainab nampaknya tidak terluka dengan berita yang dibawanya. Zainab tidak terasa apa-apa dengan berita dan cerita tersebut.

“Tapi Susan tak mahu dimadukan.” Dia cuba membuat perasaan Zainab bergelodak. Dia dapat melihat perubahan di wajah Zainab. Wajah tersebut mendung tiba-tiba. Dia tahu walau dalam apa keadaan pun Zainab tidak mahu dilepaskan.

“Abang mahu kita bercerai?” Tanya Zainab.

Dia menggeleng. Walau kasihnya sudah hambar terhadap Zainab namun menceraikan Zainab bukanlah pilihan yang terbaik. Zainab seorang isteri yang bijak. Zainab seorang isteri yang bijak. Zainab seorang isteri yang sabar dan Zainab juga seorang pelindung. Dia takut apa-apa berlaku terhadap dirinya kalau dia menceraikan Zainab yang tidak pernah dinafikan kebaikan, kesetiaan dan ketaatannya.

“Susan masih muda, cantik dan dia juga bakal menjadi seorang Islam. Dia akan menyenangkan abang, dia akan dapat memberi zuriat yang ramai pada abang dan kalau dia mendapat bimbingan yang betul, dia akan menjadi seorang muslim yang baik. Pilihlah dia bang. Zai rela dilepaskan.”

Dia benar-benar terperanjat kali ini. Dia tidak menyangka langsung kata-kata tersebut akan keluar dari mulut Zainab. Jika tadi dia seronok menduga, kini dia pula yang terduga.

“Bercerai! Kau tak rasa takut diceraikan dan hilang segalanya?” Dia bertanya sinis.

Dia melihat Zainab menggeleng. Selembut-lembut Zainab, Zainab ialah seoarng wanita yang keras dan tegas pendiriannya.

“Zai tak hilang apa-apa bang. Mungkin Zai akan kehilangan abang tapi Zai tak mahu hilang kewarasan, hilang kemanusiaan dan hilang pegangan. Zai masih boleh meneruskan kehidupan. Abang jangan bimbang. Cuma satu yang Zai pinta pada abang. Atiqah tu tetap anak kita. Dia terlalu sensitif. Kalau abang ingin lakukan sesuatu, fikirkan perasaan Atiqah sama. Dia terlalu sayangkan abang dan jangan abang lakukan sesuatu yang membuat sayang dia terhadap abang hilang dan hormatnya terhadap abang kurang.”

Begitu tegas Zainab mengeluarkan kata-kata tersebut. Begitu berkeyakinan. Zainab seolah-olah sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Zainab seolah-olah sudah tahu apa uang bakal berlaku. Lama dia terpaku. Terkesima.

“Tapi abang tak bersedia lagi untuk menceraikan Zai.” Sekejap dia berabang. Sekejap dia beraku, engkau.

Sekarang Datuk Marzuki diserang kebimbangan. Adakah tindakannya itu betul? Dia tahu selama ini dia Berjaya bersandarkan doa Zainab. Dia juga tahu kejayaan yang diterimanya hanya atas pengorbanan Zainab. Walau kadangkala dia hilang sedikit kewarasan namun dia terpaksa mengakuinya. Dia selalu melihat Zainab bangun pada tengah-tengah malam mendoakan kejayaannya. Dia dapat mendengar suara Zainab teresak-esak supaya kejayaan yang diimpikannya termakbul.

“Abang jangan bimbang. Zai tak akan mati bunuh diri. Percayalah! Tapi kalau itu keputusan abang, ceraikanlah Zai bang. Lagipun dari wajah abang, Zai tah abang mahu lakukannya. Cuma abang rasa takut bukan? Insya-Allah bang, Zai taka pa-apa. Cuma jangan kecewakan Atiqah.”

Kata-kata tersebut begitu tulus. Dia sebenarnya mahu melihat Zainab terluka namun akhirnya dia sendiri yang terluka. Dia tidak mahu melepaskan Zainab kerana takut sesuatu akan berlaku pada dirinya. Takut sumpahan yang sering terkena pada orang lain yang lupa pada pengorbanan isteri akan terjadi pada dirinya. Namun dia lupa, dia sudah lama melukakan hati Zainab. Dia sudah lama membuat Zainab menderita.

“Tidak! Abang tak akan ceraikan kau.” Itu keputusannya.

Dia sebenarnya diserang rasa takut dan bimbang. Ramai rakan perniagaan yang mengenali Zainab, isterinya mengatakan dia beruntung kerana mendapat isteri yang sebijak dan sebaik Zainab. Dia tahu bagaimana masyarakat menilai. Walau kadangkala dia tidak peduli tetapi sebagai manusia biasa, timbul juga sedikit perasaan takut dan bimbang.

“Kalau itu permintaan Susan, abang kena tunaikan.”

Zainab kelihatan begitu beria-ia. Dia sudah mula marah dengan kata-kata tersebut.

“Segala keputusan di tangan aku. Jangan pandai-pandai nak ajar aku!” Dia seakan menjerit.

Ada kejutan di wajah Zainab. Sejak akhir-akhir ini dia benar-benar berubah. Dia tidak tahu di manakah hilang pertimbangannya sebagai lelaki dan suami.

“Buatlah apa saja yang terbaik untuk diri abang. Zai akan menerimanya.”

Akhirnya Zainab membuat keputusan. Zainab berkata dengan hati yang terluka. Dia tidak tahu kenapa sejak hari itu hatinya begitu sakit dengan Zainab. Zainab yang tenang dan penuh pengertian. Rasa sakit hatinya membuat dia sudah berani membawa pulang perempuan ke rumah. Zainab menangis melihat kelakuannya. Namun Zainab masih mendoakannya. Masih mendoakan kesejahteraan hidupnya walaupun dia sudah tidak tidur sekatil dengan Zainab lagi. Dia benar-benar membuat Zainab menderita. Dia benar-benar membuat Zainab kecewa.

Akhirnya Zainab yang lembut dan tenang membuat tindakan sendiri. Dia terperanjat ketika menerima surat daripada mahkamah. Mereka kemudian bertengkar hebat dan akhirnya dengan perasaan sedikit takut dan kesal, Zainab terpaksa diceraikan.

Dia juga terpaksa membayar Zainab. Zainab tidak meminta berlebihan. Zainab boleh meminta berjuta ringgit jika dia mahu. Dia tahu Zainab akan menang kerana pembantu rumahnya boleh menjadi saksi segala kelakuannya yang membuat Zainab meminta cerai.

Di mahkamah dia cuba memburukkan Zainab namun segalanya begitu canggung dan serba tak kena. Zainab yang kelihatan begitu tenang tidak mengalami apa-apa masalah untuk menawan hati majistret di mahkamah syariah. Akhirnya dia kalah.

“Apa pun yang terjadi, Zai tetap sayangkan abang. Mungkin jodoh kita tak ada bang. Semoga selepas ini tak ada sengketa antara kita. Janganlah kita memburukkan antara satu sama lain semata-mata kerana perceraian ini. Apa pun Atiqah tetap anak abang. Hormatilah perasaan dia. Biarlah Zai pergi… Mungkin kita tak akan berjumpa lgi. Halalkan makan dan minum Zai selama ini.”

Begitu tulus Zainab berkata ketika mereka bertembung di perkarangan mahkamah syariah selepas dia terpaksa menjatuhkan talak untuk Zainab. Dia tidak tahu kenapa hatinya benar-benar sakit menatap wajah perempuan yang sudah lama berkongsi hidup dengannya.

Datuk Marzuki menyeka air matanya yang mengalir perlahan-lahan. Sejak hari itu dia tidak lagi berjumpa dengan Zainab. Dengan khabarnya Zainab keluar negara. Dia tidak tahu kenapa. Dia hanya berjumpa dengan Atiqah. Itu pun Atiqah membuatnya seperti musuh.

“Memang manusia begitu. Membuat sesuatu tanpa pertimbangan. Kemudian menyesalinya bila segalanya sudah tak ada di depan mata. Semuanya pengajaran.”

Dia teringat kata-kata Baharom apabila dia menceritakan apa yang terbuku dan dirasakan di hatinya sekarang. Dia merasakan hidupnya kosong. Dia berjaya dan punya segalanya namun dia tidak punyai sesiapa yang dapat dikongsi bersama. Ada isteri, mereka mengahwininya kerana harta. Inikah musibah yang terpaksa diterima kerana mengetepikan perasaan seorang wanita yang baik dan mulia?

“Saya kesal Baharom.” Memang dia benar-benar kesal dengan apa yang berlaku.

Dia benar-benar kecewa namun segalanya sudah terlambat. Perkahwinan demi perkahwinannya tidak menghasilkan apa-apa. Dia langsung tidak mendapat zuriat baru dan paling menyedihkan Atiqah semakin jauh darinya. Dia hilang segala kasih sayang yang dia ada. Dia hilang segala penghormatan.

“Baguslah Datuk. Berserahlah pada Tuhan. Terimalah segalanya sebagai satu pengajaran untuk kita tauladani pada masa-masa akan datang.” Datuk Marzuki mengesat air matanya. Dia merenung rumah banglonya yang tersergam indah di hadapannya. Dia berserah segalanya kepada Tuhan.

2 comments:

Sue-Rya Qistina said...

kena baca bila ada masa terluang ni. hehe

Kniedaz said...

ok..done... ^_^

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff