my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 18

BAHAGIAN 18


“SAYA nak berhenti kerja, Encik Badrul.” Atiqah berkata perlahan sambil mengunjukkan surat di tangannya.

Berkerut dahi Encik Badrul mendengarnya. Sejak akhir-akhir ini Atiqah selalu mengambil cuti dan dia faham apa yang berlaku pada Atiqah sekarang.

“Awak ada masalah Iqa?” Tanya Encik Badrul gugup.

Atiqah menggeleng. Dia duduk di hadapan Encik Badrul. Encik Badrul tentu menyangka dia kecewa dengan Kasmah di pejabat tersebut.

“Kenapa tiba-tiba nak berhenti?” Encik Badrul bertanya namun bagi Encik Badrul itu satu soalan bodoh. Sejak Kasmah bekerja di situ, Kasmah selalu mencari silap Atiqah dan kadangkala menengking Atiqah sesuka hatinya. Mungkin kerana itu Atiqah mahu meletakkan jawatan. Lagipun dia melihat Faizal pun sudah macam Kasmah. Sudah pandai merendah-rendahkan kebolehan Atiqah. Dia pernah beberapa kali melihat Atiqah membuat air untuk Kasmah.

“Saya dah dapat kerja lain, Encik Badrul.” Atiqah berkata perlahan. Tersenyum. Dia tidak mahu Encik Badrul menyangka yang dia berhenti kerana Kasmah. Bagi Atiqah, Kasmah cuma masalah kecil padanya. Dia tidak apa-apa walaupun hatinya sakit.

“Faizal tahu?” Tanya Encik Badrul.

Atiqah menggeleng.

“Encik Badrul bos saya, saya beritahu Encik Badrullah. Saya nak letak jawatan mulai esok dan saya ada sertakan cek untuk sebulan gaji yang perlu saya jelaskan kerana meletakkan jawatan secara tergesa-gesa. Saya minta maaf Encik Badrul.” Atiqah berkata tenang.

Lama Encik Badrul merenung wajah Atiqah. Rasa hiba tiba-tiba menyelinap dalam dirinya. Atiqah pekerja yang baik. Dia tidak tahu apa yang harus dibuatnya kalau Atiqah tidak ada. Selama ini dia terlalu banyak bergantung pada Atiqah.

‘Kenapa tergesa-gesa sangat ni… tak tunggu seminggu dua. Tak perlu awak membayarnya.”

Atiqah menggeleng sambil tersenyum mesra. Setelah meneliti segalanya, dia tahu dia harus berhenti kerja secepat mungkin. Desakan Datuk Marzuki menyebabkan dia membuat keputusan begitu.

“Iqa, saya minta maaf kerana selama ini saya tak menolong awak bila awak dibuli. Saya tahu awak marahkan saya.” Encik Badrul berkata perlahan. Dia mendengar Atiqah ketawa kecil.

“Tak ada apa yang perlu dimaafkan, Encik Badrul. Sebenarnya untuk pengetahuan Encik Badrul, saya berhenti kerja bukan disebabkan oleh Kasmah atau Tuan Ahmad. Semuanya tak ada kena mengena dengan mereka. Saya berhenti kerja kerana didorong oleh perasaan saya sendiri. Saya suka bekerja di sini, Encik Badrul dan saya bangga kerana mendapat katua seperti Encik Badrul. Encik Badrul seperti abang saya. Selama saya bekerja di sini, tunjuk ajar Encik Badrul akan saya ingat sampai bila-bila. Encik Badrul salah seorang ketua saya yang paling baik.” Atiqah berkata dengan panjang lebar.

Encik Badrul merenung Atiqah lama. Hatinya hiba.

“Saya tahu apa yang Iqa alami sejak akhir-akhir ini agak sukar untuk diterima. Sebenarnya terus terang saya katakana saya tak setuju dengan tindakan Tuan Ahmad meletakkan Kasmah di sini. Tindakannya tak profesional. Kasmah masih terlalu muda dan tak mempunyai pengalaman. Segala perlakuannya dan tindakannya terlalu mengikut hati. Saya faham dia cemburukan awak dengan Faizal. Dalam perniagaan, kita tak boleh begini…”

Atiqah mengangkat tangannya.

“Encik Badrul jangan babitkan Kasmah dalam hal ni. Saya tak akan campurkan hal peribadi dalam kerja. Encik Badrul fahamkan. Insya-Allah walaupun saya tak bekerja di sini, saya rasa hubungan kita masih tak putus lagi. Saya masih boleh datang bukan?” Tanya Atiqah.

Encik Badrul menelan liur. Kasihan Atiqah, desis hatinya. Dia tahu Atiqah kecewa. Dia amat memahaminya.

“Ada apa-apa kerja yang perlu saya bereskan sebelum saya berhenti, Encik Badrul? Saya akan bantu. Nanti saya dah berhenti jangan encik Badrul kutuk saya buat kerja tak betul.”

Encik Badrul tersengih merenung muka Atiqah.

“Tak apalah Atiqah, saya sedih menerima berita yang awak bawa pagi ni. Saya tak tahu nak cakap apa lagi. Yang nyatanya saya benar-benar rasa kehilangan. Harap-harap Iqa akan sudi datang menjenguk saya di sini.”

Atiqah mengangguk.

Tengah hari itu Faizal dengan wajah yang cemas datang ke mejanya.

“Iqa, saya nak jumpa Iqa sekejap boleh?” Tanya Faizal. Ketika itu Atiqah sedang membantu Encik Badrul menyudahkan kerja membuat jadual penjualan.

Atiqah membuntuti Faizal. Dari pagi tadi Atiqah tidak melihat Kasmah. Lantaklah… mungkin Kasmah puas hati sekarang dengan perletakan jawatannya.

“Iqa kenapa nak berhenti?” Tanya Faizal sebaik sahaja Atiqah duduk dihadapannya. Sejak akhir-akhir ini di sedikit kesal kerana selalu terpaksa mengetepikan Atiqah. Namun di sudut hatinya dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

“Ada rezeki di tempat lain, Faizal.” Atiqah berkata lembut.

Faizal mengeluh sambil merenung Atiqah lama. Kepalanya digelengkan.

“Iqa… Kalau hanya kerana apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini Iqa meletakkan jawatan, tarik balik perletakkan jawatan ni Iqa. Faizal akan cuba selesaikan. Faizl tahu Kasmah yang menjadi punca Iqa meletakkan jawatan. Faizal faham perasaan Iqa. Tapi rasanya tak adil kalau iqa buat tindakan macam ni.” Faizal berkata separuh kesal.

“Faizal, Kasmah tak ada kena mengena dalam hal ni. Demi Tuhan, ini yang mahu Iqa jelaskan. Mungkin hubungan Iqa dan Kasmah tak berapa baik. Tapi tak semestinya Iqa dipengaruhi Kasmah untuk meletakkan jawatan. Iqa letak jawatan sebab mendapat kerja yang lebih baik. Iqa kena ubah hidup Iqa.” Atiqah berkata tenang.

Faizal benar-benar terperanjat dengan berita yang dibawa oleh Encik Badrul sebentar tadi. Dia rasa kesal kerana sejak akhir-akhir ini dia seolah-olah tidak mempedulikan Atiqah. Dia kadangkala serba salah. Ayahnya terlalu mendesak dan sebab itu dia cuba menjauhkan diri dari Atiqah. Lagipun kadangkala dia tidak larat melayan karenah Kasmah.

“Faizal minta maaf Iqa kerana membuat Iqa kecewa…” Faizal berkata perlahan.

Atiqah ketawa kecil. Dia dapat melihat wajah Faizal yang muram. Bagi Atiqah, dalam pekerjaan masalah peribadi tidak boleh dicampuradukkan. Walaupun dia rasa dia sukakan Faizal dan Faizal membuat dia kecewa tetapi di tahu dia perlu bekerja seperti dahulu. Pujukkan ayahnya sahaja membuat dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

“Faizal… tak ada apa yang nak dikecewakan. Saya tak ada apa-apa Faizal. Kalau Faizal merasakan kekecewaan menyebabkan saya meletakkan jawatan, itu tak benar sama sekali. Walaupun saya cuma kerani di sini tapi bagi saya, kerja- tetap kerja. Saya memegang pendapat yang mengatakan pekerjaan tak boleh dicampur aduk dengan hal-hal peribadi. Saya mahu melakukan sesuatu secara profesional. Faizal jangan anggap perletakkan jawatan saya ni kerana dipengaruhi rasa kecewa. Saya harap Faizal faham dan saya mahu Faizal tahu saya tak ada apa-apa perasaan terhadap Faizal. Saya tahu saya tak setaraf dengan Faizal.” Atiqah berterus terang. Itu adalah lebih barik daripada Faizal menaruh prasangka terhadapnya.

Faizal merenung wajah Atiqah lama.

“Saya tahu selama ni Faizal berprasangka pada saya. Kasmah dan Tuan Ahmad pun begitu. Tapi percayalah Faizal, saya anggap Faizal tak lebih daripada seorang kawan dan seorang pegawai.” Atiqah meluahkan rasa hatinya. Dia mahu Faizal sedar dia tidak ada perasaan terhadap lelaki tersebut. Jauh sekali untuk rasa cemburu dan sakit hati.

“Iqa, saya minta maaf…”Faizal berkata dengan suara bergetar.

Penjelasan Atiqah membuatkan dia rasa terpukul. Banyak perkara yang membuat Atiqah kecewa. Dia pernah memarahi Atiqah kerana melawan Kasmah namun dia kesal kemudiannya. Cuma penjelasan Atiqah yang begitu berterus terang membuat dia sedikit terperanjat.

“Iqa nak kerja di mana?” Tanya Faizal.

Atiqah mengeluh perlahan. Itu rahsianya.

“Tak payahlah beritahu Faizal. Moga-moga di tempat kerja baru saya akan lebih dihargai.”

Faizal menelan air liurnya. Pahit. Tidak suka mendengar kata-kata Atiqah. Tajam bagai belati yang menusuk dadanya.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, boleh saya keluar? Lagipun saya nak tolong Encik Badrul siapkan jadual penjualan.” Atiqah mendepangkan tangannya.

Faizal mengangguk perlahan. Dia merenung tubuh Atiqah yang berjalan keluar. Di sudut hatinya dia sedih kerana Atiqah sudah meletakkan jawatan namun terselit juga sedikit rasa lega. Dia tidak akan mendengar lagi Kasmah mengadu itu dan ini fasal Atiqah dengannya lagi. Moga-moga di tempat kerja yang baru Atiqah akan ditemukan dengan orang lain dan mendapat kerja yang lebih baik.

Dia rasa sayu tiba-tiba.

2 comments:

Kesuma Angsana said...

best lak baca ni

Mrs Velentine said...

best ni..makin ketinggalan tahun depan dah kurang busy dtg baca lagi

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff