my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki - 4

BAHAGIAN 4


ATIQAH memasukkan tauhu sumbat ke dalam piring yang berada di atas meja. Tuan rumahnya, Hajah Mimah sukakan tauhu sumbat tersebut. Dia memang rajin memasak kalau ada orang yang suka makan. June, rakan sebiliknya masih belum balik lagi. Akhir-akhir ini, sejak anak bongsu Hajah Mimah yang beada di luar negara pulang ke rumah, atiqah jarang bertandang ke rumah Haja Mimah lagi. Dia merasa kurang seronok mengganggu ketenteraman orang. Kalau dahulu ketika Hajah Mimah duduk seorang diri, dia selalu datang. Boleh dikatakan setiap hari. Dia sedar anak Hajah Mimah seolah-olah tidak senang dengan kedatangannya dan dia sendiri dapat melihat cara penerimaan anak Hajah Mimah dan cara lelaki itu merenungnya.

Atiqah melangkah perlahan-lahan keluar dari rumah yang disewanya daripada Hajah Mimah itu. Tentu Hajah Mimah berada di rumah. Dia melihat lampu dapur terpasang. Tentu Hajah Mimah berada di dapur. Namun ketika dia mahu menolak pintu dapur, dia terdengar namanya disebut. Dia memasang telinga dengan berhati-hati.

“Emak ni mengarut betul. Budak yang pakai tudung, bawa Proton buruk tu? Hiss.. tak mahulah Nik mak. Lainlah kawan dia tu. Hiss.. bukannya cantik. Dahlah tu, macam perempuan gatal aja. Sejak Nik balik, dia selalu hantar makanan.”

Atiqah tersentak. Dia mengurut dadanya berkali-kali. Dia tahu dirinya yang dimaksudkan oleh anak Hajah Mimah. Piring tauhu sumbat di tangan direnungnya dalam samar malam. Dia mengetap bibir.

“Kamu ni, sebelum kamu balik dulu memang dia selalu hantar makanan ke rumah ni. Dia tu baik dan bukannya tak cantik.” Hajah Mimah meningkah.

Diketap bibirnya menahan perasaan.

“Cantik apa? Macam budak tak betul aja. Kadang-kadang menyanyi entah apa-apa. Kalau kawannya tu lainlah… Cantik, pandai bergaya. Kawan dia tu kerja apa mak?”

Atiqah cuba menahan nafasnya. Dia tertarik dengan perbualan tersebut.

Sejak Nik Arif pulang, dia tak pernah bercakap dengan anak muda tersebut. Hanya berbalas senyum. Dia tak mahu dia disalahtafsirkan. Kini lelaki itu mengata dia yang bukan-bukan. Dia merasa sedikit marah tetapi disabarkan hatinya.

“Budak yang seksi tu? Setiausaha mak dengar. Budak tu yang kamu suka? Pakai baju macam tak pakai baju! Entah apalah pilihan kamu ni…”

Dia terdengar Nik Arif ketawa.

“Mak, kalau setakat Si Iqa tu, dekat Kuala Lumpur tu berlambak. Pantang berselisih, tersengih-sengih. Kalau dah kerani tu kerani jugalah. Hiss… Nik ni berpangkat mak! Jumpa orang sana sini. Seganlah kalau dapat bini macam dia.”

Atiqah mahu ketawa mendengarnya. Tipikal lelaki zaman sekarang, fikirnya. Nik Arif sama seperti Faizal. Namun masih berdiri di hadapan pintu dapur untuk mendengar perbualan antara kedua-dua beranak tersebut. Walaupun pedih tetapi agak menarik. Sekurang-kurangnya dia boleh berhati-hati dengan Nik Arif.

“Kamu tu dah tiga puluh, Nik. Dah boleh kahwin. Kamu nak tunggu siapa lagi? Itu tak berkenan, ini tak berkenan. Siapa yang kamu nak? Cakap dengan mak, biar mak pinangkan! Sebelum tutup mata, mak nak tengok kamu kahwin.” Hajah Mimah berkata sayu.

Kasihan Atiqah mendengarnya.

“Nantilah mak, jodoh tak ada. Tahulah Nik cari sendiri. Makpun satu, kalau nak carikan pun, carikanlah yang elok sikit. Ini tak… perempuan entah apa-apa yang mak carikan untuk Nik. Si Iqa tu, hiss… tak kahwin pun tak apa. Kereta dahlah macam motobot.”

Atiqah terdengar Nik Arif ketawa. Sakit hati Atiqah mendengarnya. Hina sangatkah aku ni? Tapi tak apa, fikir Atiqah, manusia akan dapat balasannya suatu masa nanti.

“Nik nak keluarlah mak. Nak jumpa kawan. Nanti kita bincang lain kali.”

Atiqah cepat-cepat melangkah perlahan ke rumahnya. Dia kemuadian meletakkan semula piring yang berisi tauhu sumbat ke dalam tudung saji. Terbantut niatnya untuk menghantar makanan tersebut.

Dia kemudian terdengar bunyi kereta keluar dari perkarangan rumah Hajah Mimah. Tentu Nik Arif sudah keluar. Atiqah mengenangkan semula apa yang dikatakan oleh Nik arif sebentar tadi. Ah… pedulikan! Lelaki memang macam tu.

Dia kemudian bangun dan mengambil semula piring tauhu sumbat yang diletakkan di bawah tudung saji tadi. Dia meneliti piring tersebut dan dimasukkan tiga dari tauhu sumbat tersebut dan dimasukkan ke dalam bekas yang lain. Hanya tinggal empat sahaja. Atiqah kemudian berjalan keluar. Ketika dia membuka pintu, terjengul June di hadapannya. Dia mengurut dada.

“Terperanjat aku June, aku ingatkan hantu mana tadi.” Atiqah berkata sambil ketawa.

“Ke mana?” Tanya June.

Atiqah menunjukkan piring di tangan.

“Handsomekan Nik arif tu tapi dia dah keluar.”

Atiqah mengangkat bahunya. Handsome pun apa yang aku dapat? Lelaki itu sudah memperkecil-kecilkan dirinya sebentar tadi, seolah-olah dia langsung tidak berharga di mata lelaki tersebut.

Setibanya dia di hadapan pintu dapur, dia memberi salam.

“Waalaikumussalam… Iqa, lama tak datang rumah mak cik. Iqa sibuk ke?” Hajah Mimah membuka pintu dapur.

Atiqah mengunjukkan piring di tangan.

Hajah Mimah menyambutnya dengan senang hati.

“Buat?”

Atiqah mengangguk. Dia melangkah masuk perlahan-lahan.

“Mak Cik tinggal seorang?” Tanya Atiqah bodoh.

Hajah Mimah mengangguk.

“Nik tu, ada dengan tak ada sama aja Iqa. Entah ke manalah perginya. Duduklah, nanti mak cik buatkan air.” Hajah Mimah memberitahu.

“Tak apalah mak cik, sekejap aja ni.” Atiqah menjawab perlahan. Dia duduk di kerusi dapur.

“Kamu banyak kerja ke sekarang Iqa? Dah lama tak Nampak?” Tanya Hajah Mimah. Hati ibu sepertinya sering merasa tenang setiap kali bila dapat berbual dengan Atiqah. Dia perasan sejak akhir-akhir ini Atiqah jarang bertandang ke rumahnya. Tidak seperti dahulu, pantang ada masa terluang sedikit, terjengullah muka Atiqah di rumahnya.

“Ada kerja sikit mak cik. Kawan Iqa minta Iqa tolong betulkan beberapa buah komputer yang diambil daripada beberapa buah syarikat. Kami nak tukar kepada program kanak-kanak dan hantar kepada budak-budak Down’s Sindrom. Baru beberapa buah komputer aja yang siap. Kalau boleh nak siapkan dalam minggu ni.” Atiqah menerangkan.

“Banyak ke?” Tanya Hajah Mimah lagi.

Atiqah tersengih.

“Ada dalam lima belas buah. Ini projek kemasyarakatan mak cik. Lepas tu, Iqa tolong organize hari keluarga untuk mereka pula. Kalau mak cik nak ikut boleh juga. Kami tengah cari sukarelawan untuk mengajar dan mengwasi kanak-kanak itu. Mak cik tahu tak, kanak-kanak Down’s syndrome ni sebenarnya bijak. Cuma cara kita melatih aja yang perlukan kesabaran.” Atiqah menerangkan.

Hajah Mimah merenung Atiqah dengan lembut.

“Jarang orang sekarang nak buat perkara macam Iqa buat ni, tau?” Hajah Mimah menepuk lembut tangan Atiqah.

“Alah… mak cik pun apa kurangnya. Permanent pandu puteri members.”

Atiqah mendepangkan tangannya.

Hajah Mimah ketawa kecil.

“Mak cik dah pegang jawatan pandu puteri tu sejak mak cik baru mengajar. Sampai dah bersara pun mak cik sayangkan jawatan tu Iqa. Kadangkala mak cik ingat nak give up aja. Tapi ramai yang tak bagi. Tak ramai anak muda sekarang yang mahu pegang jawatan dan menceburkan diri di dalam pandu puteri.”

Atiqah tersenyum mendengarnya.

“Bila hari keluarganya Iqa?” Tanya Hajah Mimah sambil merenung wajah Atiqah.

Atiqah bukan tidak cantik. Dia sendiri sebagai orang tua senang dengan wajah bersih gadis itu dan begitu juga dengan tingkah lakunya.

“Kalau tak ada aral, minggu depan. Kami buat pertandingan tiup belon dan makan epal. Lepas tu adakan konsert. Mak cik tengok nanti mereka semua tu, cute. Ada tu terjerit-jerit menyanyi. Tapi biji butirnya kita tak faham.” Atiqah ketawa apbila mengenangkan kanak-kanak yang ditemuinya. Hatinya terhibur setiap kali bersama mereka.

Dahlia, kawan baiknya yang bekerja di situ memperkenalkan dia kepada kanak-kanak itu. Lama kelamaan dia jatuh saying dengan mereka.

“Iqa nak baliklah mak cik. Ada kerja di rumah tu.” Atiqah memegang tangan Hajah Mimah.

Haja Mimah mengangguk kepalanya. Dia menghantar Atiqah ke muka pintu.

Hampir setahun Atiqah menyewa rumahnya di belakang. Atiqah begitu baik dengannya. Sebab itu bila Nik Arif mengatakan yang bukan-bukan tentang Atiqah, dia tidak dapat menerimanya. Kata-kata Nik Arif itu jelas tidak masuk akal.

FUAD memusing-musing gelas di tangannya, kemudian dibawa ke mulut. Di hadapannya, Nik Arif sedang menyandar di kerusi. Baru sahaja menghabiskan dua bungkus nasi lemak.

“Bila kau nak kahwin Nik? Kau dari dulu aku tengok kawan perempuan ramai. Tak ada yang tersangkut ke?” Fuad mengusik.

“Habis kau mengata aku, kau macam mana?” Tanya Nik Arif.

Fuad merupakan kawan rapatnya sejak di universiti. Kemudian dia keluar negara untuk beberapa tahun. Hubungan mereka tidak terputus. Fuad rajin menghantar berita atau kad. Bila dia balik ke Malaysia, sahabat yang pertama dicarinya ialah Fuad.

“Hem.. nanti dululah. Malas nak fikir soal kahwin. Kau tengok ajalah. Duduk dekat Kuala Lumpur ni memeningkan kepala betul. Jalan punyalah jam. Aku tak mahu besarkan anak-anak aku di belakang grill besi. Kasihan. Balik sekolah sampai malam. Nak settle down dan balik Pahang pun susah. Dekat sana kemudahan kurang. Tengoklah nanti…” Fuad berkata perlahan.

Nik Arif mengeluh sambil melihat jam di pergelangan tangannya.

“Mak aku, aku baru aja balik dia dah cadangkan aku dengan budak yang sewa rumah kat rumah tu. Budak tu dahlah kerani aja, tak lawa pula tu. Ada kereta tapi bunyi keretanya macam bunyi motobot. Buat sakit telinga aja.”

Fuad ketawa mendengar cerita Nik Arif.

“Dahlah hari-hari hantar kuih dekat rumah aku!” Aku pun tak tahu apa tujuan dia. Nak memikatlah tu… Mak aku tu pun satu, tak ada taste langsung!” Sambung Nik Arif lagi.

Fuad ketawa terus-terusan.

“Teruk sangat ke budak tu?” Tanya Fuad.

Nik Arif mendepangkan tangannya.

“teruk sangat tu taklah, bolehlah… Kulit putih kuning. Biasa ajalah. Aku pandang pun sekali imbas aja.” Nik Arif mencebir bibirnya. Dia tidak pernah bercakap dengan Atiqah, hanya berbalas senyum. Dia pun tidak boleh ingat dengan jelas rupa Atiqah.

“Tapi dia ada kawan. Cantik. Body… huh, boleh tahan. Ini macam!” Nik Arif melenggang-lenggokkan kedua-dua belah tangannya, menggayakan body yang digambarkan. “Kalau budak tu, bolehlah. Ini alah…”

Ketawa Fuad semakin kuat bila melihat gaya Nik bercerita.

“Alah, perempuan sekarang jangan cari yang cantik sangat Nik, nanti kita yang sakit. Maintenance dia aja dah buat kocek kita kopak.” Fuad bercakap perlahan.

Nik Arif tersengih-sengih.

“Aku baru dapat offer di Shah Alam. Tapi malas nak pergi,” Nik Arif menguap perlahan.

Jam di pergelangan tangannya sudah menunjukkan pukul sebelas tiga puluh minit malam.

“Bagus gajinya?”

“Boleh tahan, cecah ten thousand per month.” Nik Arif mendepangkan tangannya.

“Syarikat perkapalan juga?”

Nik Arif mengangguk.

“Based dekat mana?” Tanya Fuad.

“Foreign punya. Based dekat Jerman,” jawab Nik Arif perlahan.

Dia sudah meneliti tugasan kerjanya sebelum menolak. Dia malas menerima kerana terpaksa kerap keluar negara. Dia teringatkan maknya. Dia tidak mahu meninggalkan emaknya terlalu kerap. Lagipun kakaknya sudah berpindah ke Perlis.

“Lebih kurang syarikat aku sekarang. Lagipun bagus, aku dah tahu selok belok kerja.” Nik Arif berkata perlahan.

Dahulu dia bekerja di Syarikat Perkapalan Maju. Kemudian dia keluar negara selama tiga tahun. Bila balik, dia dinaikkan pangkat menjadi pengurus operasi.

“Lagipun bond dengan syarikat aku ada tiga tahun lagi. Sebab dia orang hantar aku keluar negara, aku kena habiskan. Kalau tak, aku kena bayar balik!”

“Alah, tunggulah sampai tiga tahun. Aku duduk dekat syarikat saham tu dah tujuh tahun.” Fuad berkata perlahan.

Nik Arif ketawa kecil.

“Tak apalah tapi tiap tahun pangkat naik. Tiap tahun tukar kad.”

Fuad ketawa lalu menepuk bahu Nik Arif. “Esok kau tak kerja ke, dah hampir pukul dua belas ni. Esok pagi bangun, mata mesti tak boleh celik punya.”

Fuad memanggil pelayan kedai kemudian membayar duit makanan dan minuman mereka.

“Esok jumpa lagilah.” Nik Arif menepuk bahu Fuad. Dia kemudian memandu pulang ke rumah.

Ketika dia sampai, Hajah Mimah masih belum tidur. Sedang menjahit leher baju kurungnya.

“Baru balik Nik, kamu tak kerja ke esok?” Tanya Hajah Mimah.

Nik Arif hanya tersengih. Dia terus berjalan ke dapur. Membuka peti ais, mengambil sekotak air oren. Dia membuka tudung saji. Melihat ada dua keping tauhu sumbat. Dia menyambar sekeping, mengisi kuahnya dan terus memasukkan ke dalam mulut. Kemudian dicapainya sekeping lagi dan diisikan kuahnya. Dia membawa tauhu sumbat tersebut dengan air oren ke ruang tamu.

“Apa kena kamu ni, macam orang kebulur aja. Kamu keluar tak makan ke?” Tanya Hajah Mimah.

Dia merenung Nik Arif yang leka mengunyah kemudian memasukkan sekeping lagi tauhu sumbat ke dalam mulutnya. Dia memerhatikan kelakuan anak bujangnya itu.

“Makan mak… dah memandu balik, lapar pula. Bila emak buat tauhu sumbat ni? Sedap. Dah lama Nik tak makan.”

Hajah Mimah tersengih. Baru kau tahu, desis Hajah Mimah. Dia tidak menjawab tetapi hanya merenung Nik Arif yang sudah selesai menghabiskan makanannya. Sekarang sedang enak menyedut minumannya pula.

“Sikit sangat mak buat. Nik pun dah lama tak makan benda-benda macam ni. Lain kali buatlah banyak sikit.” Nik Arif merenung televisyen di hadapannya.

Tersenyum Hajah Mimah mendengar kata-kata Nik Arif.

“Budak yang kamu cakap nak pikat kamu tu buat. Sedapkan?” Hajah Mimah mengejek.

Nik Arif hampir tersedak dibuatnya. Dia mengurut dadanya. Kemudian ketawa kecil.

“Alah… jangan-jangan kawan dia tu yang buat.” Nik Arif mengejek.

“Budak June tu? Kalau tak pukul sembilan sepuluh… tak balik! Mana sempat dia nak buat?” Ejek Hajah Mimah lagi.

Nik Arif merenung mamanya.

“Kalau nak bagi orang pun, bagilah banyak sikit. Ini… kedekut betul!” Sungut Nik Arif.

Hajah Mimah ketawa mendengarnya. Kepalanya digelengkan.

“Kamu ni pelik betul, dalam mengata tu muka tak tahu malu juga.”

Nik Arif ketawa besar mendengarnya.

“Makan mak.. buat apa nak tolak. Nik nak masuk bilik. Nak tidur. Selamat malam mak!”

Nik Arif tunduk mencium pipi Hajah Mimah.

Hajah Mimah membalasnya.

Hajah Mimah mengeluh perlahan. Dia terlalu sayangkan Nik Arif dan pada masa yang sama dia berharap dia dapat bermenantukan Atiqah. Namun apa yang hendak dikata, Nik Arif sudah menolak Atiqah mentah-mentah!

3 comments:

Dunia Wilma said...

Best ^_^

Mrs Velentine said...

jahant nya nik arif ni..

Kniedaz said...

ooo...bila part 5 pulak ni? bila..bila...

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff