my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki 9

BAHAGIAN 9


“JANGAN..jangan!! Jangan kejar aku…!!” Datuk Marzuki menjerit kuat. Dia kemudiannya menangis dengan wajah ketakutan. Wajah-wajah yang menakutkan itu semakin lama makin mendekatinya. Kemudian dengan wajah yang ganas, wajah-wajah tersebut merapatinya.

“Tolong jangan apa-apakan aku!” Dia menjerit lagi. Menjerit sekuat hatinya.

Satu per satu wajah tersebut bertukar menjadi tubuh perempuan, seorang demi seorang. Ada yang dikenalinya dan ada yang tidak. Dia mengeluh perlahan.

“Takut?” Tanya salah seorang perempuan tersebut.

Datuk Marzuki menganggukkan kepalanya. Menggeletar ketakutan.

“Kau takut dengan kami?”

Suara tersebut berkata sambil ketawa. Ketawanya hampir-hampir mencabut jantung Datuk Marzuki dan seluruh sendinya. Dia melihat perempuan tersebut bertukar wajah semula. Kali ini tambah menakutkan. Dengan mata yang merah dan lidah yang terjelir.

“Kau takut dengan kami?” Suara tersebut mengulanginya.

Datuk Marzuki mengangguk dengan badan yang menggeletar. Entah dari mana datangnya, perempuan yang paling depan sekali mengeluarkan sesuatu seperti ekor pari yang panjang. Dia melibas badan Datuk Marzuki yang lantas menjerit kesakitan.

“Kau memang lelaki yang bodoh. Kau memang bodoh. Kau tak seharusnya takutkan kami, bodoh!” Suara perempuan tersebut bersatu dan kemudian ketawa beramai-ramai. Sungguh menakutkan!

“Tolong… tolong jangan pukul aku. Jangan pukul aku!” Datuk Marzuki menjerit lagi, kesakitan. Dia merasakan kulitnya berkecai dari tubuhnya. Dia menjerit dan menjerit lagi apabila perempuan tersebut terus melibasnya beberapa kali. Terlalu pedih tubuhnya dirasakan.

“Jangan sentuh dia!”

Dia terdengar satu suara bergema. Suara seorang wanita. Dia rasa dia kenal dengan suara itu. Bagaikan satu kuasa ajaib, wanita yang memukulnya berhenti dan wajah masing-masing bertukar semula menjadi lembut.

“Dia mesti diajar.” Suara perempuan yang garang dan menakutkan tadi bertukar menjadi lembut.

Dari arah kanan keluar seorang wanita. Wajahnya begitu tenang dan lembut. Datuk Marzuki terpegun. Dia kenal wanita tersebut.

“Biar Tuhan menghukumnya. Bukan kita.” Suara perempuan yang datang dari arah kanan tersebut begitu lembut.

“Kita tak berhak menghukumnya. Kita sama-sama lemah.” Sambung perempuan itu lagi.

“Tolong Zainab… bagi saya peluang!” Datuk Marzuki mendengar suaranya merayu-rayu. Perempuan yang dipanggil Zainab itu tersenyum lembut.

“Lepaskan dia. Beri dia peluang untuk bertaubat. Masih ada masa untuk dia bertaubat. Kita juga lemah. Kita tak ada kuasa untuk menghukum. Biarkan dia pergi.”

Datuk Marzuki mendengar Zainab berkata dengan perempuan-perempuan yang memukulnya tadi.

Seperti satu kuasa, perempuan-perempuan tersebut tunduk.

“Pulanglah… Kita bukan penghukum.”

Dia melihat perempuan-perempuan yang berada di hadapannya beredar perlahan-lahan. Tinggal dia dengan Zainab yang berdiri di hadapannya.

“Pulanglah… Masih ada masa lagi untuk kamu. Pulanglah…” Perempuan yang berada dihadapannya berkata lembut.

“Maafkan abang, Zai..” Dia merayu.

Perempuan tersebut menggelengkan kepalanya.

“Minta maaflah pada Tuhan. Pulanglah… Mintalah maaf pada Tuhan!”

Sebelum sempat dia menjawab, perempuan tersebut sudah menghilangkan diri. Dia tercari-cari perempuan tersebut. Satu cahaya merah menghampirinya dan terus menghentam badannya. Dia menjerit sekuat hatinya.

“Aduh!” Dia mngeluh perlahan. Terasa sakit-sakit seluruh anggota badannya. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Badannya berpeluh. Dia melihat jam didinding. Sudah pukul satu pagi. Dia melihat ke sebelahnya. Zakiah masih belum balik. Dia rasa hiba tiba-tiba dan tanpa disedari dia menangis teresak-esak.

“Tuhan, maafkan hambaMu ini!” Dia berbisik sendiri.

Perlahan-lahan dia banguan, menguak langsir bilik tidurnya. Dari bilik tidurnya ternampak cahaya berkelipan.

Rumah banglo dua tingkat yang berada di atas bukit itu sunyi sepi. Pembantu rumahnya sudah lama tidur dan isterinya masih belum kembali.

“Abang dah berubah..”

Dia tersentak. Merenung sekeliling biliknya. Dia terdengar suara tersebut berbisik ditelinganya.

“Abang benar-benar dah berubah..” Suara tersebut semakin sayu.

Datuk Marzuki menggosok matanya. Tidak ada apa yang dilihatnya di bilik itu. Namun dia dapat mendengar suara tersebut begitu dekat di telinganya. Dia mngeluh perlahan sambil menggelengkan kepalanya. Sayu. Dia tahu dia sudah jauh berubah.

“Maafkan abg, Zai… Maafkanlah abang…” Tanpa sedar, Datuk Marzuki merayu sendiri.

Perniagaan Datuk Marzuki semakin berkembang. Dia menyedarinya dan dia tahu perniagaannya akan bertahan lama. Dia mengira dalam masa sepuluh tahun nanti kalau dia berusaha, perniagaan tersebut akan terus kukuh.

“Saya merasakan semakin lama saya semakin tua, Baharom.” Datuk Marzuki berkata perlahan. Baharom ialah salah seorang daripada ahli lembaga pengarah dan orang kepercayaannya. Dia yang melantik Baharom sejak lima tahun lalu. Dia dapat melihat kredibiliti Baharom.Walaupun Baharom lebih muda daripadanya, dia dapat membina keyakinan terhadap Baharom.

“Setiap orang menjadi semakin tua, Datuk. Kalau semakin muda payah pula. Orang semakin lama semakin ramai. Tak ada yang mati dan yang lahir pun perlu hidup juga.” Baharom bergurau.

Datuk Marzuki ketawa besar mendengar kata-kata Baharom itu.

“Kamu tahukan Baharom yang saya mempunyai seorang anak?” Datuk Marzuki berkata perlahan.

Baharom mengangguk. Dia mengenali anak Datuk Marzuki ketika mula-mula dia diperlawa ke Angkasa Holdings. Namun kemudian anak Datuk Marzuki hilang begitu sahaja. Menurut Datuk Marzuki, anaknya tidak suka Datuk Marzuki berkahwin lain. Kalau itu sahaja alasannya, dia merasakan anak Datuk Marzuki tidak patut membuat ayahnya begitu. Mungkin memang sudah sikap anak orang kaya, terlalu manja dan tidak boleh ditegur, fikirnya.

“Sejak akhir-akhir ini saya selalu teringatkan dia. Itulah satu-satunya zuriat saya. Anak yang saya ada, Baharom.” Suara Datuk Marzuki begitu perlahan sekali.

Sebentar tadi, selepas balik dari gymnasium di bangunan Angkasa Holdings, Datuk Marzuki mengajak Baharom ke sauna yang juga kepunyaan syarikatnya.

“Datuk tak pernah cari dia?” Tanya Baharom. Itu sahaja yang mampu ditanyakannya. Lebih-lebih, itu tidak mungkin, dia tidak mahu dikatakan mahu mencampuri urusan peribadi Datuk marzuki. Dia melihat Datuk Marzuki menggeleng lemah.

“Mungkin silap saya Baharom.”

Datuk Marzuki membetulkan bajunya. Badannya dirasakan sedikit segar.

“Budak-budak sekarang terlalu manja dan tak boleh ditegur.” Tingkah Baharom untuk menyedapkan hati Datuk Marzuki.

Datuk Marzuki mengetap bibir. Hampir dua tahun dia kehilangan anaknya. Hampir dua tahun anaknya itu hilang tanpa khabar berita. Menelefon jauh sekali apatah lagi menjenguk. Menahan rasa kesal yang menerpa. Aku sebenarnya ayah yang tak bertanggungjawab, desis hatinya.

“Saya yang silap.” Datuk Marzuki berkata perlahan. Pedih hatinya mendengar suara sendiri berkata begitu. Namun itulah hakikatnya.

“Apa maksud Datuk?” Tanya Baharom ragu-ragu. Dia dapat melihat wajah Datuk Marzuki yang begitu muram sekali.

"Dia tak suka saya berkahwin lain.” Akui Datuk marzuki dalam suara yang rendah, hampir tidak kedengaran.

“Tak salah Datuk berkahwin lain. Datuk mampu, lagipun Datuk perlukan isteri.” Ujar Baharom.

Datuk Marzuki mengangguk. Benar, memang dia perlukan seorang isteri. Tapi entah mengapa dia sanggup mengenepikan perasaan anak semata-mata untuk memuaskan nafsunya.

“Memang saya perlukan isteri tapi banyak perkara yang membuat dia marahkan saya. Saya dah terlalu banyak melukakan hati mamanya.”

Baharom mengerutkan dahinya. Tidak pernah Datuk Marzuki berkata begitu, sebelum ini.

“Dia perempuan yang baik. Tak pernah marah ketika saya dah mula berubah. Tak pernah merajuk ketika mendengar saya keluar dengan perempuan lain walaupun saya tahunya hatinya tergores dengan apa yang telah saya lakukan walaupun tak pernah disuarakannya.”

Datuk Marzuki mengetap bibir menahan rasa ngilu di dada.

“Perempuan selalu sensitif.” Komen Baharom.

Datuk Marzuki mengeluh. Dia tahu Atiqah merasa begitu kecewa dengan apa yang berlaku dan selepas bertahun-tahun lamanya barulah dia menyedari kesilapan yang dilakukannya.

“Dan saya tahu Baharom, dia tak menyukai Zakiah.” Datuk Marzuki terpaksa mengakui perkahwinannya yang terakhir inilah yang menjadi puncanya. Menjadi malapetaka sehingga perhubungan dengan anaknya yang seorang itu retak dan terbelah.

“Apa salahnya dengan Zakiah?” Tanya Baharom ingin tahu.

Selama ini perkara itu yang ingin ditanyakannya pada Datuk MArzuki tetapi dia tidak berani, takut dikatakan mencampuri urusan rumahtangga orang. Dia hanya mengetahui berita tersebut dari akhbar-akhbar tempatan. Memang ketika Datuk Marzuki mahu berkahwin dengan Zakiah, perkara tersebut heboh diperkatakan di akhbar dan majalah, terutama majalah hiburan. Zakiah seorang pembaca berita yang terkenal. Hampir saban hari wajahnya keluar di kaca televisyen dan yang menjadi punca kekecohan tersebut ialah kerana Zakiah masih isteri orang pada waktu itu.

Baharom tahu ramai yang mempertikaikan keputusan Datuk Marzuki memperisterikan Zakiah. Namun Datuk Marzuki tidak memberi apa-apa komen. Selepas Zakiah bercerai dengan suaminya, lima bulan kemudian Datuk Marzuki mengahwininya.

Menurut majalah hiburan, Datuk Marzuki membayar jumlah yang banyak kepada bekas suami Zakiah untuk melepaskan Zakiah. Bila berita tersebut keluar di majalah hiburan dan surat khabar tabloid, Datuk Marzuki tidak mengiakan dan tidak juga menidakkannya.

“Kamu tahukan yang dia masih bersuami ketika kami berjumpa?”

Baharom menggelengkan kepalanya. Dia sebenarnya tidak tahu adakah cerita yang dibawa oleh akhbar itu benar atau tidak. Datuk Marzuki tidak pernah memberitahu dan dia sendiri tidak pernah bertanya.

“Datuk ambil Zakiah dari suaminya?” Tanya Baharom minta kepastian.

Datuk Marzuki mendepangkan tangannya. “Saya tak ambil dari suaminya, dia yang datang. Dia beritahu saya dia tak bahagia dengan suaminya. Suaminya terlalu cemburu dan banyak lagi alasan yang membuat saya simpati.”

Baharom mengetap bibir. Datuk Marzuki tidak pernah bercerita perkara ini dengannya. Memang Datuk Marzuki amat rapat dengannya. Datuk Marzuki sering bercerita apa sahaja dengannya, baik masalah peribadi atau masalah perniagaan. Namun yang satu ini, dia tidak tahu. Datuk Marzuki tidak menceritakannya.

Ketika mula-mula cerita ini timbul, dia berhajat juga untuk mengetahuinya dari mulut Datuk Marzuki sendiri tatpi waktu itu dia bimbang kalau-kalau Datuk Marzuki melenting. Lalu dia tunggu sehingga cerita itu reda.

“Ketika itu dia memang bermasalah dengan suaminya.” Sambung Datuk Marzuki. Dia terdiam seketika seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

“Mungkin kerana itu anak saya marah dan merajuk. Saya tahu saya silap.”

Datuk Marzuki tersenyum hambar. Kemudian mengeluh perlahan. Entah sudah berapa kali Datuk Marzuki mengeluh.

“DIa tak akan marah kalau saya berkahwin lain. Tapi bukan dengan Zakiah!” Tekan Datuk Marzuki lagi. Dia terbayang bagaimana perpecahan mula timbul antara dia dan Atiqah. Semua gara-gara Zakiah.

“Sama juga Datuk, dengan siapa pun Datuk kahwin, tetap dengan perempuan juga.” Baharom cuba bergurau.

Datuk Marzuki tersenyum kelat.

“Kalau saya berkahwin dengan anak dara pun dia tak akan semarah itu.” Sambung Datuk Marzuki seolah-olah bercakap dengan dirnya sendiri.

Dia merasa sebak. Kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya itu ketika anaknya membawa semua kain baju keluar dari rumah. Dia langsung tidak menegah bahkan dia menerima keputusan anaknya keluar dengan hati yang lapang. Namun kini dia merasakan satu kehilangan yang amat besar dalam hidupnya.

“Kenapa pula Datuk?” Baharom inginkan penjelasan yang lebih. Datuk Marzuki seperti bermain keta silang kata.

“Berita perkahwinan kami tersebar di akhbar-akhbar selama beberapa minggu. Macam-macam cerita yang membuat dia terluka dan malu. Dia pernah beritahu saya betapa dia malu dengan tindakan saya mengambil isteri orang dan Baharom...” Datuk Marzuki mengetap bibirnya cuba menahan sebak di dada.

“Memang saya bayar pada suami Zakiah untuk lepaskan Zakiah. Saya merasakan cinta kami terlalu suci ketika itu. Saya membayar satu juta untuk mendapatkan Zakiah.”

Baharom tersentak. Dia teringat tulisan dan gossip yang ditulis oleh majalah hiburan dan surat khabar. Tiada penafian daripada Datuk Marzuki.

“Datuk bayar???” Baharom menyoal kurang percaya.

Datuk Marzuki menganggukkan kepalanya.

“Zakiah yang mendesak suaminya agar dirinya dilepaskan. Ketika itu saya merasakan yang saya benar-benar mencintai Zakiah. Saya sanggup lakukan apa saja, memisahkan anak-anak Zakiah daripada ibunya dan memisahkan anak saya dari saya sendiri.” Datuk Marzuki menerangkan tanpa rasa malu. Bebanan perasaan yang ditanggungnya selama ini seakan lerai dari bahunya akibat pengakuan itu.

“Anak Datuk tahu?” Tanya Baharom

Datuk Marzuki mengangguk.

“Datuk beritahu dia?” Tanya Baharom lagi.

Datuk Marzuki menggelengkan kepala. Tidak ada sesiapa yang tahu perkara tersebut kecuali Zakiah dan bekas suaminya.

“Saya rasa anak saya berjumpa dengan suami Zakiah, meminta penjelasan.” Ujar Datuk Marzuki perlahan. Dia mengesyaki dan meyakini yang anaknya berjumpa dengan bekas suami Zakiah.

“Untuk apa?” Baharom tidak mengerti.

“Supaya perkahwinan Zakiah dan saya tak dapat diteruskan.” Datuk Marzuki menerangkan perlahan.

“Maksud Datuk… anak Datuk meminta jasa baik bekas suami Zakiah agar jangan melepaskan Zakiah tapi lelaki itu memberitahu yang Datuk sudah membayar satu juta padanya?

Datuk Marzuki mengangguk.

Baharom mengeluh. Kalau sudah begitu kaya, duit tidak bermakna lagi sehingga sanggup menggadai maruah sendiri dan mengetepikan perasaan orang lain. Baharom berkata pada dirinya sendiri. Takut mahu diluahkan. Takut Datuk Marzuki berkecil hati.

“Kenapa dia benar-benar menghalang?” Tanya Baharom selepas suasana sepi buat seketika.

Masing-masing memikirkan perkara yang sama. Datuk Marzuki memikirkan kesilapan yang pernah dilakukan dan Baharom pula memikirkan mengapa sampai begitu sekali Datuk Marzuki sanggup menggadai maruah diri hanya kerana seorang perempuan.

“Siapa maksud kamu Baharom?” Tanya Datuk Marzuki. Matanya besar merenung Baharom yang tenang tetapi masih lagi tidak memahi duduk perkara yang sebenar.

“Anak Datuk. Kenapa dia benar-benar menghalang?” Tanya Baharom, masih tidak mengerti.

“Dia malu Baharom…” Datuk Marzuki mengeluh. Keluahan tersebut terasa berat. Berat untuk mengakui kesilapan yang telah dilakukannya.

“Malu! Maksud Datuk?” Berkerut dahi Baharom tanda tidak mengerti.

“Malu kerana ayahnya menggadaikan maruah diri hanya kerana seorang perempuan.” Datuk Marzuki terpaksa mengakuinya walapun pahit. Itu kesilapan terbesar yang dilakukannya selepas kesilapan menceraikan isteri pertama yang telah banyak berkorban untuknya.

“Maksud Datuk?” Baharom bertanya lebih lanjut. Timbul simpatinya melihat wajah Datuk Marzuki yang muram dan mendung itu.

“Menggunakan wang ringgit untuk kepentingan diri sendiri, Saya benar-benar kesal Baharom. Kita lelaki tetapi saya tidak tahu kenapa sampai begitu sekali saya menggadaikan maruah saya.” Suara tersebut benar-benar sudah diburu kesal. Penyesalan yang sudah terlambat.

“Sabarlah Datuk. Setiap orang membuat kesilapan.” Baharom cuba memujuk. Dia dapat melihat wajah Datuk Marzuki bergenang dengan air mata. Lelaki itu menangis.

“Saya benar-benar kesal kerana menghalaunya. Dia seorang anak yang baik. Saya aja yang tak pernah memberinya kasih sayang..” Tersedu-sedu Datuk Marzuki kala itu.

Baharom diam tidak terkata. Mahu memberi pendangan, bimbang disalah tafsir. Sebaiknya berdiam diri dan menjadi pendengar yang baik.

“Saya terlalu memikirkan diri sendiri. Telalu memikirkan kasih sayang daripada perempuan lain. Anak saya tu yang menjadi mangsanya. Saya memang kejam Baharom, seorang ayah yang tak berhati perut!”

Datuk Marzuki mengetap bibir mencari kekuatan untuk terus meluahkan perasaannya. Dia tidak tahu pada siapa harus diluahkannya. Pada Zakiah isteri barunya, itu tidak mungkin. Zakiah jarang ada masa untuknya. Sebagai pembaca berita dan sebagai public figure, isterinya terlalu sibuk mengejar glamor dan kebendaan.

“Dah dekat dua tahun dia pergi. Dia benar-benar terluka dengan apa yang dah saya lakukan padanya. Saya memang tak berhati perut. Saya halau dia dari rumah, saya haramkan dia menjejakkan kaki rumah… tapi saya tak sedar. Itulah zuriat saya. Satu-satunya zuriat yang saya ada!” Datuk Marzuki mencurahkan rasa hatinya yang selama ini dipendamkan.

“Sabarlah Datuk… Semua yang berlaku ini, ada hikmahnya. Datuk tak cuba cari dia?” Tanya Baharom. Simpati menyentuh hati kecilnya. Sebagai seorang ayah kepada tiga orang anak, dia dapat merasakan apa yang dirasai oleh Datuk Marzuki. Alangkah malangnya seoarang ayah andai tidak dapat menggapai kasih daripada anak sendiri.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu mencari dia.” Datuk Marzuki berkata perlahan. Bekas isterinya pun sudah lama tidak ditemui. Dengarnya masih berada di New Zealand. Dia tahu hubungan rapat bekas isterinya dengan salah seorang warganegara New Zealand.

“Mesti ada jalannya. Datuk dah cari di rumah emak mentua Datuk?”

Datuk Marzuki menelan air liurnya. Sudah begitu lama hubungannya dengan bekas mentuanya di Kampung Kuala Tahan, Pahang terputus. Sejak bercerai, dia tidak pernah menghubungi emak mentuanya itu. Kini dia sedar betapa egonya dia selama ini.

“Kami dah lama putus hubungan, Baharom.” Datuk Marzuku mengeluh. Dia menutup matanya dan menyandar perlahan di kerusi seolah-olah memikirkan sesuatu. Dia kemudian mengerutkan dahinya. Dia tiba-toba teringatkan bekas adik iparnya yang bekerja di salah sebuah syarikat saham.

“Yes, Fuad.” Datuk Marzuki berkata perlahan. Terpercik riak riang di wajahnya.

“Fuad? Siapa Datuk?” Baharom bertanya dalam nada hairan. Belum pernah dia mendengar nama itu keluar dari bibir Datuk Baharom.

Datuk Marzuki tersenyum sambil mengangguk.

“Fuad. Dulu dia bekerja di salah sebuah syarikat saham. Dia adik ipar saya. Fuad Mohd. Ayub.” Datuk Marzuki menulis sesuatu di kertas kecil yang diambil dari atas mejanya. Kemudian menulis nama Fuad Mohd Ayub, Gemilang Security dan ditunjuk kepada Baharom.

“Tolong siasat sama ada dia masih bekerja di situ atau tidak. Enam tahun yang lepas dia masih disitu dan saya berharap dia masih di syarikat itu.”

Baharom mengangguk namun dalam hatinya menggumam sendiri, batapa teruknya Datuk Marzuki. Hanya kerana perempuan yang lebih cantik semua saudara mara diketepikan termasuk anak sendiri.

“Lagi satu saya nak minta tolong awak Baharom.” Datuk Marzuki berkata perlahan.

Baharom tidak menjawab tetapi matanya merenung Datuk Marzuki.

“Carikan saya seorang guru mengaji.. Saya nak belajar mengaji.”

Baharom tersenyum. Datuk Marzuki benar-benar berubah, fikirnya.

“Kalau bolehlah, saya nak belajar mengaji semula.” Datuk Baharom berkata tenang. Malu dia mahu berkata begitu dengan Baharom namun sebagai orang Islam dia sedar, kesilapan lalu masih boleh diperbaiki.

“Insya-Allah Datuk. Saya akan cuba mencarinya. Jangan bimbang.” Baharom membalas perlahan. Dia benar-benar gembira dengan perubahan Datuk Marzuki.



2 comments:

Mrs Velentine said...

nak baca yg kelapan dulu

Kniedaz said...

sekejap je dah habis..kena tunggu yg ke 10 pulak...hadoi la

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff