my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki

BAHAGIAN 29


“SAYA bercadang untuk menggunakan perkhidmatan syarikat awak untuk menghantar komputer syarikat kami ke Arab Saudi dan beberapa negara Timur Tengah. Apa pendapat awak?” Datuk Marzuki bertanya pada Nik Arif yang sedang menikmati makanannya.

“Saya mengalu-alukan Datuk. Lagipun baru-baru ini syarikat saya ada membuat perjanjian dengan syarikat perkapalan antarabangsa mengenai laluan terbaru. Nampaknya perkembangan terkini amat menggalakkan. Saya harap kita boleh bekerjasama nanti.”

Datuk Marzuki mengangguk. Sejak Nik Arif bersusah payah mencari barangnya yang hilang, dia rasa anak muda itu boleh dipercayai. Kerjanya begitu tekun dan segala jaminan yang diberi begitu meyakinkan.

“Dah lama awak bekerja dengan BUMI Shipping ni?” Tanya Datuk Marzuki.

Nik Arif mengangguk. “Lama juga Datuk, tiga tahun lepas syarikat saya hantar saya ke overseas belajar sistem pelabuhan dunia. Ada bon dengan syarikat untuk beberapa tahun.”

Datuk Marzuki mendengar dengan penuh minat.

“Awak dah kahwin?”

Nik Arif ketawa kecil. Pagi tadi Datuk Marzuki menelefonnya mahu berjumpa dan mengajaknya keluar makan. Ketika itu dia dalam perjalanan ke Westport, namun kerana tahu akan mendapat sesuatu yang berharga hari itu, dia pergi juga berjumpa dengan Datuk Marzuki.

“Belum? Hai… nak tunggu sampai bila?” Tanya Datuk Marzuki apabila melihat gelengan Nik Arif.

“Rupa ada, pangkat ada. Awak tunggu siapa?” Usik Datuk Marzuki lagi.

Nik Arif tersengih. Dia merenung Datuk Marzuki. Walaupun lelaki itu sudah berusia lima puluhan tetapi masih tegap dan Nampak muda.

“Perempuan ramai sekarang Nik Arif… saya ada seorang anak. Kalau awak mahu, saya boleh kenalkan dengan anak saya.”

Nik Arif tersentak mendengarnya. Dia tiba-tiba teringatkan Atiqah. Walau bagaimana kedudukan Atiqah sekalipun, dia tahu hatinya sudah tetap untuk gadis itu. Gadis yang bersahaja tetapi baik dan memikat. Gadis yang selalu merendah diri tetapi sayangkan emaknya.

“Anak saya tu pelik sikit. Kenapa dia tak mahu berkahwin, saya pun tak tahu.” Datuk Marzuki mengeluh.

Nik Arif mahu ketawa sahaja mendengarnya. Kalau melihat pada perangai Datuk Marzuki, tentu anaknya pun sedikit lebih kurang. Walaupun dia suka dengan peluang yang diberi oleh Datuk Marzuki tetapi tidak semestinya dia setuju untuk menjadi menantu lelaki itu. Masakan begitu mudah!

“Orang muda sekarang apa yang ditunggu entah?” Datuk Marzuki menggumam kesal.

“Awak dah ada kekasih?”

Spontan Nik Arif mengangguk. Tersenyum.

“Oh, baguslah macam tu. Bila nak kahwin?” Datuk Marzuki bertanya lagi.

Nik Arif ketawa kecil. Kalau diikutkan hatinya, bila-bila masa sahaja dia mahu berkhwin. Namun Atiqah nampaknya buat-buat tidak mengerti. Dia sahaja yang tergila-gilakan gadis itu. Memang dia tidak pernah merasakan apa yang dirasainya sekarang.

“Ketawa pula dia.” Usik Datuk Marzuki.

Nik Arif merenung Datuk Marzuki. Datuk Marzuki tidaklah seteruk yang disangka. Nampak baik dan lembut. Patutlah ramai perempuan jatuh cinta dengan lelaki tersebut. Nik Arif tidak hairan kalau Datuk Marzuki mempunyai ramai isteri. Sudahlah kaya, baik pula tu!

“Kalau ada jodoh kahwin, Datuk.” Nik Arif menjawab perlahan.

“IQA ada di sini ke?” Tanya Datuk Marzuki kepada Mimi ketika dia sampai di pejabat.

“Rasanya ada Datuk, tadi saya nampak dia di akaun. Nanti saya cuba cari dia.”

Datuk Marzuki mengangguk. Atiqah lebih banyak menghabiskan masa di kilang sekarang ni. Sebagai pengurus kilang, memang tempat Atiqah di situ. Gadis itu kadangkala balik hampir lewat malam. Belajar. Datuk Marzuki selalu berdoa agar dia dapat menggembirakan Atiqah sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Dalam beberapa minit Atiqah sudah menghadap ayahnya. Wajah gadis itu kelihatan riang.

“Apa hal ayah?” Tanya Atiqah dengan senyuman menguntum di bibir. Direnungnya wajah Datuk Marzuki.

Datuk Marzuki menegakkan badannya. Anaknya itu tidak lama lagi akan mencecah usia tiga puluhan. Masih tidak berkahwin, itu yang menjadi tanda tanya dalam dirinya.

“Iqa, buat apa kat sini?” Tanya Datuk Marzuki.

“Ada meeting dengan Encik Najib pasal peruntukan Kilang Take 2020. Susah kalau akaun kilang tu masih dipegang oleh Angkasa Holdings.” Atiqah mengeluh.

“Kilang tu baru lagi. Sebelum Iqa jadi pengurus di sana, Mr.Vellu acting manager pun dari Angkasa Holdings juga. Mungkin tahun depan Angkasa Holdings akan get their own right. But you must prove to me, you can work on it!” Datuk Marzuki berkata sambil ketawa.

“Insya-Allah ayah, mungkin setahun masih terlalu singkat tapi Iqa akan berusaha.” Janji Atiqah.

Datuk Marzuki tersenyum. Dia merasa lega sekarang. Kalau dia mati nanti, dia lega hartanya akan diurus baik oleh anak tunggalnya itu.

“Ayah nak bagi Iqa one job. Ayah harap Iqa dapat laksanakan.”

Atiqah mengerutkan dahinya. Dia tidak faham maksud kata-kata Datuk Marzuki. Selama ini Datuk Marzuki menyuruh dia meneliti perjalanan syarikat di samping membantu menjaga bahagian pemasaran.

“Ayah nak kamu uruskan penghantaran komputer ke Rusia. Kita akan menggunakan perkhidmatan BUMI Shipping atau BUS. Iqa tahu kita dapat tender untuk bekalkan komputer ke Arab Saudikan?” Tanya Datuk Marzuki.

Atiqah mengangguk.

“Tapi ayahkan dah bagi Encik Rahman kendalikan.Nanti kecil pula hati dia.” Atiqah berkata lembut.

“Kontrak tu ayik tertangguh. Ayah mahu Iqa menelitinya dan ayah akan beri Iqa kuasa untuk menjaga inventori penghantaran dan sebarang pembayan. Ayah mahu Iqa belajar dari sekarang. Sebagai pengurus kilang, ayah mahu Iqa ambil tahu semua perkara dari sekarang.” Datuk Marzuki berkata lembut penuh harapan.

“Ayah yakin Iqa, ayah sedar satu masa nanti ia akan menjadi milik Iqa juga. Ayah mahu Iqa belajar dan inilah masanya Iqa menunjukkan kebolehan Iqa.”

Atiqah tersenyum mendengarnya namun hatinya merasa bimbang.

“Cuma satu aja. Lepas balik dari Arab Saudi nanti ayah mahu Iqa tukar kereta. Jangan buat malu ayah, Iqa.”

Atiqah ketawa mendengar kata-kata ayahnya.

“Ayah dah suruh Mimi cari beberapa quotation dan akan bagi dekat Iqa untuk Iqa teliti.” Sambung Datuk Marzuki lagi. Tersengih-sengih Atiqah mendengarnya. Di kilangnya ramai yang memandang dia dengan pendangan pelik. Dia datang ke kilang dengan berkereta buruk sebagai helah untuk menutup siapa dirinya yang sebenar namun ramai sudah tahu bahawa dia anak Datuk Marzuki.

“Hmmm… BUMI Shipping akan hantar proposal schedule. Ayah mahu Iqa menelitinya dan kalau boleh dalam masa dua bulan segalanya mesti selesai. Ayah mahu Iqa ke Arab Saudi minggu depan berbincang dengan Mr.Mahmud. Jangan bimbang, dia tahu berbahasa Inggeris. Kalau Iqa perlukan teman, mungkin ayah boleh meminta Mimi mengikut kamu.”

Atiqah menimbang-nimbang di dalam hati. Adakah dia yakin dia boleh melakukannya? Perkara tersebut terlalu baru baginya. Kalau dahulu dia hanya membuat kerja-kerja di pejabat dan melayan pelanggan, sekarang bekerja dengan ayahnya, dia terpaksa melakukan sesuatu yang tidak pernah diduganya. Banyak perkara yang hendak dikendalikan. Terlalu besar namun dia yakin berkat kepercayaan ayahnya dia akan sedaya upaya melakukannya. Ketika Atiqah keluar, Datuk Marzuki menelefon Mimi.

“Mimi call pejabat peguam. Ada yang mahu saya bincangkan.”

Datuk Marzuki menyandar ke kerusinya sambil memejamkan mata.

2 comments:

Kniedaz said...

Iqa dah bertambah mesra ngan ayah dia la...xsabar nak baca lagi ^_^

Mrs Velentine said...

iqa dah baik dgn ayahnya..yeah..

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff