my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 2

BAHAGIAN 2


ATIQAH membelek buku kanak-kanak yang diambil dari atas rak bukunya. Dia membuka satu per satu muka surat buku tersebut. Perlahan-lahan dia meletakkan muka surat yang mempunyai gambar kucing di scanner yang berada di meja komputernya. Dia kemudian menekan sesuatu di komputernya.

“Okey, cantik!”

Dia tersenyum dan ketawa sendirian apabila melihat gambar kucing yang baru discan berada di dalam komputernya. Dia menaip sesuatu. Kemudian membelek buku yang berada di scanner itu semula.

“Dog, buffalo, giraffe. Ambil zirafahlah.” Dia berkata pada dirinya sendiri. Kemudian memilih gambar zirafah di dalam buku tersebut. Dia melakukan proses yang sama. Meletakkan buku tersebut di atas scanner kemudian menekan butang komputer dan tetikusnya.

“Kau buat apa tu Iqa?” June, rakan serumahnya bertanya.

Atiqah tidak menjawab, masih tekun dengan komputernya. Beberapa hari yang lepas, rakannya Dahlia yang menjadi pengetua di sekolah kanak-kanak istimewa meminta dia membuat satu program yang membolehkan anak-anak istimewa tersebut mempelajari komputer dengan lebih menarik dan cepat.

“Hei, kucing, zirafah... Kau buat apa ni Iqa?’ Tanya June lagi.

“Tolong kawan aku buat program untuk kanak-kanak.” Atiqah berkata perlahan. Namun matanya langsung tak berganjak dari skrin komputer. Masih meneliti dan kadangkala tersenyum sendirian.

Atiqah tahun June menyindirnya. Rakan serumahnya itu memang selalu tidak yakin dengan kebolehan orang lain.

“Dari semalam kaun buat tak habis-habis lagi?” June berkata lagi.

Atiqah ketawa kecil. Permintaan Dahlia memang nampak mudah namun tidak mudah untuk mencari bahan yang baik dan bermutu. Dahlia telah memberitahunya tentang keadaan anak-anak muridnya yang agak lambat untuk menangkap namun lebih tertarik kepada warna yang cantik dan menarik. Jadi dia rasa adalah menjadi tugasnya mencari bahan yang benar-benar bermutu dan dapat menarik perhatian anak-anak tersebut.

“Bukan mudah June, buat program bukan macam tulis surat.”

June mencebir bibirnya kerana rasa tersindir dengan jawapan Atiqah. Dia menjenguk-jenguk apa yang dibuat oleh Atiqah.

“Kau tak keluar hari ni?” Tanya June.

Atiqah menggeleng. Dahlia berjanji untuk datang ke rumahnya, mahu berbincang tentang projek yang akan mereka lakukan nanti. Dahlia berjanji akan datang jam dua belas namun sehingga sekarang gadis itu masih belum muncul-muncul. Tidak tahu kenapa.

“Kau tak keluar ke June? Biasanya hari minggu macam ni kau tak lekat kat rumah.” Tanya Atiqah. Matanya masih tertumpu di skrin.

“Keluar sekejap. Anak Mak Cik Mimah ajak aku keluar.” June menepuk lengan Atiqah.

Atiqah tersenyum mengerti. Dia sebenarnya menyewa di belakang rumah Hajah Mimah. Sudah setahun dia duduk di situ. Dia agak rapat dengan Hajah Mimah yang sudah dianggapnya sebagai ibu sendiri. Beberapa hari yang lepas, anak Hajah Mimah yang berada di luar negara pulang. June nampaknya sudah agak rapat dengan lelaki tersebut. Atiqah tidak kisah dengan siapa June mahu berkawan. Gadis itu memang ramai teman lelaki.

“Aku tengok kau buat tak tahu aja bila berselisih dengan dia. Sesekali tu tegurlah... Nanti dia cakap kau sombong!’

Atiqah leka dengan kerja-kerjanya namun telinganya masih dapat menangkap akan apa yang dikatakan oleh June.

Dia pernah beberapa kali bertembung dengan anak Hajah Mimah. Mereka hanya berbalas senyum, cukuplah tu! Apa yang June mahu dia buat lagi? Dia bukan perempuan yang suka menonjolkan diri.

“Aku pernah denar mak cik cerita pasa anak bongsunya tu. Baru sekarang aku jumpa. Handsome pula tu, macam Ben Chaplin.”

Atiqah mengangkat mukanya.

“Ben Chaplein yang berlakon cerita Feast Of July? Lelaki yang bodoh-bodoh alang tu?” Ejek Atiqah.

June ketawa besar.

“Rupa dialah yang macam Ben Chaplin, buka perangai bodoh-bodoh lang dia tu. Alah, dalam cerita Truth About Cat And Dog diakan cerdik! Handsome!” June membela.

Atiqah mengangkat keningnya. Orang kalau sudah suka, semua cantik dan baik.

“Suka hati kaulah June, kalau dah suka tu semuanya handsome.” Atiqah tersenyum menyindir.

June ketawa kecil.

“Nik Arif... cantikkan nama tu, macam orangnya!”

“Hem..” Atiqah hanya merengus perlahan. Mahu ketawa pun ada. June memang tidak pernah puas dengan satu lelaki. Agaknya lelaki macam koleksi beg tangan bagi June.

“Aku nak pergilah Iqa, dia janji pukul tiga. Aku nak pergi tengok wayang.”

Atiqah mengangguk. Dia memandang June sekilas yang hanya memakai T-shirt sendat denga jean ketat. Dia kemudian mendengar June membuka pintu dan keluar sambil menyanyi kecil.

Atiqah bangun membuka tingkap biliknya yang bertentangan dengan halaman Hajah Mimah. Dia melihat June sedang bercakap dengan Nik Arif dan tidak lama kemudian mereka beredar dengan kereta Nik Arif. Atiqah mendepangkan tangannya, kemuadian duduk kembali menghadap komputer kesayangannya.

“Suka hati kaulah June...!” Atiqah berkata sendiri.

Dia meneruskan kerjanya memilih bahan. Tidak lama kemudian dia mendengar bunyi hon kereta di halaman rumahnya. Atiqah bangun sambil menjenguk dari tingkap. Dia berlari-lari anak ke pintu. Dilihatnya Dahlia tersengih-sengih di hadapan pintu rumahnya.

“Hai hantu! Pukul berapa kau datang? Janji dengan aku pukul dua belas. Aku dah masak punyalah berzaman, baru kau nak datang? Buat malu orang perempuan aja!”

Dahlia yang disergah ketawa besar. Dia memegang tangan Atiqah lembut. “Sorrylah Iqa, kereta aku buat perangai pula. Aku hantar ke kedai. Aku nak telefon kau, telefon tangan aku tak ada. Bukan macam kau, anak orang kaya!” Usik Dahlia. Atiqah mencebirkan bibirnya.

“Jangan mengarut Dahlia. Menyampah aku mendengarnya. Masuklah, kau dah makan?” Tanya Atiqah.

Dahlia menggelengkan kepala.

“Kenapa tak makan lagi?” Tanya Atiqah bodoh.

Dahlia membeliakkan matanya.

“Kau suruh aku datang makan dekat sini, kau tanya aku kenapa tak makan lagi? Tentu aku datang nak makan dengan kau!’

Atiqah ketawa sambil memegang tangan Dahlia dengan lembut.

“Manalah aku tahu Dahlia...aku janji dengan kau pukul dua belas, kau datang nak dekat pukul tiga. Aku telefon kau di rumah, tak ada orang jawab. Aku ingat kau dah lupa agaknya. Macam mana kereta kau, dah okey ke?” Tanya Atiqah lembut.

“Sudah Iqa. Kalau belum, aku suruh kau kutip aku!”

Atiqah ketawa besar mendengar kata-kata Dahlia. Dahlia memang suka bercakap menggunakan bahasa yang entah apa-apa.

Atiqah memungut surat khabar yang bersepah di lantai. June memang begitu. Suka menyepahkan barang dan tidak pandai untuk mengemaskannya. Dia sudah terlalu masak dengan perangai June dan malas mahu menegur.

Dahlia mengutip majalah hiburan yang berada di sofa. Dia ketawa kecil.

“Kau baca majalah glamor Iqa?”

Atiqah memandang Dahlia sekilas. Merenung majalah di tangan Dahlia.

“Hem.. June yang baca. Biasalah rakan serumah aku tu. Suka sangat pasal artis, pasal baju dan make up. Diakan cantik.”

Dahlia mencebir bibirnya. Dia bukan tidak pernah berjumpa dengan June. Gadis itu memang mementingkan kecantikan namun kadangkala terlalu berlebih-lebihan.

“Cantik apa kalau make up setengah kaki. Macam pelakon opera!’ Ejek Dahlia.

Atiqah kurang senang dengan kata-kata Dahlia. Dia ketawa sambil menggelengkan kepalanya.

“Dahlia... kau tahu tak dosa mengumpat orang?’

Dahlia menepuk bahu Atiqah dan kemudian tersenyum.

“Jomlah, aku panaskan lauk untuk kau.”

Dahlia mengekori Atiqah ke dapur.

Sebagai sahabat, dia sangat sayangkan Atiqah. Atiqah sahabat yang baik dan cukup memahami. Sahabat pada waktu susah dan senang. Cuma yang dia tidak faham kenapa Atiqah melarikan diri dari rumah. Kenapa Atiqah terlalu menyembunyikan identiti dirinya yang sebenar.

Bagi Dahlia, Atiqah patut berbangga dengan dirinya.

“Wow! Daging masak lemak dengan rebung. Sedapnya Iqa... Bestnya... Tak sabar aku! Mana beli ni?” Tanya Dahlia.

Atiqah melihat Dahlia yang begitu girang menjenguk periuk yang berada di atas dapur gas.

“Pasar tani.. mak cik suka makan rebung. Aku buat, aku hantar kat dia sikit.” Atiqah berkata perlahan sambil memasang api di dapur gas.

“Hai, rajin kau masuk untuk orang tua tu! Ada apa-apa ke? Anak dia dah balikkan. Handsome tak?”

Atiqah merenung Dahlia sekilas.

“Bolehlah, aku tengok June dah himpit dia..”

Dahlia ketawa besar.

“Aku hairan perempuan macam June tu. Apa yang bagus sangat keluar dengan lelaki ni? Buat penat badan aja. Kahwin, duduk rumah, tidur, besarkan anak-anak.. tak payah buang masa!” Dahlia sudah mula membebel.

Atiqah yang sedang mencedok kuah masak lemak ke dalam mangkuk menjuihkan bibir.

“Itu kata kau yang excited nak kahwin, bukan cakap dia yang excited berjalan ke sana ke mari. Kalau aku, dua-dua aku tak nak. Aku tak mahu kahwin. Aku tak mahu involve dengan lelaki. Buat menyusahkan kepala otak aku aja.” Atiqah member alasan.

“Huh, kau cakap aja Iqa. Habis Faizal, bos dekat office kau tu siapa?” Ejek Dahlia.

Atiqah berhenti mencedok lauk. Kemudian menutup periuk dan meletakkan mangkuk yang sudah berisi ke atas meja.

“Faizal, anak owner syarikat aku tu. Hiss... dia dengan aku bukan ada apa-apa. Tuan Ahmad kalau Nampak aku, sikit punya menyindir. Jeling dia macam bagi warning, jangan kacau Faizal. Aku tahulah aku Cuma kerani, Faizal tu pengurus syarikat!”

Atiqah sudah menarik kerusi dan duduk.

Dahlia sedang menuang air ke dalam jag yang berisi pati oren.

“Dia tak tahu siapa kau, Iqa?” Tanya Dahlia perlahan. Direnungnya wajah Atiqah. Sampai sekarang dia tidak faham kenapa Atiqah terlalu menyembunyikan identitinya sehingga sanggup bekerja dengan jawatan yang ada sekarang.

“Tahu dengan tak tahu, apa bezanya. Kalau dah tak suka, tetap tak suka. Walaupun aku anak perdana menteri, ketetapkan tak boleh diubah. Cepatlah makan, aku nak tunjuk program yang aku buat dekat kau. Aku takut bila program tu siap nanti, kau tak mahu pula. Buat penat aku aja.” Atiqah sudah menyuap makanannya.

“Huh...sedap Iqa. Aku kadangkala kagum dengan kau. Masak pandai, budi bahasa bagus...”

“Sudah, sudah. Kau repeat dah berpuluh kali. Kalau nak puji sesekali aku terima. Tapi kalau berpuluh kali, aku boleh sakit jiwa. Tolong hentikan!”

Dahlia ketawa. Dia tahu sangat dengan jawapan Atiqah.

June menyanyi-nyanyi kecil ketika masuk ke dalam rumah. Jam sudah menunjukkan pukul sepuluh malam. Atiqah yang sedang meneliti buku computer program Visual Basic di tangan hanya menjeling June seketika.

“Lambat kau balik June?” Tegur Atiqah. June mengangkat keningnya, kemudian ketawa kecil.

“Bestlah jalan dengan Nik Arif tu, ramai orang pandang kat aku. Handsomenya dia.. Cara dia makan, cara dia bercakap, huh..”

Atiqah ketawa mendengarnya.

“Tiap kali jumpa lelaki baru, itu yang kau cakap dengan aku. Apa kau dah kikis dia tu?” Atiqah bertanya namun matanya masih di buku.

June mengeluarkan sesuatu dari beg kertas yang dibawanya pulang.

“Baju! Cantik tak? Kau tahun, dia ni rupanya pengurus. Gajinya nak dekat sepuluh ribu.”

Atiqah mengangkat bahu. June tidak pernah berubah. Suka sangat mendengar jumlah gaji orang. Atiqah sendiri tidak pernah terfikir berkawan dengan lelaki kerana pangkat dan gaji mereka.

“Kereta Audinya pun best, auto pula tu. Ramai yang tengok aku jalan dengan dia. Waktu kami jalan dekat Lot 10, ada beberapa orang budak perempuan yang toleh. Jealouslah tu...!”

Atiqah mengangkat kening. Gasak kau lah June, tak habis-habis hidup dengan perasan!

“Cantik tak baju yang Nik Arif belikan ni?” Tanya June.

Atiqah merenung sekilas kemudian mengangguk.

“Cemburulah tu.... aku dapat baju cantik. Itulah kau Iqa, carilah pakwe. Ini, tak habis-habis dengan komputer kau. Tak habis-habis dengan kawan kau Dahlia yang jaga budak terencat akal tu.”

Atiqah merasa sakit hati mendengar kata-kata June namun ditahankan hatinya. Bergaduh dan bertengkar dengan June bagaikan bertengkar dengan tembok konkrit. Tidak kuasa di bertelagah kerana perkara yang sekecil itu bagaikan manusia yang tidak bertamadun.

“Kau dah makan June?” Tanya Atiqah perlahan.

“dah, aku makan dekat The Ship dengan Nik Arif. Lepas tu kami tengok wayang.”

Atiqah tidak bertanya lagi. Matanya berlari-lari di buku yang terbentang luas di pehanya. Sesekali menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tekun dengan apa yang dibacanya.

“Tak habis-habis dengan buku yang tak berfaedah ni. Hiss.. pelik aku! Macam mana boleh ada orang gila computer macam kau?’

Atiqah masih tidak menjawab. Dia membelek-belek buku tersebut dengan kusyuk.

“Malaslah aku nak layan orang macam kau ni Iqa. Buat pening kepala aja. Bercakap dengan teddy bear pun lagi bagus daripada bercakap dengan kau. Angguk tak, geleng tak...” June merengus.

Atiqah berpaling. Suka hatilah June, asal kau bahagia! Atiqah berkata dalam hatinya.

4 comments:

Kniedaz said...

ooohhh...bestnya..nak tau apa jadi selanjutnya...

Kesuma Angsana said...

so apa kesudahannyer

Dunia Wilma said...

Wilma macam pernah baca buku nie...
Tapi, buku tu dah hilang...
Memang best cerita nie...

Mrs Velentine said...

sambung terus kak

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff