my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 21

BAHAGIAN 21


ATIQAH sedang meneliti brochure di tangannya. Puan Zainab sedang menyediakan sarapan pagi. Petang semalan Atiqah sampai ke Queenstown di mana mamanya tinggal dan bekerja sebagai pengusaha motel apartmen bersama kawannya di situ. Selepas bercerai, mamanya membuka beberapa buah motel di Queenstown atas bantuan rakan-rakannya yang berada di situ. Di situlah Atiqah kerap datang mengunjungi mananya.

“Milford Routeburn track. Jungle tracking. Lamanya mama, empat hari tracking, larat ke mama nak pergi ni?” Atiqah mengusik mamanya yang sedang membancuh susu dan tepung untuk dibuat pancake. Dia bercakap sambil matanya tidak lepas dari brochure di tangan.

“Mama yang tak larat ke Iqa yang tak larat?” Usik Puan Zainab.

Atiqah ketawa besar sambil merenung mamanya sekilas sebelum mambaca brochure tersebut.

“Hati pertama ke Tasik Te Anau, lepas tu berjalan dua jam ke Clinton Folk Hun, berkhemah di sana. Dekat sinikan mama, pelik. Mama tinggal di Jalan Brisbane sedangkan ini New Zealand. Sebelah sana Jalan Adealide. Macam Australia. Ada pula hutan nama Clinton.” Atiqah ketawa sambil merenung mamanya yang tersengih mendengar kata-katanya itu.

“The next day, walk follows the Clinton River for about hours to reach Mintaro Hut. Mintaro Hut is situated at the base of the Mackinnon Pass. Empat jam jalan kaki mama. Sanggup ke mama?” Atiqah menggeleng.

Puan Zainab ketawa mendengar kata-kata anak kesayangannya itu.

“Tak sanggup jangan pergi. Iqa yang beria-ia nak pergi sejak malam tadikan?”

Puan Zainab memasukkan adunan pancake ke dalam kuali. Merenung anaknya sekilas.

“Iqa minta mama brochure yang flexible sikit… Apalah mama ni. Ini mendera namanya. Nama aja pengusaha motel tapi tak tahu introduce package yang baik untuk tourist.” Atiqah mengusik.

Tambah besar tawa Puan Zainab. Atiqah bertanya dengannya ke mana mereka mahu pergi hari itu. Dia hanya member anaknya brochure untuk diteliti. Sebagai pengusaha motel, memang banyak brochure begitu yang ada dalam simpanannya.

“After breakfast, we will climb to the top of the pass about two hours from the hut. This is the highest point on the track, 1703 metres. After the descent we can take an optional side walk to Sutherland Falls before carrying on to Dumpling Hut. Tuhan! Mama tak mahulah mama. Buang masa ajalah. Iqa pun bukan lama sangat kat sini. Ada lagi tu, sampai hari keempat baru balik ke sini balik. Esok dah penat. Tempat lain Iqa tak pergi lagi. Iqa nak juga shopping beli barang sikit.” Atiqah bangun menuju ke peti ais. Dia mengeluarkan susu dari dalam peti ais dan meletakkan kota susu tersebut di atas meja. Dia menjenguk apa yang dimasak oleh mamanya. Bahu Puan Zainab dipeluknya mesra.

“Breakfast pancake dengan lasagna?” Atiqah ketawa,

Puan Zainab tersenyum.

“Iqa tahu, mama memang pandai masak.” Atiqah berkata sambil mencium pipi mamanya mesra.

Puan Zainab membalasnya. Itu sahaja anak yang dia ada. Atiqahlah racun, Atiqah jugalah penawarnya. Sudah beberapa kali dia mempelawa Atiqah mengusahakan motel bersamanya. Tetapi anak gadisnya itu enggan dengan alasan dia lebih suka berada di Malaysia walaupun dia sukakan New Zealand.

“Semalam Iqa ke sini, siapa yang hantar Iqa ke airport?”

Atiqah mengerutkan dahinya, kemudian ketawa kecil. Nik Arif. Lelakiyang suatu ketika dahulu mengata dirinya.

“Kenapa mama?” Tanya Atiqah, hairan dengan pertanyaan mamanya.

“Boyfriend?” Usik Puan Zainab.

Atiqah ketawa besar. Nik Arif bukan teman lelakinya bahkan jauh sekali kekasihnya. Lagipun tidak mungkin Nik Arif sukakan dia.

“Anak tuan rumah Iqa, mama. Nak minta tolong Dahlia, Dahlia kerja. Kebetulan anak lelaki dia tu memang nak ke Seremban.”

“Hai… kalau tak ada apa-apa masakan sanggup hantar sampai ke airport. Dia hantar dan terus balik?” Puan Zainab meminta kepastian. Bibirnya mengukir senyuman mengusik.

Atiqah mengerutkan dahinya lagi. Memang Nik Arif menghantarnya sehingga dia naik ke dalam kapal terbang. Dia memang ada menyuruh lelaki itu pulang tetapi Nik arif enggan. Apakah mamanya menyangka bahawa dia sudah mempunyai teman lelaki?

“Mama ni kenapa? Sengaja nak perangkap lagi? Kami tak ada apa-apalah ma. Mama tahu tak… Iqa pernah dengar dia cakap Iqa tak cantik, mengada-ngada dan sengaja nak mengurat dia. Mentang-mentanglah dia pengurus di syarikat perkapalan!”

Puan Zainab membeliakkan matanya kemudian ketawa kecil.

“Betul ke dia cakap anak mama macam tu?” Tanya Puan Zainab bersungguh-sungguh.

Atiqah mengangguk.

“Mama nak tahu tak, emaknya tu pernahlah nak calonkan Iqa pada anaknya tu, masa tu Iqa nak masuk dapur rumahnya nak hantar kuih. Kononnya nak beraik-baiklah ma. Tapi baru aja Iqa nak melangkah masuk, Iqa dengar dia bercakap dengan emaknya. Dia cakap apa mama nak tahu?” Tanya Atiqah. Dia mengambil gelas dan menuangkan susu. Diteguknya perlahan-lahan.

“Emak, setakat Si Iqa tu, dekat Kuala Lumpur tu berlambak. Nik tengok un dia tersenyum-senyum macamlah Nik ni suka sangat dekat dia. Kalau dah kerani tu kerani jugalah. Hiss… Nik ni berpangkat mak. Jumpa orang sana sini. Seganlah kalau dapat bini macam dia.”

Puan Zainab terkejut mendengar kata-kata yang diajuk oleh atiqah.

Atiqah ketawa melihat kelakuan mamanya.

“Hiss… dia belum tahu siapa anak mama lagi. Sampai hati dia cakap begitu dengan anak mama.”

“Lelaki mama, dia orang kalau nak bercakap apa pun dia orang akan bercakap. Lelaki sekarang memilih… Isteri mahu yang cantik, yang kaya dan yang berpangkat. Mama tak ada boyfriend ke kat sini?”

Puan Zainab ketawa besar mendengarnya. Bahu Atiqah dipeluknya lembut.

“Iqa suka kalau dapat bapa tiri?” Ejek Puan Zainab.

“Kalau ayah boleh kahwin lain, mama apa salahnya. Mama tetap mama Iqa. Kalau mama rasa dengan berkahwin lain boleh membahagiakan mama, Iqa tak kisah mama. Iqa mahu mama bahagia.”

“Lelaki tak begitu penting dalam hidup mama.” Puan Zainab berkata sambil tersenyum mesra.

“Mama takut mereka akan mengecewakan mama seperti apa yang telah ayah lakukan pada mama?” Tanya Atiqah, tegas.

Puan Zainab teringatkan perkahwinannya dahulu. Sepuluh tahun pertama adalah tahun-tahun yang membahagiakan. Dia bahagia kerana mengahwini Marzuki. Lelaki itu begitu baik dan lembut walaupun terpaksa melepaskan jawatannya sebagai pensyarah untuk menjadi suri sepenuh masa. Namun bila Marzuki sudah menjadi tokoh korporat dan kemudian mendapat gelaran Datuk, segalanya berubah. Suaminya itu sudah mula balik lewat, sudah mula jarang berbual dengannya. Dia berusaha keras untuk mengambalikan keceriaan rumah tangga mereka walaupun sedar keadaan sudah tidak dapat diselamatkan lagi waktu itu.

“Bukan macam tu Iqa, mama dah terlalu tua untuk mengalami rasa sakit hati lagi. Mama takut mama tak sekuat dulu untuk menghadapi hari-hari yang penuh kelukaan. Mama mahu hidup dengan tenang, mama tak mahu menyusahkan diri sendiri. Mama dah biasa begini. Sekarang mama nak tengok anak mama pula yang berkahwin.”

Atiqah ketawa. Dia sebenarnya tidak tahu kenapa selama ini dia tidak mempunyai teman lelaki. Adakah kerana dia merasakan semua lelaki sama, memperlakukan perempuan sesuka hati! Bayang-bayang hitam yang melanda keluarganya masih tidak dapat dilupakan. Dia rasa sedih, kecewa dan tertekan. Hidup tanpa lelaki lebih membahagiakan baginya.

“Tak ada orang nak mama. Sekarang mama, mana kita nak pergi?” Tanya Atiqah sambil membantu mamanya mengeluarkan lasagna yang sudah siap dibakar dari oven. Dia tahu mamanya tidak menggemari topik tersebut, begitu juga dia.

“Naik cruise ajalah hari ni. Ke Tasik Wakatipu.” Beritahu Puan Zainab.

Atiqah mngerutkan dahinya.

“Tengok, tasik pun ada nama Jawa. Wak tipu.” Atiqah melambakkan tawanya.

“Hiss.. budak bertuah ni. Tasik Wakatipulah… bukan wak tipu.”

Atiqah tersengih mendengar kata-kata mamanya.

“Bagus juga. Walaupun Iqa dah naik tapi Iqa nak pergi lagi.” Dia teringat kembali bagaimana dia di pelawa bermain piano di dalam cruise tersebut yang membawa dia dan mamanya mengelilingi Tasik Wakatipu. Dia memainkan lagi Bersama Muncho. Ramai yang terpegun melihat dia bermain kerana dia orang asing. Selepas habis bermain dia diberi tepukan hangat. Dia masih menyimpan gambar ketika dia bermain piano di dalam cruise tersebut. Saat itu benar-benar menggembirakan.

“Eh! Iqa lupa ayah ada kirim barang untuk mama. Dia kirim salam dengan mama. Nanti Iqa ambil.” Atiqah melangkah pantas ke dalam bilik tidurnya. Bilik tidur itu memang dikhaskan oleh Puan Zainab untuk anak tunggalnya itu jika dia datang berkunjung. Tidak lama kemudian Atiqah keluar dengan sebuah kotak ditangan.

“Ini dia ma. Bukalah…”

Puan Zainab mengerutkan dahinya. Kotak beralih tangan. Perlahan-lahan Puan Zainab membukanya. Terpegun dia seketika. Atiqah melihat mamanya diam tak terkata.

“Cantikkan mama. Iqa tak tahu tujuan ayah bagi mama barang ni. Yang Iqa tahu, ayah nampak macam sedih bila sebut nama mama. Mama tahukan yang dia beria-ia mahu Iqa bekerja dengannya. Iqa tak tahu apa tujuan dia. Mungkin ayah dah sedar.”

Atiqah melihat air mata bergenang di kelopak mata mamanya.

“Mama tak mahu terima Iqa.” Dengan dada sebak Puan Zainab berkata perlahan.

“Perasaan tu juga yang melanda Iqa bila melihat hadiah ni. Tapi Iqa mahu mama tahu, wajah ayah nampak ikhlas bila member hadiah ni. Iqa tahu mama, mama mesti teringatkan sesuatu. Kenangan bersama ayah mungkin. Tapi Iqa percaya ayah ikhlas kali ni.”

Puan Zainab mengetap bibirnya lantas mengangguk perlahan.

Atiqah memeluk mamanya penuh kasih sayang.

“Moga ayah berubah mama. Itu doa Iqa siang dan malam.” Dia melihat Puan Zainab tersenyum sambil mengangguk bersetuju. Mereka kemudian tenggelam dalam pelukan mesra dan erat.

1 comment:

Kniedaz said...

nak tunggu yang selanjutnya ^_^

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff