my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki - 6

BAHAGIAN ENAM


JUNE menolak pintu bilik Atiqah. Dia melihat Atiqah masih lagi tidur. Dia merengus perlahan.

“Hoi Iqa… Bangunlah! Aku dah nak pergi kerja ni.” June menggoncang bahu Atiqah perlahan.

Atiqah membuka matanya. Dia tercium bau wangi dari tubuh June. Dia merenung wajah tersebut sambil memegang kepalanya.

“Aku M.C. lagilah. Dah nak pergi kerja ke?” Tanya Atiqah dalam suara serak.

Dia bangun. Pagi tadi dia terbangun pukul empat pagi. Kepalanya dirasakan begitu sakit. Dia menelan empat biji Penadol dan tertidur hingga ke pagi. Nasib baik dia uzur, jadi tidak perlulah terkocoh-kocoh untuk banguna solat Subuh. Bila bangun pagi ini, dia rasa kepalanya sedikit lega.

“Alah… kenapa tak cakap? Kalau tak, boleh aku keluar awal. Siapa nak hantar aku ni?” June berkata sambil merengus perlahan.

Atiqah membuka tingkap biliknya. Dia menjenguk ke luar dan melihat kereta Nik Arif masih berada di dalam garaj. Selalunya June menumpang kereta buruknya kalau lambat ke pejabat.

“Buah hati kaukan ada. Tumpang ajalah…” Atiqah mengusik.

June merengus kemudian ketawa kecil menepuk bahu Atiqah.

Atiqah melihat June menyanyi-nyanyi kecil. Bertuah kau June. Bisik hatinya.

June ramai teman lelaki. June agak cantik orangnya, tinggi lampai seperti model, wajah menarik dan bekerja sebagai setiausaha. Tak macam dirinya..

Dia masih ingat lagi kat-kata hinaan Nik Arif padanya. Samapi sekarang disimpannya di dalam hati sebagai ingatan, sebagai pedoman. Sebab itu dia terlalu berhati-hati apabilah bercakap dengan Nik Arif. Selama ini dia memang ada bertembung dengan Nik Arif mentafsirkan dengan cara yang salah. Dia benar-benar tidak faham!

“Nasib akulah!” Dia berkata sendirian sambil menguap kecil. Rasa mengantuk masih bersisa. Namun dia bangun ke bilik air, mencuci muka dan menggosok giginya, kemudian keluar ke ruang tamu. Dia menggelengkan kepala apabila melihat pintu hadapan ternganga, tidak ditutup oleh June.

Perutnya rasa lapar tiba-tiba. Dia berjalan ke dapur dan membuka peti ais, mencari apa yang boleh dimakan buat alas perut. Namun apabila dia baru sahaja mengeluarkan sayur dari peti ais, ada suara memberi salam.

Atiqah pantas berjalan ke muka pintu.

Hajah Mimah berdiri di muka pintu dengan senyuman sambil menatang sepinggan nasi goreng.

“Kamu dah sihat Iqa?” Tanya Hajah Mimah.

“Sihat mak cik. Iqa baru nak masak, mak cik dah bawa rezeki. Terima kasih banyak-banyak mak cik. Jasa mak cik akan tetap Iqa kenang hingga hayat dikandung badan. Tak payahlah Iqa masak!”

Hajah Mimah ketawa besar mendengar kata-kata Atiqah. Atiqah memang begitu, selalu bergurau dengannya. Rambut Atiqah diusapnya lembut. Dahi Atiqah dirabanya.

“Dah kebah dah. Pukul berapa kamu tidur malam tadi? Nik tu memang begitu. Selalu kelam kabut.”

Atiqah ketawa kecil. Meletakkan semula sayur yang diambil tadi ke dalam peti ais. Dia memang malas hendak memasak pagi itu. Jadi bila Hajah Mimah membawa nasi goreng untuknya, dia begitu bersyukur.

“Kamu cuti sakit lagi?” Tanya Hajah Mimah.

Atiqah menganggukkan kepalanya.

“Muka kamu tu pucat. Nanti mak cik buatkan kamu air mata kucing, segarkan sikit badan kamu tu. Tengah hari ni mak cik masakkan untuk mau. Kamu jangan masak!”

Atiqah tersengih. Hajah Minah memang macam mamanya sendiri. Walaupun hanya setahun sia duduk di situ, dia sudah merasakan kemesraan wanita tersebut terhadapnya.

Terdengar telefon berbunyi nyaring. Atiqah mengangkatnya perlahan.

“Hah… mak encik ada sini. Encik nak cakap dengan dia ke?” Atiqah melirik pada Hajah Mimah yang sedang menyusun majalah yang bersepah di lantai.

Dia hanya mengeluh. June tidak pernah tahu berkemas.

“Tak apalah Iqa. Mak memang macam tu, pagi-pagi dah merayau. Tak apalah, cakap dengan dia Nik pergi sekarang.”

Atiqah mengerutkan dahinya. Dia mahu bertanyakan June tetapi dimatikan niatnya. June tentu berada di rumah Hajah Mimah sekarang.

“Iqa, thanks a lot pasal tolong Nik malam tadi. Nik tak tahu nak cakap. Kalau Iqa tak ada, entahlah… memang susah. Nanti Nik belanja Iqa makan tengah hari okey?”

Atiqah ketawa. Baik pula Nik Arif dengan dia kali ini.

That’s okay Encik Nik. Ada apa-apa lagi ke?” Tanya Atiqah. Dia merenung Hajah Mimah yang pura-pura tidak mendengar.

“Itu aja. Jaga diri baik-baik. Jangan lupa makan ubat.”

Atiqah meletakkan telefon.

“Siapa? Tanya Hajah Mimah.

Atiqah hanya tersengih sambil mendepangkan tangannya.

“Anak mak cik. Bertuah mak cik dapat anak macam dia. Nak pergi kerja pun cari emaknya.”

Atiqah bangun mengambil penyapu di dapur. June memang suka membaca tetapi tidak tahu meletakkan buku dan majalah yang diambilnya ke tempatnya semula.

“Dia cari mak cik ke atau cari kamu?” Hajah Mimah mengusik.

“Buat apa dia cari saya mak cik?” Atiqah ketawa. Kata-kata Nik Arif masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia tidak akan melupakan kata-kata itu sampai bila-bila.

“Dia tanya emaknya mana. Pagi-pagi dah tak ada!”

Hajah Mimah merenung tubuh Atiqah. Dengan dibaluti baju tidur, Atiqah begitu cantik di matanya. Dia tidak tahu kenapa Nik Arif mengatakan June lebih cantik daripada Atiqah sedangkan June mempunyai mulut yang besar dan suka mewarnakan rambutnya. Kulit Atiqah bersih dan halus. Suka ketawa dan kata-katanya menyenangkan hati semua yang mendengar. Tidak macam June yang lepas cakap.

“Yalah… manalah tahu, Iqa perempuan dan dia lelaki. Mak cik bukan tak pernah muda!”

Atiqah ketawa lagi.

“Anak mak cik tampan sangat mak cik. Jawatan tinggi. Iqa ni apa ada… kerani cabuk. Jangan mak cik! Kasihan anak mak cik tu kalau dapat bini macam Iqa.”

Hajah Mimah merenung wajah Atiqah. Dia tidak pernah memberitahu Atiqah apa yang dikatakan oleh Nik Arif tetapi Atiqah seolah-olah dapat merasakan yang Nik Arif tidak menyukainya.

“Mak cik tak kisah Iqa, paling penting menantu mak cik sayangkan mak cik. Sebab tu mak cik kalau boleh nak kamu jadi menantu mak cik. Tapi kalau dah tak boleh, nak cakap apa. Kalau kamu tak suka mak cik nak cakap apa lagi Iqa?’ Perlahan suara Hajah Mimah.

Cara Hajah Mimah bercakap tiba-tiba membuatkan Atiqah teringatkan mamanya yang jauh beribu batu. Dia rasa hujung tahun ni dia akan bercuti dan melawat mamanya.

“Bukan Iqa tak suka mak cik, anak mak cik yang tak suka. Alah, mak cik… kalau Iqa tak jadi menantu mak cik, tak semestinya Iqa tak boleh sayangkan mak cik?” Atiqah meletakkan penyapu di tangan dan lantas duduk di sofa sebelah Hajah Mimah. Bahu perempuan separuh abad itu dipeluknya lembut.

“Mak cik tak payah masak tengah hari ni. Iqa rasa macam dah sihat aja. Malam tadi Iqa telan empat biji Penadol. Kita pergi makan dekat luar nak mak cik? Iqa belanja.”

Hajah Mimah tersenyum melihat gelagat Atiqah. Dia mengusap rambut Atiqah lembut sambil ketawa kecil.

“Kamu ni ada-ada aja Iqa.”

Mereka akhirnya ketawa.

KERTAS KERJA sudah selesai dibentang dan diedarkan kepada semua yang menghadiri mesyuarat. Semua yang hadir berpuas hati dengan cadangan yang dibentangkan dan berpuas hati dengan cara kertas kerja tersebut ditulis. Nik Arif meraskan dia benar-benar terhutang budi dengan Atiqah. Dia cuba menelefon ke rumah Atiqah beberapa kali selepas mesyuarat namun tidak ada yang menjawab. Dia cuba menelefon rumahnya, juga tidak berjawab. Pelik. Sampai pukul lima dia mencuba, masih tida ada jawapan.

Dia pulang awal dan selepas setengah jam sampai di rumah dia melihat kereta Atiqah berhenti di halaman rumahnya.

Emaknya turun dengan tawa yang masih bersisa. Dia yang duduk di buai halaman rumah memerhati emaknya yang begitu riang.

“Mak dari mana?” Dia bertanya pada Hajah Mimah yang membimbit barang di tangan.

“Hem.. shopping dengan Atiqah.”

Nik Arif mengerutkan dahinya. Dia merenung Atiqah yang mengangkat tangannya kemudian kereta gadis itu mula beredar ke belakang rumah.

“Demam-demam pun shopping?” Geleng Nik Arif. Dia merenung emaknya yang sudah masuk ke dalam rumah. Dia mengekori emaknya.

“Patutlah telefon rumah tak ada orang yang jawab. Telefon rumah Iqa pun tak ada yang angkat!” Nik Arif berkata perlahan.

Hajah Mimah tersenyum mendengar kata-kata anaknya. Rajin pula Nik Arif ,menelefon ke rumah Atiqah! Dia terkenangkan peristiwa malam tadi. Dia tersenyum sendirian.

“Emak pergi Menara Kuala Lumpur dengan Iqa, lepas tu shopping dekat Lot 10.”

Nik Arif menggelengkan kepalanya sambil ketawa kecil.

“Itu yang emak suka sangat nak bermenantukan Iqa dan Iqa pun sama!”

Hajah Mimah yang baru sahaja meletakkan barang-barang yang dibeli tadi, kurang senang dengan tuduhan Nik Arif. Anaknya itu tidak pernah berubah. Dia sangkakan dengan pertolongan Atiqah semalam, Nik Arif akan terus berubah. Rupa-rupanya tidak.

“Apa yang sama?” Tanya Hajah Mimah, merenung Nik Arif yang masih lagi ketawa.

“Yalah.. sama dengan mak, satu kepala dengan mak dan mak suka dapat menantu macam tu?”

Hajah Mimah merengus perlahan.

“Dia tahu kamu tak sukakan dia, kamu sukakan June. Apa yang kamu nak heboh sangat?” Keras suara Hajah Mimah.

Nik Arif mengerutkan dahinya. Lain macam bunyi suara emak, fikir Nik Arif. Marah sangat agaknya! Dia tahu hubungan yang begitu baik di antara Hajah Mimah dengan Atiqah.

“Nik cuma bergurau mak. Kenapa mak marah pula ni?” Nik Arif duduk di hadapan emaknya. Telapak tangannya diletakkan di atas paha Hajah Mimah.

Hajah Mimah mengeluh perlahan. “Emak dah tak kisah Nik, kamu nak kahwin ke tak. Iqa pun dah cakap kalau emak tak jadi emak mentuanya, tak semestinya dia tak boleh sayangkan mak. Dia tahu kamu tak sukakan dia. Emak hairan kenapa dia tu selalu buruk di mata kamu. Entahlah… Emak tak ada anak lelaki lain. Kalau ada, emak jodohkan dengan Iqa tu. Bukan dengan kamu!”

Nik Arif merenung emaknya kemudian menarik nafas panjang.

“Saya tak pernah cakap dia buruk mak!” Nik Arif membela dirinya.

“Hai.. kamu yang selalu cakap, bukan lawa pun Iqa tu mak. Apa maknanya?” Hajah Mimah mencebir bibir.

Nik Arif hanya tersengih merenung muka emaknya.

“Kalau tak suka sekalipun jangan cakap banyak. Budak tu tak pernah nak sakitkan hati kamu, tak pernah sakitkan hati emak. Emak mahu kamu hormat dia.” Hajah Mimah berkata tegas,

“Siapa kata Nik tak hormatkan dia mak?” Nik Arif membalas semula.

Hajah Mimah merenung wajah anak bujangnya. Kesemua anaknya yang lain sudah berkahwin. Tinggal Nik Arif seorang sahaja yang belum. Dia mahu anak bongsunya mendapat seorang isteri yang baik. Di hati kecilnya dapat merasakan Atiqah gadis yang sesuai.

“Hormat apa namanya. Bila Iqa hantar makanan, kamu kata dia nak memikat kamu, Iqa baik dengan emak pun kamu prasangka. Kamu kutuk dia. Kamu mana pernah suka dengan dia!” Bidas Hajah Mimah.

Puas hatinya dapat meluahkan apa yang terbuku dihatinya selama ini. Atiqah gadis yang baik. Kalau Nik Arif tak suka, terpulang pada Nik Arif tetapi untuk mengata-ngata Atiqah di hadapannya, dia tidak suka.

“Emak cakap dengan dia yang Nik Arif tak sukakan dia?” Nik Arif bertanya tidak puas hati.

Dadanya berdebar-debar menunggu jawapan daripada emak. Entah mengapa sejak malam tadi dia asyik teringatkan Atiqah. Merenung wajah Atiqah semalam, dia mengakui kata-kata emaknya. Atiqah lebih cantik daripada June.

“Emak tak cakap pun dia dah tahu. Pagi tadi bila emak cakap pasal ni, dia hanya ketwa. Dia cakap kamu tu pegawai tinggi, dia kerani cabuk. Tak layak dia dengan kamu. Dia cakap, dia tahu kanmu tak sukakan dia.” Hajah Mimah berkata perlahan. Kasihan Atiqah… gadis itu baik dan rendah hati.

“Jangan-jangan mak yang cakap Nik tak sukakan dia!” Nik Arif mencebirkan bibirnya.

Hajah Mimah merenung anak teruma di hadapannya. Nik Arif terlalu bangga dengan pangkatnya, fikir Hajah Mimah.

“Budak ni.. Emak tak akan melukakan Atiqah sampai begitu sekali. Kalau kamu tak suka, itu hak kamu. Tapi untuk mengatakan yang kamu mengata itu ini pada dia, emak tak sanggup nak beritahu. Tentu dia kecil hati nanti.” Sambung Hajah Mimah perlahan. Dia benar-benar gembira bersama Atiqah. Atiqah kelakar dan baik hati.

“Habis… masakan dia tahu saya tak suka dia!” Nik Arif masih tidak puas hati.

“Dia cakap aja, mungkin dia rasa kamu tak sukkan dia. Selama ni kamu tu tegur dia pun tak. Menyombong. Nasib baik dia nak tolong kamu semalam, tahu tak! Dahlah.. emak nak mandi dan sembahyang.” Hajah Mimah bangun.

Shopping sampai tak ingat sembahyang!” Dia mengusik Hajah Mimah.

Hajah Mimah menoleh kemudian mencebirkan bibirnya.

“Pandailah kamu. Kamu dah sembahyang?”

Nik Arif menganggukkan kepalanya. Kemudian ketawa kecil bila emaknya mengangkat kening.



"Berani kau nak rogol aku"

Muka depan Harian Metro hari ni betul-betul menarik perhatian. Demi maruah diri, remaja tu sanggup mempertaruhkan nyawanya kejar penyamun dengan parang. Hahaha lari lintang pukang penyangak tu.
Caya lah dik... Nasib baik adik tak dapat pakuk penyangak tu. Kalau dapat  lagi berbaloi-baloi. Biar penyangak tu sedar sikit kan.
Apa pun diharapkan Adik Nurul Shahira Mohd Nawai dan keluarga akan lebih berhati-hati lagi lepas ni. Takut-takut penyamun tu menyimpan dendam.

Suami Curang!!!! - Jangan Sedih


Woooo Pedih tau kalau suami kita curang pada kita. Terutama sekali bila kita dah letak lebih seratus peratus kepercayaan kepada suami kita. Tapi bila suami khianati kepercayaan tu, isteri boleh jatuh tersungkur dibuatnya. Tapi jangan sedih sangat lah kalau suami curang. Huh... Mana mau nya tak sedih kan. Ok. Boleh sedih tapi jangan lebih dari satu hari. Pada hari anda tahu suami anda curang, anda nak nangis ke, mengamuk ke, meratap ke buat pada hari tu saja. Esok nya bila bangun dari tidur, kena jadi orang baru. Tak mau sedih-sedih lagi. Fikirkan strategi seterusnya. Apa yang anda kena buat. Sebab walau apa pun terjadi hidup mesti diteruskan.

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki - 5

BAHAGIAN 5


NIK ARIF merengus geram, sudah beberapa kali dia membuka komputernya namun tidak ada apa yang keluar di skrin komputer kecuali cahaya yang berwarna hijau. Kesabarannya sudah hampir hilang. Ketika dia mahu menggunakannya dan dalam keadaan yang terdesak pula, komputernya buat perangai. Dia teringatkan laptopnya yang berada di pejabat.

“Sial betul!” Dia merengus geram.

Dia teringatkan Fauziah yang masih lagi bercuti. Kalau setiausahanya itu ada sudah tentu dia tidak perlu bersusah payah macam ini. Sudah tiga hari Fauziah bercuti dan dia terpaksa membuat kerjanya sendirian. Esok dia ada mesyuarat dengan klien terbesar. Dia terpaksa menyudahkan kerja-kerjanya malam itu juga. Namun komputernya tiba-tiba buat perangai. Dia keluar dari bilik bacaan menuju ke ruang tamu.

“Celaka betul!” Dia membentak perlahan, menggaru kepalanya yang tidak gatal dengan wajah yang keruh.

Hajah Mimah yang sedang menonton TV pelik melihat perangai anak lelakinya itu.

“Apa kenanya kamu Nik, macam beruk kena tungau aja,” Hajah Mimah mengusik.

Nik Arif mengeluh. Melihat jam di dinding. Kalau di ke pejabat dan mengambil laptopnya tentu memakan masa. Kalau jalan elok, satu jam akan sampai semula ke rumah tetapi kalau jalan teruk, dia akan tersangkut di jalan.

“Nik nak pakai komputer, mak. Entah kenapa tiba-tiba aja rosak. Sakit hati betul. Siapa yang usik entahlah!” Nik Arif merungut seolah-olah bercakap bercakap dengan dirinya sendiri.

“Siapa yang mengusiknya…Mak pun takut nak membukanya. Rosak macam mana?”

Nik Arif menjeling maknya sekilas. Kalau dia beritahu pun bukan emak tahu, fikirnya.

“Satu benda tak keluar kecuali warna hijau. Ada benda yang nak submit esok. Lagipun Nik ada meeting dengan klien esok.” Nik Arif mengeluh lagi.

Dia masih berkira-kira untuk ke pejabatnya. Dia tidak tahu untuk membetulkan komputernya di rumah. Sejak komputer tersebut dibawa balik ke Malaysia, dia jarang menggunakannya. Jadi dia sendiri tidak menyangka komputer tersebut akan rosak pada saat-saat seperti ini.

“Si Iqa tu mak tengok banyak komputer dalam biliknya. Kamu pinjamlah. Emak tengok dia selalu bawa balik komputer, macam-macam rupa. Kamu telefon dia sekejap. Suruh dia datang.”

Nik Arif merengus merenung Hajah Mimah. Apa yang Atiqah tahu tentang komputer? Mahu sahaja dia ketawa tetapi dia takut emaknya berkecil hati. Bagi emak, Atiqah sentiasa baik dan serba tahu.

“Nanti emak telefon dia kejap. Malas emak nak turun.”

Nik Arif hanya membiarkan Hajah Mimah bangun menuju ke meja telefon. Bercakap sekejap dan kemudian meletakkan gagangnya.

“Emak dah cakap dengan dia. Sekejap lagi dia datang. Dia pun macam tak berapa sihat, suaranya sengau aja.”

Nik Arif tidak menjawab. Dia tidak pasti adakah dia yakin dengan kata-kata emaknya namun beberapa minit ada seseorang memberi salam. Hajah Mimah bangun dan tidak lama kemudian Atiqah muncul di muka pintu.

“Komputer Encik Nik rosak ke?” Atiqah bertanya sambil tersenyum kepada Nik Arif.

Nik Arif merenung Atiqah acuh tak acuh. Namun demi dilihatnya di tangan Atiqah ada sebuah laptop, hatinya tiba-tiba lega. Selama ini Atiqah tidak pernah menegurnya.

“Hem…” Matanya merenung laptop di tangan Atiqah.

Atiqah perasan dengan pandangannya kemudian ketawa kecil. Bagi Atiqah, kalau tidak kerana Hajah Mimah yang menelefon tadi mampus dia tidak akan datang. Dia masih ingat kata-kata hinaan Nik Arif terhadapnya.

“Boleh Encik Nik tunjukkan pada saya mana rosaknya? Manalah tahu kalau-kalau saya boleh betulkan.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif bangun lalu membawa Atiqah ke bilik bacaannya.

Atiqah mengumpulkan kertas yang bertimbun di sebelah komputer dan meletakkannya di atas kerusi. Dia membuka komputer dan sesekali menekan wayar yang bercantum di belakang monitor tersebut.

“Unit sistem ni rosak agaknya Encik Nik. Tak apalah. Mak cik cakap Encik Nik ada benda yang nak dibuat. Encik Nik pakai laptop saya dulu. Nanti saya balik rumah, saya cuba ambil unit sistem saya.”

Atiqah bangun, dia memegang laptop yang dibawanya tadi dan meletakkannya di atas meja.

“Baterinya saya baru caj. Encik Nik pakai dulu, nanti saya balik sekejap untuk mengambil unit sistem.”

Nik Arif hanya merenung Atiqah yang bekerja mencabut wayar-wayar yang berada di unit sistem. Kemudian gadis tersebut keluar dari bilik bacaannya. Terdengar suaranya bercakap-cakap dan kemudian ketawa dengan emaknya.

Nik Arif menghadap perlahan laptop yang berada di hadapannya. Dia teringat cara Atiqah bekerja sebentar tadi. Gadis itu seolah-olah tahu benar tentang komputer. Kerjanya pantas dan meyakinkan. Lama dia menghadap laptop tersebut namun tidak ada sesuatu yang dapat ditaipnya. Dia tidak tahu kenapa dia asyik memikirkan Atiqah. Atiqah memanggilnya dengan panggilan Encik Nik? Janggal benar rasanya.

“Saya pun tak berapa suka pakai laptop, Encik Nik. Kecil sangat. Rabun mata dibuatnya.”

Nik Arif tersentak.

Atiqah sudah berada di belakangnya. Dia menggaru-garu kepalanya. Dia melihat Atiqah sedang memasang wayar di unit sistem yang baru diambil dari rumahnya sebentar tadi. Dia tidak perasan bila Atiqah masuk. Mungkin kerana dia hanya termenung di hadapan laptop tersebut maka Atiqah menyangka begitu padanya.

“Kenapa Iqa, apa rosaknya,” Hajah Mimah bertanya dimuka pintu.

Nik Arif melihat emaknya tersenyum merenung wajah Atiqah.

“Punggungnya rosak mak cik.”

Nik Arif mendengar emaknya ketawa kecil dan dia sendiri tersenyum sendirian. Tidak lama kemudian komputernya yang rosak sudah mula berfungsi. Dia melihat Atiqah memeriksa satu per satu program di komputernya.

“ Semuanya okey cuma unit sistem aja yang rosak. Banyak ke fail Encik Nik dalam hard disk?” Atiqah bertanya.

Nik Arif menggeleng.

Hajah Mimah sudah keluar apabila melihat Atiqah sudah berjaya membetulkan komputer tersebut.

“Unit sistem Encik Nik ni saya bawa balik, saya bagi pinjam unit sistem saya. Encik Nik punya akan saya cuba betulkan. Saya akan cuba dapatkan balik fail Encik Nik tapi saya kena tengok apa rosaknya. Mungkin terpaksa diformatkan semula. Kalau fail tu tak dapat saya selamatkan, maafkan saya.” Atiqah berkata tenang.

Nik Arif merenung wajah Atiqaj yang tenang dan lembut.

Sejak dia balik ke Malaysia, dia tidak pernah bercerita dengan Atiqah. Dia banyak bercerita dengan June. Tidak tahu kenapa. Mungkin kerana dia tidak berapa sukakan Atiqah. Atiqah pula tidak pernah menegurnya, hanya senyum bila sesekali mereka berselisih. Sementara June pula begitu rajin menegurnya. Malah telah beberapa kali dia makan dan menonton wayang bersama gadis itu.

“Terima kasih Iqa, Kalau Iqa tak ada tak tahulah saya. Lagipun banyak betul benda yang mahu ditaip. Setiausaha saya cuti seminggu. Esok saya ada meeting dengan klien pula tu. Tak tahulah bila akan habis.” Nik Arif berkata perlahan.

Atiqah menganggukkan kepalanya tanda memahami. Dia merenung kertas yang bertimbun di atas kerusi yang baru dialihkan sebentar tadi.

“Encik nak taip kertas-kertas ni semua?” Atiqah bertanya sambil mengangkat kertas yang berada di kerusi itu.

Nik Arif mengangguk.

“Banyak kalau nak dihabiskan satu malam, encik. Kalau Encik Nik tak keberatan, saya boleh tolong taipkan separuh dan Encik Nik taipkan separuh. Lepas tu kita boleh mergekan.”

Nik Arif tersentak dengan tawaran Atiqah. Hatinya cuba membuat pelbagai andaian. Namun mengenangkan kata-kata Atiqah sebentar tadi, dia tahu Atiqah ikhlas mahu menolongnya. Dia menggigit bibir. Dia merasakan tawaran tersebut bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.

“Encik jangan bimbang, saya akan taip di luar pakai laptop, encik pakai komputer di dalam.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif menalan air liurnya. Dia memang mengharapkan ada orang yang akan membantunya. Namun sama sekali bukan Atiqah. Entah kenapa dia tiba-tiba rasa malu dengan gadis itu.

“Tapi… banyak ni Iqa. Saya betul-betul menyusahkan Iqa. Dahlah Iqa betulkan komputer saya…”

Nik Arif tidak tahu kenap begitu manis mulutnya bercakap sedangkan selama ini dia selalu mengutuk Atiqah di hadapan emaknya.

“Sebab banyaklah saya tolong..” Atiqah tersenyum.

Nik Arif membalas senyuman tersebut.

“Encik Nik bagi saya yang mana saya boleh taip.” Atiqah menghulurkan tangannya.

Nik Arif memberi Atiqah beberapa keping draf yang ditulisnya.

Atiqah membeleknya kemudian ketawa kecil.

“Banyak ini aja? Encik Nik jangan bimbang saya membacanya. Kerani macam saya ni pun bukan faham sangat bahasa Inggeris ni. Saya hanya taip aja. Bagi saya beberapa keping lagi.”

Nik Arif merenung Atiqah yang tersenyum. Tangannya menghulurkan beberapa keeping kertas lagi kepada Atiqah. Atiqah kemudiannya keluar. Dia mendengar Atiqah bercerita dengan emaknya. Sesekali terdengar Atiqah batuk-batuk kecil. Dia teringat, emak ada memberi tahu yang Atiqah tidak berapa sihat.

Nik Arif memulakan kerjanya. Terkial-kial dia menaip. Dia masih terdengar suara Atiqah bercerita dengan emaknya yang sesekali disulami dengan gelak ketawa. Dia tidak tahu kenapa dia asyik memikirkan Atiqah. Hampir sejam dia menaip, hanya satu muka setengah yang baru dapat ditaipnya. Dia termenung. Tiba-tiba dia tertekan salah satu butang di papan kekunci dan kemudian tulisan yang ditulisnya hilang begitu sahaja. Dia panic lantas bingkas bangun.

“Iqa, tolong saya!” Dia menjerit sedikit kuat.

Atiqh yang berada di ruang tamu, sedang tekun menaip mendongakkan kepalanya.

“Kenapa encik?” Atiqah bertanya perlahan. Mengalihkan laptop dari pahanya. Meletakkan di atas meja kecil di sofa. Dia berjalan menuju ke dalam bilik bacaan.

“Saya tidak tahu Iqa, saya tertekan butang… alih-alih semuanya hilang!”

Atiqah ketawa kecil mendengarnya. Dia menekan mause dan tidak lama kemudian ayat yang ditaip muncul semula.

“Encik Nik tertekan delete ni, tak apa undo balik. Encik Nik kena save dulu sebelum buat. Hem.. tak apalah, saya savekan dan buat autosave setiap dua minit. Kemudian back-up file. Kadangkala perkara macam ni memang menyakitkan hati. Kita tengah rush, tiba-tiba hilang.”

Nik Arif tersenyum mendengar penerangan Atiqah yang begitu tenang.

“Hampir dua page? Cepat juga Encik Nik menaip!” Atiqah berkata perlahan tetapi dia sudah hilang di balik pintu.

Nik Arif mengetap bibirnya. Encik Nik, Encik Nik… meluat dia mendengarnya. Dia cuma tuan rumah. Atiqah memanggil dia seperti dia ketua pada Atiqah. Beberapa minit kemudian Atiqah muncul di muka pintu.

“Ada lagi yang saya boleh bantu? Dah habis!”

Nik Arif merenung Atiqah. Cepat sungguh gadis itu bekerja. Lapan muka satu jam? Dia meneguk air liurnya. Pahit.

“Cepat Iqa taip?” Nik Arif bersuara perlahan.

Atiqah mengukir senyum.

“Saya kerani Encik Nik, kalau tak cepat.. tak layak jadi kerani.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif menjeling Atiqah sekilas. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan suara Atiqah.

“Kenapa Iqa panggil saya encik?” Terpacul kata-kata itu dari mulut Nik Arif. Dia melihat ada kejutan di wajah Atiqah namun kemudian Atiqah mempamerkan senyumnya semula.

“Sebab encik belum dapat Datuk atau Tan Sri… Kalau tak saya panggil dengan panggilan tu.”

Dia mahu ketawa mendengar kata-kata tersebut. Pandai betul Atiqah menjawab namun ditahan di dalam hati.

“Panggil saya Nik aja Iqa, kalaupun Iqa tak mahu atau malu nak panggil saya abang.” Dia melihat Atiqah ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.

“Encik tuan rumah saya. Lagipun saya ni kerani Encik Nik, dah selalu sangat panggil pegawai-pegawai saya encik. Dah terbiasa. Lagipun Encik Nik pun pegawai jugakan?” Rendah suara Atiqah.

Nik Arif mahu berkata sesuatu tetapi Atiqah sudah meletakkan kertas yang sudah ditaionya di sebelah Nik arif.

“Encik Nik check apa yang saya taip, biar saya habiskan menaip.”

Nik Arif bangun perlahan-lahan sambil mengambil kertas yang berada di sebelahnya. Dia kemudian duduk di kerusi tidak jauh dari Atiqah. Membaca perlahan kertas yang baru ditaip oleh Atiqah. Dia mengerutkan dahinya. Banyak perkataan yang telah Atiqah betulkan.

“Lesen dalam bahasa Inggeris, licence atau license Iqa.” Nik Arif bertanya.

Atiqah yang sudah memulakan taipannya memberhentikan jari-jemarinya.

“Dalam konteks ayat encik tu, saya rasa licence.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif mengerutkan dahinya.

“Bukan l.i.c.e.n.s.e?” Tanya Nik Arif. Dia merenung Atiqah yang sudah meneruskan taipannya.

“Bukan, licence noun Encik Nik, document. Benda. Contoh Assestment Tax Licence. License verb perbuatan atau kata kerja. Contoh License to kill.”

Nik Arif ketawa mendengar kata-kata Atiqah. Dia kemudian meletakkan kertas tersebut di atas pahanya.

“Iqa kata, Iqa tak tahu bahasa Inggeris.”

Dia tidak mendengar apa-apa jawapan daripada Atiqah. Dia melihat Atiqah pura-pura tidak mendengar.

“Iqa kerja di mana?”

Nik Arif terus-terusan merenung Atiqah yang egitu tekun merenung komputer. Jari-jemarinya bergerak pantas. Sesekali mata Nik Arif jatuh di jari Atiqah yang runcing.

“Syarikat kecil aja Encik Nik. Sebagai kerani.” Atiqah berkata perlahan.

Masuk ini sudah empat kali Atiqah menyebut perkataan kerani. Adakah Atiqah menyindir dia kerana selalu mengatakan Atiqah hanya kerani? Namun dia tidak pernah mengata di hadapan Atiqah. Dia selalu mengatakannya di hadapan emaknya. Adakah emaknya memberitahu apa yang pernah diperkatakannya pada Atiqah?

“Tapi Iqa tahu pasal komputer dan menaip begitu cepat sekali?” Nik Arif berkata bodoh.

“Sayakan kerani, mesti pandai menaip. Lepas tu sayakan menghadap kompuer setiap hari. Jadi sudah tentu saya tahu pasal komputer. Tak ada yang peliknya encik.” Atiqah berkata perlahan. Dia tidak tahu kenapa begitu ramah Nik Arif padanya mala mini. Adakah kerana merasa terhutang budi sebentar tadi?

“Iqa, mak cik ada buat air di ruang tamu. Nanti Iqa minum tau. Mak cik mengantuk dah ni. Awak tu tak sihat. Jangan tolong sangat anak mak cik ni!” Hajah Mimah muncul di muka pintu.

Iqa tersenyum manis. Dia menganggukkan kepalanya.

“Selamat malam mak cik.” Atiqah berkata lembut. Dia merenung Hajah Mimah yang hilang di muka pintu. Hajah Mimah macam mamanya. Dia mengeluh perlahan.

Jam dua belas tengah malam segalanya selesai. Atiqah membantu Nik Arif menyusun kertas kerja yang disediakan bersama dokumen yang lain.

“Terima kasih Iqa erana membantu saya. Kita minum dulu. Air yang emak buat dah sejuk dah.” Nik Arif mempelawa Atiqah.

Atiqah mengambil unit sistem yang berada di bawah meja.

“Saya bawa balik unit sistem nilah Encik Nik. Dalam diskette ni ada file yang aru kita buat tadi. Kalau ada apa-apa hal, encik suruh mak cik telefon saya.” Atiqah melangkah keluar dari bilik bacaan Nik Arif.”

Nik Arif mengekorinya.

“Bagilah nombor telefon pejabat Iqa pada saya. Apa-apa hal esok senang saya contact Iqa.” Nik Arif berkata lembut.

Atiqah sudah duduk di sofa ruang tamu, mengambil air Milo yang sudah sejuk di cawan. Diteguknya seteguk dan kemudian dia bangun.

“Saya ada di rumah esok. Kalau hari lain, mak cik tahu nombor telefon saya.” Atiqah sudah berada di muka pintu.

“Tak minum dulu Iqa?”

Nik Arif sudah mengekori Atiqah di pintu.

“Saya dah minum tadi. Tak apalah Encik Nik, selamat malam.”

Nik Arif tidak sempat bercakap apabila Atiqah sudah hilang dalam gelap malam. Dia menggigit bibirnya separuh kesal.





Rabu Tanpa Kata 5.12.2012

MasterChef Habis Dah... Tapi Mereka Ni



BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff