my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 17

BAHAGIAN 17


ATIQAH akhirnya menerima tawaran Datuk Marzuki untuk bekerja di syarikat ayahnya. Itu pun selepas beberapa kali menelefon mamanya yang berada di New Zealand. Puan Zainab menyuruh dia menerima kerana dia mahu Atiqah memikirkan tentang masa depan syarikat tersebut. Selepas menimbang pula pendapat Dahlia dan Fuad, akhirnya Atiqah nekad berjumpa dengan ayahnya pagi itu apatah lagi dengan masalah di tempat kerja yang memeningkan kepalanya.

“Macam mana keputusan Iqa?” Tanya Datuk Marzuki.

Dia merasa lega apabila Atiqah mengangguk.

“Iqa terima ayah tapi ada beberapa syarat yang Iqa mahu ayah patuhi.”

Datuk Marzuki mengerutkan dahinya, hairan mendengar kata-kata Atiqah. Atiqah meletakkan syarat? Mungkin Atiqah tidak mempercayainya.

“Iqa… Iqa, syarat apa pula ni?” Dia merenung Atiqah yang tenang. Hatinya benar-benar gembira dengan penerimaan Atiqah. Dia berharap Atiqah akan bekerja dengannya secepat mungkin.

“Pertama, Iqa mahu dan boleh membuat keputusan sendiri. Iqa mahu diberi kebebasan…”

Datuk Marzuki mengerutkan dahinya, kemudian ketawa kecil sambil mengangguk. Memang itu diharapkannya. Dia akan mengajar Atiqah membuat keputusan sendiri.

“Ada lagi?” Usik Datuk Marzuki.

Atiqah mengangguk lagi. Ada beberapa syarat lagi yang diharapkan akan dipatuhi oleh ayahnya. Dia sudah memikir dan menimbangkannya.

“Iqa tak mahu pulang ke rumah. Buat sementara waktu, Iqa masih mahu duduk di rumah sewa Iqa.”

Datuk Marzuki merenung Atiqah lama, mengeluh perlahan. Dia tidak tahu di mana Atiqah tinggal sekarang. Kalau boleh di dalam masa terdekat ini dia mahu Atiqah pulang ke rumah. Dia tiba-tiba teringatkan Zainab, mama Atiqah. Kalau Zainab mahu tinggal di rumah banglo tersebut, dia akan membenarkannya.

“Iqa masih tak mahu memaafkan ayah?” Datuk Marzuki bertanya perlahan.

Atiqah tersenyum kelat. Dia sudah memaafkan ayahnya. Kalau tidak, masakan dia menerima tawaran ayahnya itu.

“Baliklah… sekurang-kurangnya kalau Iqa balik, ayah ada kawan di rumah. Ayah selalu sunyi, Iqa.”

“Ayah dah ada Zakiah. Dengarnya perempuan tu dah ada anak tiga. Apa masalahnya ayah?” Tanya Atiqah separuh menyindir.

Datuk Marzuki hanya diam. Dia tahu Atiqah menyindirnya.

Melihat ayahnya yang cuma diam, Atiqah menyambung kata, “Iqa juga tak mahu diperkenalkan sebagai anak Datuk Marzuki buat sementara waktu.”

Pelik permintaan Atiqah yang ini. Datuk Marzuki menggeleng tidak faham. Hairan!

“Kenapa?” Tanya Datuk Marzuki. Memang dimakluminya Atiqah dari dahulu tidak suka orang tahu siapa dirinya.

“Iqa belum bersedia. Iqa mahu Iqa dihargai kerana kebolehan Iqa, bukan kerana Iqa anak Datuk Marzuki!”

Datuk Marzuki mengeluh. Dia tidak tahu muslihat apa yang Atiqah mainkan namun kepalanya dianggukkan juga.

“Tapi Iqa, walau macam mana pun ayah kena beritahu lembaga pengarah yang Iqa anak ayah. Lagipun ramai lembaga pengarah tahu yang Iqa anak ayah.” Datuk Marzuki berkata separuh ketawa.

Atiqah terdiam seketika. Benar juga kata-kata ayahnya itu. Dahulu ketika ayahnya masih baik dengan mamanya, dia selalu datang ke pejabat ayahnya.

“Dan yang terakhir ayah, Iqa mahu appointment letter Iqa. Iqa mahu surat hitam putih. “ Pinta Atiqah lagi. Datuk Marzuki terus-terusan menggeleng. Atiqah memang pelik. Selalu membuat perkara yang memeningkan kepalanya. Namun apa yang dipinta oleh Atiqah akan cuba ditunaikan sebaik mungkin. Yang penting Atiqah dekat dengannya kembali.

“Iqa mahu dibayar gaji mengikut kemampuan Iqa, bukan kerana Iqa anak Datuk Marzuki. Sama seperti pekerja dan pengarah lain yang masuk ke syarikat ni.” Sambung Atiqah lagi.

Datuk Marzuki gembira. Syarat-syarat Atiqah tidak sesusah mana.

“Okey… tak ada masalah. Berapa Iqa mahu bayar gaji Iqa?” Tanya Datuk Marzuki seolah-olah mengusik.

“Terpulang pada ayah.”

Datuk Marzuki ketawa kecil. Sejak dahulu diperhatikannya Atiqah ada bakat dalam bidang perniagaan. Anak itu suka memerhati dan belajar. Cuma kerana dia, Atiqah banyak melawan sehingga anak gadisnya itu keluar dari rumah.

“Tak ada syarat lagi?” Tanya Datuk Marzuki bergurau. Dia gembira dengan keputusan Atiqah untuk bekerja di syarikatnya. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu bimbang jika ada apa-apa yang berlaku nanti. Dia sudah semakin tua dan perlukan pengganti untuk menggantikannya menguruskan perniagaan.

“Tengoklah… Iqa ingat Iqa nak jumpa mama di New Zealand. Iqa dah lama tak jumpa mama.” Atiqah berkata perlahan. Baru semalam dia bercakap dengan mamanya. Mama nampak girang benar bila dia mengatakan mahu ke New Zealand.

“Iqa ada duit?” Tanya Datuk Marzuki.

Atiqah mengangguk.

“Iqa ingat nak bawa nenek kalau dia mahu. Kalau dia tak mahu, Iqa pergi seorang. Mungkin juga dengan busu. Itu pun kalau dia ada masa.” Terang Atiqah lagi.

Datuk Marzuki merenung Atiqah. Perlahan-lahan dia menarik laci mejanya. Dia mngeluarkan buku ceknya, menulis sesuatu dan kemudian mengoyakkan cek dari bukunya. Dihulurkan cek tersebut pada Atiqah.

“Untuk Iqa belanja di New Zealand nanti.’ Datuk Marzuki berkata perlahan.

Atiqah merenung jumlah yang berada di cek tersebut. Lima puluh ribu ringgit? Dia merenung ayahnya. Datuk Marzuki mengangguk, meminta dia menerimanya.

“Kalau Iqa rasa tak cukup, beritahu ayah!” Pesan Datuk Marzuki.

Atiqah merasa berbelah bagi namun dimasukkan juga cek tersebut ke dalam poket baju kemejanya.

Datuk Marzuki mengeluarkan pula sebuah kotak sebesar enam inci lalu diunjukkan pada Atiqah.

“Ayah ada hadiah untuk Iqa.”

Atiqah mengerutkan dahinya. Dibelek-beleknya kotak yang diberikan padanya. Lama. Entah kenapa dia rasa pelik. Kenapa ayahnya terlalu baik dengannya akhir-akhir ini.

“Apa ni ayah?”

Datuk Marzuki hanya tersenyum. Itu memang niatnya. Beberapa minggu yang lepas dia ke Jepun. Apabila ternampak hadiah tersebut, dia lantas teringatkan Atiqah.

“Bukalah.”

Atiqah membukanya perlahan-lahan. Tersentak. Dia kembali teringat cerita Nik Arif. Lama set perhiasan mutiara tersebut direnungnya.

“Iqa tak suka?” Tanya Datuk Marzuki.

Atiqah mengeluh kemudian menutup kotak tersebut.

“Cantik ayah, ni yang hilang masa penghantaran hari tu?”

Datuk Marzuki mengerutkan dahinya. Bagaimana Atiqah tahu? Dia meradang bila diberitahu set barang perhiasan anaknya tidak ada ketika pekerjanya menerima barang kiriman dari Jepun beberapa hari yang lalu. Ada satu set lagi yang masih disimpannya. Dia tidak memberitahu Zakiah apa yang dibelinya kerana dia tahu Zakiah tentu akan memintanya.

“Mana Iqa tahu?” Tanya Datuk Marzuki, melahirkan rasa hairannya. Banyak perkara yang anaknya itu tahu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana Atiqah boleh tahu.

“Tak payahlah Iqa beritahu. Tentu mahal bukan?”

Datuk Marzuki ketawa. Wajah Atiqah direnungnya dengan penuh kasih saying. Sejak akhir-akhir ini Atiqah begitu lembut dimatanya.

“Bila Iqa nak jumpa mama Iqa?” Tanya Datuk Marzuki lagi.

Atiqah merenung ayahnya. Mungkin sehari dua lagi dia akan berangkat ke sana. Bergantung kepada keadaan.

“Kirim salam pada mama Iqa tapi sebelum Iqa pergi, jumpa ayah dulu. Ayah nak kirim barang untuk mama Iqa.” Meluncur kata-kata tersebut dari mulut Datuk Marzuki.

Atiqah merenung ayahnya.

“Jangan sakiti hati mama Iqa lagi ayah…” Atiqah berkata perlahan.

Bagi Atiqah mamanya begitu baik. Apa yang berlaku antara ayah dengan mamanya suatu ketika dahulu, sudah lama berlalu. Dia tak mahu mamanya dilukai lagi.

“Ayah bukan mahu menyakitkan hatinya, Iqa. Sekurang-kurangnya ayah mahu mama Iqa tahu apa pun yang berlaku dulu, ayah tetap sayangkan mama kamu.”

Atriqah mahu ketawa mendengarnya namun dia malas mahu membincangkan perkara tersebut dengan ayahnya. Dia lalu bangun menghampiri ayahnya. Dipeluknya Datuk Marzuki erat.

“Iqa minta diri dulu. Insya-Allah Iqa akan telefon ayah nanti.”

Datuk Marzuki merenung Atiqah yang sudah berdiri di muka pintu. Dia berasa sedih dengan apa yang berlaku. Hingga Atiqah hilang di balik pintu pun dia masih terpaku. Pelukan yang baru dirasakan tadi masih diingatinya. Sudah begitu lama dia rindukan pelukan Atiqah.

“Atiqah macam Zainab.” Getus hatinya pedih.

DAHLIA menjerit apabila Atiqah menunjukkan hadiah yang diberi oleh Datuk Marzuki padanya. Dia begitu kagum melihat perhiasan mutiara yang berada di hadapannya.

“Cantiknya Iqa!” Dahlia berkata kagum.

“Kau nak?”

Dahlia membeliakkan matanya. Kata-kata Atiqah tidak masuk akal.

“Kau nak mampus? Entah berapa ribu ayah kau beli, kau nak bagi aku? Pakailah!”

Atiqah merengus.

“Kau ingat aku ni gila glamor macam Zakiah tu? Pakai perhiasan nak patah tengkuk dibuatnya!” Atiqah mengejek.

Dahlia ketawa sambil menepuk lengan Atiqah.

“Kau dah pernah jumpa dia?” Tanya Dahlia pada Atiqah.

Atiqah menggeleng.

“Pergilah jumpa. Kau tunjukkan sikit muka kau tu. Menyampah betul aku tengok dia!” Cucuk Dahlia sambil tersenyum.

“Jangan laga-lagakan aku dengan perempuan tu, Dahlia. Aku tahu siapa ayah aku. Perempuan bagi dia hanya pakaian yang boleh ditukar ganti. Aku tak mahu cari gaduh dengan Zakiah. Biarlah dia mengecapi kebahagiaan dengan harta benda yanga ayah aku bagi sekarang selagi berpeluang kerana aku yakin ayah aku tak akan kekal dengannya.” Atiqah berkata tenang.

“Kau mendoakan mereka bercerai?” Usik Dahlia.

Atiqah mendepangkan tangannya. Sebagai anak. Dia faham perangai ayahnya. Sudah beberapa kali ayahnya berkahwin. Cuma yang dia ingat, perkahwinan mama dan ayahnya yang paling lama.

“Cantikkan?” Dahlia menunjukkan jarinya. Cincin mutiara yangbaru dikeluarkan dari kotak disarung ke jarinya.

“Pandai ayah kau pilih.”

Atiqah tidak menjawab. Dia sedanag membelek kertas yang berada di meja Dahlia. Beberapa hari lagi pelancaran sekolah kanan-kanak istimewa berkomputer akan diadakan. Sepatutnya sudah dilancarkan sebulan yang lepas namun Dahlia menangguhkannya kerana ada lagi syarikat yang mahu memderma.

Atiqah mengambil sekeping kertas dan membacanya.

“Hei Dahlia! Kau gila?”

“Kenapa?” Dahlia melihat dahi Atiqah berkerut-kerut.

“Kau gila, aku tak suka kau letak nama ayah aku Datuk. Better you delete, Dahlia.”

Dahlia ketawa besar. Menepuk bahu Atiqah.

“Relakslah Iqa, yang kau nak marah ni kenapa. Ini Cuma draf aja. Lagipun bagus juga aku letak nama ayah kau. Orang akan tahu. Hei. anak Datuk buat kerja amal!” Dahlia berkata sambil tersengih.

Atiqah menggeleng. Tidak senang dengan kata-kata Dahlia. Jari telunjuknya digoyangkan beberapa kali.

“Kalau kau berani buat, aku tarik balik program yang aku buat tu.” Atiqah separuh mengugut.

“Apa salahnya Iqa… Letak nama bapa kau aja. Tak salahkan…” Rahu Dahlia.

Atiqah tetap menggoyangkan jarinya.

No, no, no. Aku tak setuju. Kau jangan main-main Dahlia. Aku serius ni. Kalau kau berani letak, siaplah kau!” Gertak Atiqah.

Dahlia ketawa. Dia tahu kalau dia meletakkan nama ayah Atiqah Datuk pun, Atiqah bukan boleh buat apa. Gadis itu akhirnya akan berbaik semula dengannya.

“Okeylah, okeylah… Aku buang.” Janji Dahlia sambil tersengih.

Atiqah akhirnya tersengih sambil menepuk bahu Dahlia.

2 comments:

Kniedaz said...

dah siap baca....next ^_^

Dunia Wilma said...

Tak sabar nak tunggu next entri ^_^
Novel Wilma hilang...
At least terubat rindu Wilma dengan cerita nie...

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff