my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki

BAHAGIAN 27


ATIQAH diperkenalkan kepada semua pengarah di syarikat Datuk Marzuki. Walaupun Atiqah mahu identitinya disembunyikan tetapi kebanyakan lembaga pengarah sudah tahu siapa dia yang sebenarnya. Mereka semua mengucapkan selamat datang kepadanya. Satu mesyuarat diadakan menyambut kedatangannya. Atiqah merasa sedikit gentar kerana kesemua lembaga pengarah lebih tua daripadanya dan tampak begitu berwibawa. Di dalam hati dia tertanya-tanya adakah dia mampu melakukannya.

Tengah hari itu pula dia dihantar ke Kilang Komputer Take 2020. Kebanyakan komputer yang dibuat dihantar keluar negara. Seperti yang diminta, dia akan mengendalikan kilang tersebut sebagai pengurus operasi. Dia akan mempuanyai dua pejabat, satu di Angkasa Holdings dan satu pejabat lagi di Kilang Take 2020.

“Macam mana Iqa, Iqa sukakan kerja ni?” Tanya Datuk Marzuki selepas Atiqah diperkenalkan kepada semua pekerja kilang.

Atiqah mendepangkan tangannya. Dia baru pertama kali ke situ dan tidak tahu apa perasaannya yang sebenar. Namun ketika melawat kilang tersebut sebentar tadi, dia merasa sedikit gerun. Harapan ayah padanya terlalu tinggi. Mampukah dia melaksanakannya?

Dia tidak menyangka, kilang kepunyaan ayahnya begitu besar. Dahulu dia tidak pernah ambil tahu perniagaan ayahnya. Dia selalu merasakan apa yang dilakukan ayahnya selama ini tidak pernah betul. Setiap kali wajah Datuk Marzuki keluar di akhbar, dia merasakan Datuk Marzuki sengaja mahu mencari nama. Namun akhirnya dia akur. Datuk Marzuki sebenarnya begitu bersungguh-sungguh di dalam perniagaannya. Malah kejayaan tersebut mampu meletakkan ayahnya sebaris sengan tokoh-tokoh korporat terkemuka.

“Iqa tak tahu ayah, rasa takut pun ada.” Atiqah berterus terang.

Datuk Marzuki ketawa. Bahu Atiqah ditepuknya lembut.

“Ayah akan bantu Iqa tapi ayah amat yakin dengan kebolehan Iqa.”

Sehari suntuk Atiqah berada di kilang, memeriksa fail kilang dan belajar bagaimana operasi dijalankan. Dia diberi seorang setiausaha. Pamela sudah agak berpengalaman dan banyak tahu tentang operasi.

Pukul enam petang, Atiqah mengadakan mesyuarat dengan semua ketua bahagian termasuk di bahagian production. Atiqah tahu pengambilalihan Kilang Take 2020 dari salah sebuah syarikat yang beribu pejabat di Taiwan itu bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Malam baru dia sampai ke rumah, itu pun membawa fail syarikat. Dia begitu tekun meneliti carta organisasi dan juga perjalanan kilang.

“Wah! Macam boslah kau.” June mengusik Atiqah yang sedari tadi begitu tekun membelek fail di tangan. “Bukan bos aja, kalah bos!” June mengejek lagi.

Atiqah tidak menjawab. Dia leka memerhatikan kertas-kertas yang berada di hadapannya.

“Hei, kau kerja kilang ke kerja pejabat?” Tanya June sambil membelek-belek fail Atiqah.

Atiqah masih membisu. Dia merenung June yang begitu wangi. Sebentar kemudian matanya kembali tertumpu ke failnya semula.

“Kau nak ke mana June?” Tanya Atiqah bena tak bena.

June duduk di birai katil Atiqah sambil menggaru-garu lengannya. “Tadi aku ingat nak ajak Nik Arif main boling tapi dia cakap dia tak ada masa. Sakit hati aku!”

Tersirap darah Atiqah. Namun Atiqah pura-pura tidak menunjukkan sebarang reaksi. Pura-pura meneliti fail di tangan.

“Ajak makan pun tak mahu!” June merengus lagi.

Atiqah hanya tersenyum. Dia kadangkala waswas dengan Nik Arif. Dia rasa sukar untuk mempercayai lelaki itu. Namun bila melihat tindak balasnya terhadap June, hatinya lega.

“Kaukan ramai boyfriend, bukan Nik Arif aja. Ajaklah orang lain.”

June sakit hati mendengar kata-kata Atiqah. Memang dia ramai teman lelaki tetapi kalau dia dapat menawan Nik Arif, itu lebih bagus. Nik Arif anak bongsu, mempunyai kerjaya yang baik dan harta emaknya pun banyak. Bolehlah dia menayang pada kawan-kawannya nanti, lebih-lebih lagi pada Atiqah. Dia akan dapat menyewa tanpa dikenakan apa-apa bayaran.

“Kau kerja dekat kilang ni jadi apa Iqa? Kalau setakat operator pengeluaran, masakan sampai kena baca macam ni?” June bertanya lagi.

“Aku bukan operator, aku bos.” Atiqah mengusik June yang ketawa kecil.

“Beranganlah Iqa, sampai ke tua pun kau tak akan merasa. Kau ada apa, SPM aja. Kau ingat dengan SPM kau boleh ke mana. Zaman sekarang Iqa, tak ada pelajaran tak akan ke mana. Pergilah belajar lagi. Paling kurang ambil sijil setiausaha macam aku. Dapat jadi setiausaha. Dapat tackle ramai pakwe tahu!”

Atiqah mahu ketawa mendengarnya namun ditahannya.

“Apa senyum-senyum? Kau ingat cakap aku ni salah ke. Kalau setakat SPM, penyabut tetamu pun susah nak dapat tahu tak. Sampai tualah kau jadi kerani kalau tak pun jadi operator pengeluaran.” Ejek June lagi.

Sabar ajalah, desis hati Atiqah.

“Susah ke jadi setiausaha June?” Atiqah pura-pura mencungkil rahsia.

June menggeleng.

“Mula-mula tu susahlah, lepas tu okey aja. Alah, kau buat manja-manja dengan bos, nanti kalau kau buat silap pun bos tak kisah dan tak marah.” June berkata sambil ketawa.

“Aku dulu bukan pandai sangat, pakai komputer pun tak tahu. Tapi aku buat manja-manja dengan bos, bos pun tak kisah kalau aku menaip lambat. Dia faham. Sampai sekarang pun aku bukan tahu sangat pakai komputer.”

Atiqah ketawa. June setahun lebih muda daripadanya namun perangai June macam perangai budak-budak.

“Rugi tak tahu guna komputer June.” Atiqah berkata sambil merenung wajah June yang sedang mencebirkan bibirnya.

“Apa yang ruginya. Apa ada pada komputer? Lainlah macam kau, susah payah pungut komputer buruk. Hasilnya bukan ada. Tak juga kau kaya dan pakai kereta canggih.” June mengejek lagi.

Malas Atiqah mahu mendengarnya.

“Hei, kawan aku Dahlia ada telefon?” Atiqah bertanya.

Belum sempat June menjawab, telefon di mejanya berbunyi. Dia mengangkat telefon tersebut sebelum June menjawabnya.

“Hai sayang.”

Atiqah menelan air liur merenung June yang seolah-olah mahu mendengar perbualannya.

“Encik nak bercakap dengan siapa? Encik salah nombor agaknya.”

Atiqah meletakkan telefon. Dia merenung June yang mengangkat kening. Dia berharap Nik Arif tidak menelefonnya sekarang.

“Dahlah Iqa, aku nak keluar. Ramai orang yang jadi bos tapi taklah macam kau. Operator berlagak macam bos. Buat penat aja check tu check ni.” June lantas keluar dari bilik Atiqah.

Atiqah menahan hati.

Atiqah menekan nombor telefon Nik Arif. Mak Cik Mimah yang mengangkatnya.

“Mak cik, Nik Arif ada?” Tanya Atiqah perlahan.

“Apa hal cari anak bujang mak cik malam-malam ni?” Usik Mak Cik Mimah.

Belum sempat Atiqah menjawab, terdengar suara Nik Arif di sebelah sana.

“Kenapa tadi Iqa?” Nik Arif bertanya perlahan sambil menjeling emaknya yang sedang menjahit baju kurung. Pada mulanya sakit juga hatinya sebentar tadi bila tiba-tiba sahaja Atiqah meletakkan telefon.

“June ada dalam bilik, takut dia dengar.”

Nik Arif merengus. Sampai bila Atiqah mahu merahsiakan perhubungan mereka berdua daripada pengetahuan June. Dia benar-benar pasti yang hatinya untuk Atiqah, bukan orang lain.

:Kerja macam mana, okey sayang?”

Hajah Mimah yang sedang menjahit mendongak, dia rasa dia tidak salah dengar. Nik Arif menyebut perkataan sayang? Hiss… tak mungkin! Nik Arif tidak pernah sukakan Atiqah namun cara Nik Arif bercakap dengan Atiqah macam ada yang tidak kena. Dia melihat anak bujangnya itu tersenyum dan kadangkala ketawa. Cakapnya begitu perlahan. Ada kalanya pula tidak kedengaran langsung. Direnung Nik Arif yang tersenyum-senyum. Pelik!

“Nik, lepas cakap dengan Iqa, bagi mak cakap pula.” Hajah Mimah meninggikan suaranya.

Nik Arif yang sedang tersenyum mendengar celoteh Atiqah mengangkat dahinya merenung Hajah Mimah.

“Jangan letak telefon tu. Lepas ni emak nak cakap dengan dia pula.” Ulang Hajah Mimah sekali lagi.

Nik Arif mengangguk.

“Okey sayang, emak mertua sayang nak cakap.”

Nik Arif berkata perlahan sambil menyerahkan gagang telefon pada Hajah Mimah.

Hajah Mimah merenung anaknya yang tersenyum-senyum. Peliknya kian beraja.

2 comments:

Kniedaz said...

alamak...hajah mimah dah pelik dah tu..huhu

Mrs Velentine said...

alolo sweetnya

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff