my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki

BAHAGIAN 23


DATUK MARZUKI tersenyum menerima kedatangan Atiqah hari itu. Dia benar-benar gembira kerana Atiqah mengotakan apa yang dijanjinya. Sejak Atiqah ke New Zealand, dia sedikit bimbang. Anaknya itu bukan boleh dijangka. Hari ini bersetuju, esok boleh bertukar fikiran. Itu yang ditakutinya.

“Mama Iqa sihat?” Tanya Datuk Marzuki pada Atiqah.

Atiqah mengangguk. Direnung wajah ayahnya, belum sempat dia duduk sudah ditanya begitu. Ayahnya nampak macam tidak sabar-sabar. Entahlah… dia sendiri tidak dapat mentafsir apa maksud sebenar ayahnya.

“Mama suka dengan barang yang ayah kirimkan?” Tanya Datuk Marzuki tanpa sabar.

Atiqah merenung wajah ayahnya. Dia mengangkat kening.

“Ayah ni… kot ya pun, bagilah Iqa duduk dulu…” Atiqah berkata perlahan sambil ketawa. Dia teringat bagaimana mamanya enggan menerima hadiah tersebut pada mulanya.

“Mama tak komen apa-apa?” Tanya Datuk Marzuki lagi.

Atiqah merenung wajah ayahnya. Menggeleng.

“Nak komen apa, dia ambil barang tu kemudian suruh Iqa ucapkan terima kasih pada ayah. Lepas tu mama simpan. Mungkin mama sayang sebab barang tu nampak mahal. Mama bukan biasa pakai barang mahal macam tu.”

Datuk Marzuki menelan air liurnya Dia tidak tahu sama ada Atiqah menyindirnya atau berkata dari hati yang ikhlas.

“Mama Iqa masih di Queenstown?” Tanya Datuk Marzuki lagi.

Atiqah mengangguk. Direnung wajah ayahnya. “Mana ayah tahu mama ada di Queenstown?” Tanya Atiqah. Dia mendengar ayahnya ketawa.

“Iqa yang beritahu ayah yang mama di Queenstown mengusahakan motel apartmen di sana dengan kawannya. Iqa lupa?” Datuk Marzuki berkata perlahan, cuba menutup kesalahannya. Perkara tersebut didapati dari orang lain. Bukan Atiqah.

Atiqah terkebil-kebil diam. Namun dia tidak bertanya lagi. Dia tunduk berfikir. Setahunya dia tidak pernah memberitahu perkara tersebut kepada ayahnya. Mungkin dia terlupa. Maklumlah, sejak akhir-akhir ni banyak perkara yang berada di fikirannya.

“Bagaimana cuti?” Tanya Datuk Marzuki.

“Biasa aja tapi happy jugalah ayah, yalah jumpa mama. Dah lama tak jumpa mama. Kasihan mama duduk sorang-sorang di negara orang. Iqa suruh mama kahwin aja, mama tak mahu.” Atiqah ketawa sambil menarik kerusi dan duduk di hadapan datuk Marzuki.

Dia dapat melihat wajah Datuk Marzuki berubah. Hubungan mama dan ayahnya telah lama putus dan Atiqah terpaksa menerima takdir yang datang.

“Mama tu macam dah serik nak kahwin. Mama ramai juga kawan lelaki mat salih. Bestkan ayah kalau dapat bapa tiri mat salih.” Atiqah mengusik ayahnya. Dia suka melihat hati ayahnya teruja.

Datuk Marzuki kurang senang mendengar kata-kata anak tunggalnya itu. Atiqah selalu mencabar perasaannya.

“Ayah gembira Iqa datang juga. Ayah dah mula bimbang sebab ingat Iqa nak tinggal di New Zealand terus. Kalau Iqa buat macam tu, ayah benar-benar kecewa. Tapi Alhamdulillah, ayah merasa begitu gembira tengok Iqa muncul hari ni.”

Atiqah meneliti riak wajah ayahnya. Kedutan makin banyak di wajah tua itu. Ayahnya semakin hari semakin dimamah usia. Timbul simpati dihatinya.

“Macam mana? Bila nak mula kerja ni?” Tanya Datuk Marzuki.

Atiqah tersentak dari lamunan.

“Empat hari bulan ni ayah. Orang Cina kata empat tak bagus, sueh tapi bagi Iqa empat bagus. Goyang kaki.”

Datuk Marzuki ketawa mendengar kata-kata anaknya. Atiqah ada-ada sahaja. Sejak bertemu dengan Atiqah semula, dia mata bersyukur. Boleh bergurau dan ketawa.

“Betul Iqa tak mahu involve dalam perlancongan?” Datuk Marzuki meminta kepastian.

Atiqah menggeleng. Pasti.

Datuk Marzuki mengeluh perlahan. Direnungnya wajah Atiqah lama. Dia tidak boleh memaksa Atiqah belajar semua perkara. Tetapi dia berdoa suatu masa nanti Atiqah akan mengambil tahu hal-ehwal kesemua perniagaannya.

Tak mengapalah Iqa, Iqa cuba dulu dalam pengurusan kilang. Kemudian kalau Iqa nak involve dengan mana-mana syarikat yang lain, ayah akan benarkan. Ayah akan bantu Iqa bila-bila masa saja. Atiqahkan anak ayah. Segala yang ayah ada nanti akan ayah tinggalkan untuk Iqa. Ayah tak ada anak lain.”

Sayu Atiqah mendengar kata-kata Datuk Marzuki. Dia tersenyum kelat.

“Ayah tahu Iqa boleh lakukannya.” Sambung Datuk Marzuki lagi. Dia begitu yakin dengan kemampuan Atiqah.

Atiqah anak yang cerdik sedari kecil, cuma gadis itu agak suka melawan. Tetapi dia tidak menyalahkan Atiqah, sebalik dirinya sendiri. Kadangkala dia sendiri kesal apa yang telah berlaku. Namun segalanya tidak boleh ditarik balik. Sikapnya yang suka memaksa menyebabkan Atiqah jadi begitu. Atiqah membesar tanpa dapat menilai kasih sayang seorang ayah. Atiqah membesar bersama hati yang cekal dan pendirian yang teguh.

“Iqa tak ada kelulusan ayah, harap-harap Iqa dapat melakukannya.” Atiqah berkata tenang.

“Ayah dulu pun tak juga mempunyai kelulusan, Iqa. Ayah bermula dari menjadi agen perlancongan, kemudian melangkah setapak di bidang pembinaan dan akhirnya dapat membeli Kilang Take 2020.” Datuk Marzuki menerangkan.

Atiqah tersenyum pahit. BIla perniagaan ayahnya mula berkembang, ayah mula lupa diri dan kemudian menceraikan mamanya. Inilah harga yang perlu dibayar oleh mereka sekeluarga, fikir Atiqah.

“Sekarang banyak benda dah berubah, Iqa.” Datuk Marzuki mengeluh perlahan.

Atiqah tersenyum kelat. Berubah termasuk ayahnya.

“Kita juga berubah, ayah. Mama, ayah dan Iqa juga berubah.”

Datu Marzuki merenung Atiqah lama kemudian mengeluh lagi. Dia tahu Atiqah menyindirnya.

“Entahlah Iqa, susah nak cakap. Kadangkala kita tak sedar perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Kita hanya sedar bila diri kita keseorangan tanpa orang yang kita sayangi. Waktu itu segalanya dah terlambat..”

Atiqah mengerutkan dahinya. Lain macam sahaja bunyi cakap ayahnya akhir-akhir ini. Dia cuba mentafsirkan kata-kata tersebut.

“Oh ya Iqa, kalau Iqa perlukan apa-apa pertolongan, Iqa tanya Mimi. Mimi bukan aja P.A ayah tapi dia juga tahu segala-gaanya tentang syarikat ini. Mungkin dia boleh tolong. Nanti ayah panggilkan Mimi.” Datuk Marzuki menekan interkom di hadapannya.

Tidak lama kemudian muncul seorang wanita yang berusia awal empat puluhan di bilik tersebut.

Datuk Marzuki menyuruh Mimi duduk.

“Mimi… you kenalkan ni anak I?” Tanya Datuk Marzuki.

Mimi mengangguk sambil tersenyum mesra. Datuk Marzuki sudah memperkenalkan dia kepada Atiqah sebelum ini. Lagipun beberapa tahun lepas dia kerap berjumpa dengan Atiqah. Sebelum Atiqah berbalah dengan ayahnya, gadis itu selalu juga datang melawat Angkasa Holdings.

“Atiqah akan memulakan kerjanya pada empat hari bulan ni. Dai mungkin perlukan bantuan awak… Tolong tunjukkan apa yang dia tidak tahu.”

Mimi mengangguk. Memahami tugas yang dimaksudkan. Dia memegang tangan Atiqah erat.

“Saya nak minta profile syarikat dan latar belakang lembaga pengarah, boleh?” Pinta Atiqah pada Mimi.

Mimi mengangguk. Beberapa minit kemudian Atiqah sudah berada di bilik mesyuarat meneliti profile syarikat dan latar belakang lembaga pengarah.

Datuk Marzuki menekan interkom dan memanggil Baharom berjumpa dengannya. Beberapa minit kemudian Baharom sudah berada di hadapan Datuk Marzuki.

“Saya nak kamu tolong saya buat sesuatu Baharom.” Datuk Marzuki berterus terang akan niatnya.

“Tolong apa Datuk?” Baharom bertanya sambil tersenyum. Perlahan-lahan dia duduk di hadapan Datuk Marzuki.

“Saya mahu awak buat kaji selidik tentang motel apartmen di Gorge Road, Queenstown New Zealand.”

Berkerut dahi Encik Baharom mendengarnya.

“Kenapa pula Datuk! Kita nak beli ke?” Tanya Encik Baharom.

“Saya mahu awak teliti dari segi kewangan dan pemasaran. Lepas tu buat laporan secepat mungkin. Kalau boleh dalam minggu ni saya mahu awak pilih dua orang yang boleh berurusan dengan tuan punya motel. Bawa mereka berjumpa dengan saya secepat mungkin.”

Baharom mengerutkan dahinya. Aneh! Selama ini Datuk Marzuki lebih berminat mahu membeli hotel yang besar. Namun kali ni cuma motel apartmen sahaja? Dia tidak tahu apa yang mahu dirancang oleh Datuk Marzuki.

“Saya mahu kajian ini dibuat secara rahsia. Saya tak mahu sesiapa tahu. Kalau boleh, pilih orang secepat mungkin. Dua orang aja. Kita akan set up satu syarikat baru bagi mengawasi syarikat tu.”

Baharom mengangguk. Sebagai pekerja, dia hanya patuh dengan arahan ketuanya.

“Saya mahu kamu hantar orang ke sana. Menyiasat dan kemudian mengadakan satu kertas cadangan. Saya akan meneliti kertas cadangan tu nanti.” Datuk Marzuki membuat keputusan.

Encik Baharom tidak membantah. Kalau itu yang disuruh oleh ketuanya, dia akan pergi tanpa banyak soal.

“Dan saya rasa itulah saja caranya untuk membalas apa yang telah saya lakukan pada Zainab…” Berat keluhan yang kedengaran dari Datuk Marzuki.

Baharom rasa dia mula mengerti….

5 comments:

Kniedaz said...

tak sabar nak baca selanjutnya ^_^

NoEn said...

aik? tulis cerpen ke pulak...cepat sambung next episod

Aziela said...

Good development.

Mrs Velentine said...

wah dah baik ngan daddy dia ek

Ratu Hatiku said...

Sambungannya bila...?

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff