my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki - 5

BAHAGIAN 5


NIK ARIF merengus geram, sudah beberapa kali dia membuka komputernya namun tidak ada apa yang keluar di skrin komputer kecuali cahaya yang berwarna hijau. Kesabarannya sudah hampir hilang. Ketika dia mahu menggunakannya dan dalam keadaan yang terdesak pula, komputernya buat perangai. Dia teringatkan laptopnya yang berada di pejabat.

“Sial betul!” Dia merengus geram.

Dia teringatkan Fauziah yang masih lagi bercuti. Kalau setiausahanya itu ada sudah tentu dia tidak perlu bersusah payah macam ini. Sudah tiga hari Fauziah bercuti dan dia terpaksa membuat kerjanya sendirian. Esok dia ada mesyuarat dengan klien terbesar. Dia terpaksa menyudahkan kerja-kerjanya malam itu juga. Namun komputernya tiba-tiba buat perangai. Dia keluar dari bilik bacaan menuju ke ruang tamu.

“Celaka betul!” Dia membentak perlahan, menggaru kepalanya yang tidak gatal dengan wajah yang keruh.

Hajah Mimah yang sedang menonton TV pelik melihat perangai anak lelakinya itu.

“Apa kenanya kamu Nik, macam beruk kena tungau aja,” Hajah Mimah mengusik.

Nik Arif mengeluh. Melihat jam di dinding. Kalau di ke pejabat dan mengambil laptopnya tentu memakan masa. Kalau jalan elok, satu jam akan sampai semula ke rumah tetapi kalau jalan teruk, dia akan tersangkut di jalan.

“Nik nak pakai komputer, mak. Entah kenapa tiba-tiba aja rosak. Sakit hati betul. Siapa yang usik entahlah!” Nik Arif merungut seolah-olah bercakap bercakap dengan dirinya sendiri.

“Siapa yang mengusiknya…Mak pun takut nak membukanya. Rosak macam mana?”

Nik Arif menjeling maknya sekilas. Kalau dia beritahu pun bukan emak tahu, fikirnya.

“Satu benda tak keluar kecuali warna hijau. Ada benda yang nak submit esok. Lagipun Nik ada meeting dengan klien esok.” Nik Arif mengeluh lagi.

Dia masih berkira-kira untuk ke pejabatnya. Dia tidak tahu untuk membetulkan komputernya di rumah. Sejak komputer tersebut dibawa balik ke Malaysia, dia jarang menggunakannya. Jadi dia sendiri tidak menyangka komputer tersebut akan rosak pada saat-saat seperti ini.

“Si Iqa tu mak tengok banyak komputer dalam biliknya. Kamu pinjamlah. Emak tengok dia selalu bawa balik komputer, macam-macam rupa. Kamu telefon dia sekejap. Suruh dia datang.”

Nik Arif merengus merenung Hajah Mimah. Apa yang Atiqah tahu tentang komputer? Mahu sahaja dia ketawa tetapi dia takut emaknya berkecil hati. Bagi emak, Atiqah sentiasa baik dan serba tahu.

“Nanti emak telefon dia kejap. Malas emak nak turun.”

Nik Arif hanya membiarkan Hajah Mimah bangun menuju ke meja telefon. Bercakap sekejap dan kemudian meletakkan gagangnya.

“Emak dah cakap dengan dia. Sekejap lagi dia datang. Dia pun macam tak berapa sihat, suaranya sengau aja.”

Nik Arif tidak menjawab. Dia tidak pasti adakah dia yakin dengan kata-kata emaknya namun beberapa minit ada seseorang memberi salam. Hajah Mimah bangun dan tidak lama kemudian Atiqah muncul di muka pintu.

“Komputer Encik Nik rosak ke?” Atiqah bertanya sambil tersenyum kepada Nik Arif.

Nik Arif merenung Atiqah acuh tak acuh. Namun demi dilihatnya di tangan Atiqah ada sebuah laptop, hatinya tiba-tiba lega. Selama ini Atiqah tidak pernah menegurnya.

“Hem…” Matanya merenung laptop di tangan Atiqah.

Atiqah perasan dengan pandangannya kemudian ketawa kecil. Bagi Atiqah, kalau tidak kerana Hajah Mimah yang menelefon tadi mampus dia tidak akan datang. Dia masih ingat kata-kata hinaan Nik Arif terhadapnya.

“Boleh Encik Nik tunjukkan pada saya mana rosaknya? Manalah tahu kalau-kalau saya boleh betulkan.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif bangun lalu membawa Atiqah ke bilik bacaannya.

Atiqah mengumpulkan kertas yang bertimbun di sebelah komputer dan meletakkannya di atas kerusi. Dia membuka komputer dan sesekali menekan wayar yang bercantum di belakang monitor tersebut.

“Unit sistem ni rosak agaknya Encik Nik. Tak apalah. Mak cik cakap Encik Nik ada benda yang nak dibuat. Encik Nik pakai laptop saya dulu. Nanti saya balik rumah, saya cuba ambil unit sistem saya.”

Atiqah bangun, dia memegang laptop yang dibawanya tadi dan meletakkannya di atas meja.

“Baterinya saya baru caj. Encik Nik pakai dulu, nanti saya balik sekejap untuk mengambil unit sistem.”

Nik Arif hanya merenung Atiqah yang bekerja mencabut wayar-wayar yang berada di unit sistem. Kemudian gadis tersebut keluar dari bilik bacaannya. Terdengar suaranya bercakap-cakap dan kemudian ketawa dengan emaknya.

Nik Arif menghadap perlahan laptop yang berada di hadapannya. Dia teringat cara Atiqah bekerja sebentar tadi. Gadis itu seolah-olah tahu benar tentang komputer. Kerjanya pantas dan meyakinkan. Lama dia menghadap laptop tersebut namun tidak ada sesuatu yang dapat ditaipnya. Dia tidak tahu kenapa dia asyik memikirkan Atiqah. Atiqah memanggilnya dengan panggilan Encik Nik? Janggal benar rasanya.

“Saya pun tak berapa suka pakai laptop, Encik Nik. Kecil sangat. Rabun mata dibuatnya.”

Nik Arif tersentak.

Atiqah sudah berada di belakangnya. Dia menggaru-garu kepalanya. Dia melihat Atiqah sedang memasang wayar di unit sistem yang baru diambil dari rumahnya sebentar tadi. Dia tidak perasan bila Atiqah masuk. Mungkin kerana dia hanya termenung di hadapan laptop tersebut maka Atiqah menyangka begitu padanya.

“Kenapa Iqa, apa rosaknya,” Hajah Mimah bertanya dimuka pintu.

Nik Arif melihat emaknya tersenyum merenung wajah Atiqah.

“Punggungnya rosak mak cik.”

Nik Arif mendengar emaknya ketawa kecil dan dia sendiri tersenyum sendirian. Tidak lama kemudian komputernya yang rosak sudah mula berfungsi. Dia melihat Atiqah memeriksa satu per satu program di komputernya.

“ Semuanya okey cuma unit sistem aja yang rosak. Banyak ke fail Encik Nik dalam hard disk?” Atiqah bertanya.

Nik Arif menggeleng.

Hajah Mimah sudah keluar apabila melihat Atiqah sudah berjaya membetulkan komputer tersebut.

“Unit sistem Encik Nik ni saya bawa balik, saya bagi pinjam unit sistem saya. Encik Nik punya akan saya cuba betulkan. Saya akan cuba dapatkan balik fail Encik Nik tapi saya kena tengok apa rosaknya. Mungkin terpaksa diformatkan semula. Kalau fail tu tak dapat saya selamatkan, maafkan saya.” Atiqah berkata tenang.

Nik Arif merenung wajah Atiqaj yang tenang dan lembut.

Sejak dia balik ke Malaysia, dia tidak pernah bercerita dengan Atiqah. Dia banyak bercerita dengan June. Tidak tahu kenapa. Mungkin kerana dia tidak berapa sukakan Atiqah. Atiqah pula tidak pernah menegurnya, hanya senyum bila sesekali mereka berselisih. Sementara June pula begitu rajin menegurnya. Malah telah beberapa kali dia makan dan menonton wayang bersama gadis itu.

“Terima kasih Iqa, Kalau Iqa tak ada tak tahulah saya. Lagipun banyak betul benda yang mahu ditaip. Setiausaha saya cuti seminggu. Esok saya ada meeting dengan klien pula tu. Tak tahulah bila akan habis.” Nik Arif berkata perlahan.

Atiqah menganggukkan kepalanya tanda memahami. Dia merenung kertas yang bertimbun di atas kerusi yang baru dialihkan sebentar tadi.

“Encik nak taip kertas-kertas ni semua?” Atiqah bertanya sambil mengangkat kertas yang berada di kerusi itu.

Nik Arif mengangguk.

“Banyak kalau nak dihabiskan satu malam, encik. Kalau Encik Nik tak keberatan, saya boleh tolong taipkan separuh dan Encik Nik taipkan separuh. Lepas tu kita boleh mergekan.”

Nik Arif tersentak dengan tawaran Atiqah. Hatinya cuba membuat pelbagai andaian. Namun mengenangkan kata-kata Atiqah sebentar tadi, dia tahu Atiqah ikhlas mahu menolongnya. Dia menggigit bibir. Dia merasakan tawaran tersebut bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.

“Encik jangan bimbang, saya akan taip di luar pakai laptop, encik pakai komputer di dalam.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif menalan air liurnya. Dia memang mengharapkan ada orang yang akan membantunya. Namun sama sekali bukan Atiqah. Entah kenapa dia tiba-tiba rasa malu dengan gadis itu.

“Tapi… banyak ni Iqa. Saya betul-betul menyusahkan Iqa. Dahlah Iqa betulkan komputer saya…”

Nik Arif tidak tahu kenap begitu manis mulutnya bercakap sedangkan selama ini dia selalu mengutuk Atiqah di hadapan emaknya.

“Sebab banyaklah saya tolong..” Atiqah tersenyum.

Nik Arif membalas senyuman tersebut.

“Encik Nik bagi saya yang mana saya boleh taip.” Atiqah menghulurkan tangannya.

Nik Arif memberi Atiqah beberapa keping draf yang ditulisnya.

Atiqah membeleknya kemudian ketawa kecil.

“Banyak ini aja? Encik Nik jangan bimbang saya membacanya. Kerani macam saya ni pun bukan faham sangat bahasa Inggeris ni. Saya hanya taip aja. Bagi saya beberapa keping lagi.”

Nik Arif merenung Atiqah yang tersenyum. Tangannya menghulurkan beberapa keeping kertas lagi kepada Atiqah. Atiqah kemudiannya keluar. Dia mendengar Atiqah bercerita dengan emaknya. Sesekali terdengar Atiqah batuk-batuk kecil. Dia teringat, emak ada memberi tahu yang Atiqah tidak berapa sihat.

Nik Arif memulakan kerjanya. Terkial-kial dia menaip. Dia masih terdengar suara Atiqah bercerita dengan emaknya yang sesekali disulami dengan gelak ketawa. Dia tidak tahu kenapa dia asyik memikirkan Atiqah. Hampir sejam dia menaip, hanya satu muka setengah yang baru dapat ditaipnya. Dia termenung. Tiba-tiba dia tertekan salah satu butang di papan kekunci dan kemudian tulisan yang ditulisnya hilang begitu sahaja. Dia panic lantas bingkas bangun.

“Iqa, tolong saya!” Dia menjerit sedikit kuat.

Atiqh yang berada di ruang tamu, sedang tekun menaip mendongakkan kepalanya.

“Kenapa encik?” Atiqah bertanya perlahan. Mengalihkan laptop dari pahanya. Meletakkan di atas meja kecil di sofa. Dia berjalan menuju ke dalam bilik bacaan.

“Saya tidak tahu Iqa, saya tertekan butang… alih-alih semuanya hilang!”

Atiqah ketawa kecil mendengarnya. Dia menekan mause dan tidak lama kemudian ayat yang ditaip muncul semula.

“Encik Nik tertekan delete ni, tak apa undo balik. Encik Nik kena save dulu sebelum buat. Hem.. tak apalah, saya savekan dan buat autosave setiap dua minit. Kemudian back-up file. Kadangkala perkara macam ni memang menyakitkan hati. Kita tengah rush, tiba-tiba hilang.”

Nik Arif tersenyum mendengar penerangan Atiqah yang begitu tenang.

“Hampir dua page? Cepat juga Encik Nik menaip!” Atiqah berkata perlahan tetapi dia sudah hilang di balik pintu.

Nik Arif mengetap bibirnya. Encik Nik, Encik Nik… meluat dia mendengarnya. Dia cuma tuan rumah. Atiqah memanggil dia seperti dia ketua pada Atiqah. Beberapa minit kemudian Atiqah muncul di muka pintu.

“Ada lagi yang saya boleh bantu? Dah habis!”

Nik Arif merenung Atiqah. Cepat sungguh gadis itu bekerja. Lapan muka satu jam? Dia meneguk air liurnya. Pahit.

“Cepat Iqa taip?” Nik Arif bersuara perlahan.

Atiqah mengukir senyum.

“Saya kerani Encik Nik, kalau tak cepat.. tak layak jadi kerani.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif menjeling Atiqah sekilas. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan suara Atiqah.

“Kenapa Iqa panggil saya encik?” Terpacul kata-kata itu dari mulut Nik Arif. Dia melihat ada kejutan di wajah Atiqah namun kemudian Atiqah mempamerkan senyumnya semula.

“Sebab encik belum dapat Datuk atau Tan Sri… Kalau tak saya panggil dengan panggilan tu.”

Dia mahu ketawa mendengar kata-kata tersebut. Pandai betul Atiqah menjawab namun ditahan di dalam hati.

“Panggil saya Nik aja Iqa, kalaupun Iqa tak mahu atau malu nak panggil saya abang.” Dia melihat Atiqah ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.

“Encik tuan rumah saya. Lagipun saya ni kerani Encik Nik, dah selalu sangat panggil pegawai-pegawai saya encik. Dah terbiasa. Lagipun Encik Nik pun pegawai jugakan?” Rendah suara Atiqah.

Nik Arif mahu berkata sesuatu tetapi Atiqah sudah meletakkan kertas yang sudah ditaionya di sebelah Nik arif.

“Encik Nik check apa yang saya taip, biar saya habiskan menaip.”

Nik Arif bangun perlahan-lahan sambil mengambil kertas yang berada di sebelahnya. Dia kemudian duduk di kerusi tidak jauh dari Atiqah. Membaca perlahan kertas yang baru ditaip oleh Atiqah. Dia mengerutkan dahinya. Banyak perkataan yang telah Atiqah betulkan.

“Lesen dalam bahasa Inggeris, licence atau license Iqa.” Nik Arif bertanya.

Atiqah yang sudah memulakan taipannya memberhentikan jari-jemarinya.

“Dalam konteks ayat encik tu, saya rasa licence.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif mengerutkan dahinya.

“Bukan l.i.c.e.n.s.e?” Tanya Nik Arif. Dia merenung Atiqah yang sudah meneruskan taipannya.

“Bukan, licence noun Encik Nik, document. Benda. Contoh Assestment Tax Licence. License verb perbuatan atau kata kerja. Contoh License to kill.”

Nik Arif ketawa mendengar kata-kata Atiqah. Dia kemudian meletakkan kertas tersebut di atas pahanya.

“Iqa kata, Iqa tak tahu bahasa Inggeris.”

Dia tidak mendengar apa-apa jawapan daripada Atiqah. Dia melihat Atiqah pura-pura tidak mendengar.

“Iqa kerja di mana?”

Nik Arif terus-terusan merenung Atiqah yang egitu tekun merenung komputer. Jari-jemarinya bergerak pantas. Sesekali mata Nik Arif jatuh di jari Atiqah yang runcing.

“Syarikat kecil aja Encik Nik. Sebagai kerani.” Atiqah berkata perlahan.

Masuk ini sudah empat kali Atiqah menyebut perkataan kerani. Adakah Atiqah menyindir dia kerana selalu mengatakan Atiqah hanya kerani? Namun dia tidak pernah mengata di hadapan Atiqah. Dia selalu mengatakannya di hadapan emaknya. Adakah emaknya memberitahu apa yang pernah diperkatakannya pada Atiqah?

“Tapi Iqa tahu pasal komputer dan menaip begitu cepat sekali?” Nik Arif berkata bodoh.

“Sayakan kerani, mesti pandai menaip. Lepas tu sayakan menghadap kompuer setiap hari. Jadi sudah tentu saya tahu pasal komputer. Tak ada yang peliknya encik.” Atiqah berkata perlahan. Dia tidak tahu kenapa begitu ramah Nik Arif padanya mala mini. Adakah kerana merasa terhutang budi sebentar tadi?

“Iqa, mak cik ada buat air di ruang tamu. Nanti Iqa minum tau. Mak cik mengantuk dah ni. Awak tu tak sihat. Jangan tolong sangat anak mak cik ni!” Hajah Mimah muncul di muka pintu.

Iqa tersenyum manis. Dia menganggukkan kepalanya.

“Selamat malam mak cik.” Atiqah berkata lembut. Dia merenung Hajah Mimah yang hilang di muka pintu. Hajah Mimah macam mamanya. Dia mengeluh perlahan.

Jam dua belas tengah malam segalanya selesai. Atiqah membantu Nik Arif menyusun kertas kerja yang disediakan bersama dokumen yang lain.

“Terima kasih Iqa erana membantu saya. Kita minum dulu. Air yang emak buat dah sejuk dah.” Nik Arif mempelawa Atiqah.

Atiqah mengambil unit sistem yang berada di bawah meja.

“Saya bawa balik unit sistem nilah Encik Nik. Dalam diskette ni ada file yang aru kita buat tadi. Kalau ada apa-apa hal, encik suruh mak cik telefon saya.” Atiqah melangkah keluar dari bilik bacaan Nik Arif.”

Nik Arif mengekorinya.

“Bagilah nombor telefon pejabat Iqa pada saya. Apa-apa hal esok senang saya contact Iqa.” Nik Arif berkata lembut.

Atiqah sudah duduk di sofa ruang tamu, mengambil air Milo yang sudah sejuk di cawan. Diteguknya seteguk dan kemudian dia bangun.

“Saya ada di rumah esok. Kalau hari lain, mak cik tahu nombor telefon saya.” Atiqah sudah berada di muka pintu.

“Tak minum dulu Iqa?”

Nik Arif sudah mengekori Atiqah di pintu.

“Saya dah minum tadi. Tak apalah Encik Nik, selamat malam.”

Nik Arif tidak sempat bercakap apabila Atiqah sudah hilang dalam gelap malam. Dia menggigit bibirnya separuh kesal.





BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff