my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki

BAHAGIAN 26


SEDARI tadi Dahlia melihat Atiqah termenung sahaja. Hairan dia melihat penyakit baru kawannya itu. Hendak dikatakan Atiqah mempunyai masalah dengan ayahnya, tidak mungkin. Atiqah sudah menerima tawaran untuk bekerja dengan Datuk Marzuki. Gadis itu nampaknya sudah membuat keputusan sebulat hati. Sudah beberapa kali Atiqah berulang-alik ke pejabat Datuk Marzuki.

“Apa kena dengan kau ni, Iqa? Sejak datang tadi termenung. Kalau nak termenung, tak payah datang rumah aku. Kau ada masalah ke?”

Atiqah mengeluh perlahan. Direnungnya Dahlia sekilas. Kalau dia memberitahu Dahlia apa yang telah berlaku pada dirinya sekarang, tentu Dahlia akan ketawakannya.

“Aku nak pindah rumahlah Dahlia.” Lambat-lambat ayat itu meluncur keluar dari bibirnya.

Pelik Dahlia mendengarnya. Atiqah mahu pindah rumah? Apa kena dengan gadis itu? Sebelum ini Atiqah berkali-kali mengatakan seronok duduk dengan Hajah Mimah.

“Hai… tak pasal-pasal nak pindah rumah kenapa, nak balik ke rumah ayah kau ke? Yalah… sekarang orang dah kerja syarikat besar, rumah pun nak kena besarlah. Jangan-jangan rumah aku nanti pun kau tak nak datang.” Dahlia mengusik.

Atiqah tetap tekun membelek-belek buku kanak-kanak di atas katil Dahlia. Sejak akhir-akhir ini dia malas betul mahu pulang ke rumah. Malas mahu berjumpa dengan Nik Arif dan yang paling dia tidak suka ialah mendengar sindiran demi sindiran dari June.

“Bukan macam tulah Dahlia, aku sebenarnya ada masalah.” Atiqah berkata perlahan. Dahlia merenung wajah Atiqah lama. Sahabatnya itu seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu.

“Masalah dengan June?” Dahlia sendiri tidak sukakan June. Gadis itu terlalu suka ambil tahu hal orang dan besar diri.

Atiqah menggeleng. Walaupun dia sering disindir June, itu tidak menjadi kudis padanya. Namun perubahan sikap Nik Arif akhir-akhir ini begitu menyesakkan nafasnya. Setiap pergerakannya mahu diketahui, ke mana sahaja dia pergi, lelaki itu sering menjejakinya dan yang paling ditakutinya ialah jika lelaki itu tahu siapa dirinya yang sebenar.

“Habis masalah apa?” Dahlia cuba memancing bicara Atiqah.

“Anak Mak Cik Mimah…” Akhirnya Atiqah berterus terang juga. Kalau tidak dengan Dahlia, dengan siapa lagi dia mahu berkongsi masalah.

“Nik Arif yang mengata kau tu?”

Atiqah mengangguk. Dia pernah memberitahu Dahlia akan apa yang Nik Arif katakan tentang dirinya.

“Kenapa dengan lelaki tu, dia halau kau keluar?”

Atiqah merenung muka Dahlia. Tentu Dahlia akan ketawa setelah mendengar ceriitanya nanti.

“Taklah.”

“Habis kalau tak, kenapa? Dia kacau kau?”

Lama Atiqah diam, mengumpul kekuatan untuk menuturkan kata-kata.

“Susah aku nak cakap Dahlia. Aku ada keluar beberapa kali dengan dia.”

Dahlia tersenyum kemudian ketawa.

“Kau tak pernah cerita pun kau keluar dengan dia.” Usik Dahlia.

Atiqah merenung Dahlia sekilas kemudian berbaring di katil Dahlia. Belakang tangannya diletakkan di dahinya.

“Kau dah jatuh cinta dengannya?” Usik Dahlia apabila melihat Atiqah tidak menjawab.

Jatuh cinta? Huh… istilah tersebut tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Dia sudah terlalu sakit dengan apa yang ayahnya lakukan kepada mamanya. Sampai sekarang dia masih teringat-ingat bagaimana ayahnya bermukah dengan perempuan lain. Atiqah menggeleng.

“Habis tu kenapa?” Dahlia masih mendesak mahukan jawapannya.

Atiqah masih diam, meraup mukanya beberapa kali.

“Iqa ceritalah, kalau tak mau cerita tadi baik tak payah cerita. Payahlah kau ni!” Dahlia menarik tangan Atiqah.

Mahu dengan tidak Atiqah bangun, kemudian mengeluh perlahan.

“Aku keluar dengan dia cuma masa main squash aja. Kemudian dia hantar aku ke airport sebelum aku ke New Zealand. Tup-tup bila aku balik, dia telefon aku, dia cakap dia dah jatuh cinta kat aku. Gila!” Atiqah mengetap bibirnya, menjeling Dahlia yang sudah ketawa.

“Jatuh cinta dengan kau?” Tanya Dahlia.

Atiqah mengangguk.

Dahlia ketawa besar.

“Aku tahu dia tentu dah jatuh cinta dengan kau. Bravo Iqa, bravo. Gadis macam kau memang patut ada yang jatuh cinta. Wow! Itu satu petanda yang baik. Atiqah Datuk Marzuki bakal dipinang jejaka tampan!” Sakat Dahlia.

Atiqah sakit hati mendengar tawa Dahlia. Sesuatu yang sudah dijangkakannya.

“Kau gila Dahlia! Baru beberapa kali aja dia keluar dengan aku, dah boleh jatuh cinta. Jenis lelaki apa macam tu?” Sanggah Atiqah geram.

“Apalah kau ni Iqa, orang boleh jatuh cinta dalam satu saat. Ini pula berbulan-bulan. Hei, aku ingat kau ni bijak, rupanya tak. Buang masa aja buat tu buat ni, belajar tu belajar ni tapi hukum dunia pun tak faham.” Ejek Dahlia.

Atiqah mencubit tangan Dahlia. Geram.

“Aku serius Dahlia, aku tak boleh terima dia..”

“Hai kenapa, kau nak tunggu Si Faizal tu ke? Eh, kau dah lupa ke Iqa, Tuan Ahmad tak nak bermenantukan kerani macam kau!” Dahlia mengusik. Nakal.

Atiqah mngerutkan dahinya. Faizal? Dia tidak pernah cintakan lelaki itu dan dia akan pastikan yang dia tidak akan jatuh cinta dengan lelaki itu. Lagipun Faizal akan bertunang tidak lama lagi.

“Aku dengan Faizal tak ada apa-apalah. Mengarutlah kau ni…” Atiqah mencapai air yang dibuat oleh Dahlia sebentar tadi, meneguk perlahan.

“Kalau tak ada apa-apa, apa salahnya. Terima ajalah.”

Atiqah mengeluh lagi. Direnungnya wajah Dahlia lama.

“Aku gelilah dengan dia tu.” Atiqah sendiri terperanjat dengan kata-kata yang keluar dari bibirnya sendiri.

“Hai… dia tukan boleh tahan, aku ada nampak sekali. Apa yang kau geli sangat dengan dia tu? Tak ada pula kurangnya. Nampak kemas dan bersih. Handsome!”

Atiqah terdiam sebentar. Sebenarnya bukan perkataan itu yang mahu diucapkannya. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia teringat bagaimana Nik Arif mengucup pipi dan jarinya. Sampai sekarang dia tidak dapat menerima perbuatan Nik Arif itu.

“Dia ingat kau ni anak patung, keluar sekali dua dah boleh peluk, dah boleh cium.” Atiqah merengus geram.

Dahlia tersenyum. Dia merenung muka Atiqah kemudian ketawa mengusik. “Aku pun selalu cium pipi kau, apa masalahnya? Aku yang perempuan pun geram dengan pipi kau, inikan pula dia!”

Gila ke Dahlia ni, fikir Atiqah. Dahlia dan Nik Arif dua manusia yang berbeza. Dahlia perempuan, dia tidak kisah tetapi Nik Arif lelaki. Mereka bukan muhrim. Walaupun ayahnya tidak pernah mengajar dan membimbingnya tentang agama tetapi dia masih tahu hukum.

“Dahlah… cakap dengan kau menyakitkan hati aja. Baik aku tak payah cerita dengan kau. Malas aku.” Atiqah merengus geram.

Dahlia memegang tangan Atiqah, masih lagi tersenyum-senyum.

“Hai, dah ada orang jatuh cinta dengan awak, kira okeylah tu. Alah lelaki… bila dah jatuh cinta, bila dah sayang, tentu nak luahkan perasaannya. Apa salahnya… bukan luak pun!”

Dahlia memang sahabat yang memahami namun dalam hal ini Atiqah tidak faham kenapa Dahlia tidak boleh memahaminya.

“Kepala otak kau! Kau suka kalau orang pegang kau, orang duduk rapat dekat kau, pegang tangan kau, cium kau dan merengek entah apa-apa? Geli aku! Macam aku ni anak patung yang tak ada perasaan.” Atiqah menggoyangkan bahunya beberapa kali. Geli!!!

“Hai orang dah sayang, dah cinta, apa salahnya. Terima hakikat Iqa, satu masa nanti kau akan kahwin. Ada orang yang akan peluk kau, cium kau dan merengek lebih daripada tu. Apa masalahnya?”

Huh! Atiqah menutup muka dengan telapak tangannya. Tidak, dia bukan perempuan jenis itu. Perempuan yang minta dibelai. Sepanjang dia berkawan dengan Faizal walaupun Faizal selalu memanggil dia dengan perkataan sayang tetapi Faizal tidak pernah menyentuhnya. Berlainan dengan Nik Arif yang baru sekali dua keluar dengannya, sudah berani mengatakan cinta, sayang dan membelainya. Itu yang tidak boleh diterimanya.

“Aku langusng tak cintakan dia, Dahlia.” Atiqah mempertahankan pendiriannya.

Dahlia menggeleng.

“Sampai bila kau nak tolak cinta lelaki? Dari sekolah kau tolak setiap lelaki yang datang, sampai dah tua bangka macam sekarang pun kau nak lari! Kau dah dewasa Iqa, dah besar, dah patut berumah tangga. Sudah sampai masanya kau dicintai dan mencintai.” Lembut Dahlia menuturkan kata-kata.

“Pandailah kau cakap. Huh… aku tak mahu bincang hal ni lagi. Aku nak pergi tengok wayang. Kalau kau nak ikut, pergi siap. Kalau tak, aku balik sekarang.” Atiqah bangun.

Dahlia amat memahami perangai Atiqah. Terlalu keras kepala. Dalam beberapa minit mereka sudah berada di Tanjung Golden Village, KLCC.

“Aku nak tengok wayang marathonlah Dahlia. Tiga wayang sekali.” Atiqah berkata perlahan, separuh berbisik.

Dahlia mencebirkan bibirnya. “Habis… tak sembahyang Maghrib? Kau nak jadi apa?”

Atiqah ketawa sambil mengakat kening. “Aku cuti, tak apa.”

Dahlia membeliakkan matanya. “Habis aku, kau nak jadikan syaitan?”

Atiqah tersengih sambil melihat poster yang ada di situ.

Best juga ceritanya Dahlia, pelakon bagus ni, Sandra Bullock.” Atiqah berkata perlahan, separuh berbisik. Ada telapak tangan hinggap di bahunya. Dibiarkan. Dahlia memang selalu begitu.

“Dahlia, lepas tu ada cerita best lagi ni. Kita tengok dua wayanglah Dahlia.” Atiqah merasa tangan itu meramas-ramas bahunya. Atiqah menoleh ke belakang. Mahu sahaja dia menjerit apabila melihat Nik Arif berada di belakangnya. Dia merenung Dahlia yang tersengih-sengih di sebelahnya.

“Pandai… berapa wayang yang Iqa nak tengok? Patutlah kereta tak ada kat pumah. Rupa-rupanya berumah tangga dekat panggung wayang..”

Atiqah menelan air liurnya, menahan hati apabila Nik Arif sudah memegang tangannya. Macam mana dia boleh berjumpa dengan Nik Arif di situ, dia benar-benar hairan.

“Hah.. Nik dari mana?” Tanya Atiqah gugup. Dadanya berdebar-debar.

Nik Arif tersenyum merenung wajah Atiqah yang kelihatan serba salah. Tanpa mempedulikan Dahlia yang merenung kelakuan mereka berdua, Nik Arif mengusap-usap pipi Atiqah dengan hujung jarinya, lembut.

“Nik bosan duduk rumah. Lagipun Nik geram sebab Iqa keluar tak beritahu Nik. Itu pasal Nik keluar nak ubat hati. Just coincident, Iqa. Nik pun ingat nak tengok wayang.” Kata Nik Arif sambil tersenyum. Dari tadi dia melihat Atiqah dan Dahlia berbual. Mereka kelihatan begitu rapat.

“Dahlia, ni Nik Arif. Nik, ni Dahlia.” Atiqah memperkenalkan mereka berdua.

Nik Arif menyalami Dahlia.

Dahlia menjeling Atiqah sambil tersenyum-senyum.

“Nik rasa Nik Kenal. Pernah keluar di surat khabar pasal projek kanak-kanak istimewa bersama komputer.”

Dahlia ketawa mendengarnya. Mengangguk mengiakan tekaan Nik Arif.

“Berapa wayang yang Iqa nak tengok?” Nik Arif menyambung katanya kemudian.

Atiqah menggigit bibirnya, merenung Dahlia yang masih tersenyum-senyum. Tentu Dahlia mengutuk aku!

“Tak apalah, Nik belanja. Nik pergi beli tiket, Iqa tunggu sini… jangan ke mana-mana.”

Atiqah menepuk dahinya merenung Dahlia yang ketawa melihat kelakuannya.

Nik Arif sudah beratur di kaunter tiket.

“Celaka betul! Aku pergi mana-mana, ada aja lelaki tu. Ya Tuhanku, bagilah aku kesejahteraan.” Atiqah menggigit bibirnya geram sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya.

Handsomelah Iqa, kalau macam tu hari-hari pandang muka dia pun tak apa.”

Atiqah merenung muka Dahlia dan kemudian matanya merenung Nik Arif yang sedang berbaris membeli tiket. Lelaki itu melambai tangan padanya.

“Kepala otak kau, aku nak baliklah. Kau nak tengok wayang, kau tengoklah dengan dia.” Atiqah berpusing.

Dahlia secepat kilat menyambar tangan Atiqah.

“Kau jangan gila Iqa, jangan buat malu aku!” Dahlia memarahi Atiqah yang menggeleng beberapa kali. Dia tersengih pada Nik Arif yang sedang merenung mereka berdua.

“Hiss, tak mahu aku duduk sebelah dia nanti. Aku tak sanggup Dahlia… Tolonglah aku Dahlia!”

“Apa masalahnya, aku nampak dia okey aja. Dahlah… tengok ajalah.” Pujuk Dahlia.

“Okey, sekejap lagi kita masuk panggung. Nik beli tempat duduk tengah.” Nik Arif memegang tangan Atiqah dan kemudian tersenyum pada Dahlia.

“Pelik juga nama kamu berdua ni. Rupa pun sedikit lebih kurang.”

Dahlia tersenyum mendengar kata-kata Nik Arif. Lelaki itu nampak ramah. Dia menjeling pada Atiqah yang kelihatan kaku sambil menjuihkan bibirnya.

“Adik beradik, sepusat sepusing, bapa lain-lain, mama asing-asing.”

Nik Arif ketawa mendengar kata-kata Dahlia. Dia merenung wajah Atiqah.

Atiqah yang sedang menjuihkan bibirnya cepat-cepat tersenyum merenung Nik Arif yang merenungnya.

“Ni kenapa buat muka kartun ni?” Nik Arif menarik hidung Atiqah.

Atiqah tidak menjawab, pantas menolak tangan Nik Arif.

“Jomlah kita masuk panggung.” Tangan Nik Arif sudah melepaskan tangan Atiqah tetapi kali ini melingkarkan tangannya di pinggang Atiqah pula. Dahlia mahu sahaja ketawa melihat muka Atiqah yang kaku dan masam mencuka.

“Zakiah?” Terpacul kata-kata itu dari mulut Atiqah. Tidak jauh darinya, seorang perempuan sedang berpegangan tangan dengan seorang lelaki. Atiqah kenal perempuan tersebut walaupun tidak pernah berjumpa.

“Zakiah siapa?” Tanya Nik Arif yang terdengar bisikan Atiqah. Dia menjenguk ke sebelah tetapi dia tidak dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh Atiqah.

Dahlia mengerutkan dahinya, berpandangan dengan Atiqah. Merenung seorang perempuan yang memakai kaca mata hitam berdiri di sebelah seorang lelaki berbadan besar dan tegap.

“Kenapa ni?” Nik Arif menggoyang bahu Atiqah.

Atiqah tidak menjawab tetapi hatinya berbungkal geram.

1 comment:

Mrs Velentine said...

mak tiri iqa kan zakiah tue..lelaki tue sape

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff