my nuff

Kucing Oh Pembela Kucing

Wahai Pembela Kucing, anda memang bagus sebab menyayangi haiwan kesayangan Rasulullah itu.
Anda belai mereka, bagi makan dan tempat tinggal.
Anda juga hebat sebab tau ajar kucing supaya tak buang najis dalam rumah.
Tapi anda tak berapa bijak sangat kalau kucing anda buang najis merata-rata tempat terutama di hadapan rumah jiran anda.
Huwaaaaaaa tolong lah.
Nak buat macam mana ni.
Ain memang tak ada bela kucing.
Bukan sebab tak suka kucing tapi takut tak mampu jaga dengan baik.
Tapi yang jadi masalahnya.
Kucing-kucing jiran ni suka sangat buang najis kat depan rumah.
Kalau tak perasan dah terlanggar najis tu, lepas tu bawak masuk rumah.
Aduh yai... Susahlah macam ni.
Tak bela kucing tapi rumah bau najis kucing sebab terlekat pada tayar kereta.
Nak ge tegur jiran tu, takut tersalah guna bahasa.
Dah bermasam muka pulak.
Huhuhu... Apa yang boleh buat.
SABAR JE LAH......

Kenapa Mama Marah Kalau Faiz Tak Belajar

Faiz mesti tertanya-tanya kenapa Mama marah bila Faiz tak belajar betul-betulkan. Mari sini Mama nak cerita...
Dulu masa Mama sekolah baju sekolah Mama hanya satu pasang. Pakai sampai hujung tahun.
Tapi Faiz, mama belikan 3 pasang, supaya anak Mama ni sentiasa nampak bersih dan kemas setiap hari. Barulah Faiz selesa bila belajar.

Dulu masa Mama sekolah, kasut sekolah Mama hanya satu pasang. Pakai sampai hujung tahun walaupun koyak.
Tapi Faiz, mama belikan 3 pasang, supaya kasut tu boleh berganti-ganti. Tak perlu pakai kasut yang sama sampai lusuh. Barulah anak Mama ni selesa bila belajar.

Dulu masa Mama sekolah, alat tulis Mama hanya cukup-cukup je. Kalau hilang Mama dah susah hati tak dapat belajar.
Tapi Faiz, setiap malam Mama pastikan alatulis dalam kotak pensel Faiz sentiasa cukup dan ada yang lain dalam beg sebagai simpanan kalau hilang. Kat rumah pun Mama dah siap alatulis Faiz secukupnya. Supaya Faiz dapat belajar dengan tenang tanpa sebarang tekanan pun.

Dulu masa Mama sekolah, duit belanja hanya RM0.30. Cukup untuk semangkuk mi dan secawan air.
Tapi Faiz, mama bagi RM4, sebab Faiz nak makan nasi ayam dan beli air 2 cawan. Barulah Faiz dapat belajar tanpa perut kosong.

Mama memang selalu marah Faiz kalau Faiz buat salah tapi marah Mama akan berganda kalau Faiz malas belajar. Mama akan pastikan Faiz tak ponteng sekolah walaupun Mama terpaksa merangkak untuk hantar Faiz ke sekolah......

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki

BAHAGIAN 24


ATIQAH mengetap bibir. Rasa bimbang menerpa dalam dirinya. Dia rasa tidak sanggup memandang Nik Arif. Kalau Nik Arif datang nanti, apa yang harus dicakapkannya pada lelaki itu? Dia menggigit bibir kuat. Sakit. Nik Arif ingin berjumpa dengannya di coffee-house Hotel Park Royal, tempat di mana dia, Nik Arif dan Hajah Mimah pernah berkunjung.

“Maaf Encik Nik, saya belum bersedia.” Dia bercakap dengan dirinya sendiri. Buntu.

“Hiss… apa yang aku nak cakap ni? Encik Nik… tak mungkin saya cintakan awak!”

Atiqah tidak tahu kenapa dia bersetuju sahaja apabila Nik Arif meminta dia menunggu di situ. Yang dia tahu, perkara ini mesti diselesaikan secepat mungkin. Sudah tiga hari dia cuba mengelak dan tiga hari itu jugalah Nik Arif menghantar raket squash dan bunga padanya. Pening kepala dia memikirkan perangai lelaki itu.

“Saya cuma kerani aja Encik Nik, saya tak layak untuk Encik Nik!” Atiqah bermain garpu yang berada di tangannya. Terasa janggalnya kata-kata tersebut. Kalau Nik Arif tahu siapa dia, tidak tahulah reaksi lelaki itu kelak.

“Saya belum bersedia, June sukakan awak. Hiss…”

Atiqah menggeleng. Tidak bersetuju dengan kata hatinya sendiri.

Dia terperanjat bila ada telapak tangan hinggap di bahunya.

“Hai! Lama Iqa tunggu?”

Atiqah mengangkat muka. Merenung Nik Arif yang tersengih merenungnya. Mahu dengan tidak dia terpaksa membalasnya dengan senyuman. Pahit. Dia benar-benar rasa janggal. Nik Arif duduk di sebelahnya.

Kau mesti relaks Iqa, kau mesti tenang. Atiqah berkata pada dirinya sendiri.

“Lama Iqa tunggu?” Nik Arif mengulangi pertanyaannya apabila tiada apa-apa jawapan daripada Atiqah.

“Baru aja, dalam lima minit.” Atiqah melihat jam di pergelangan tangannya.

Nik Arif merenung Atiqah. Dia melihat pipi Atiqah sudah merah. Mungkin gadis itu tidak senang dengan kedatangannya. Dia tahu Atiqah terperanjat dengan pengakuannya. Namun lebih baik dia memberitahu awal-awal daripada terus menunggu. Dia takut Atiqah terlepas ke tangan orang lain.

“Lama agaknya… muka pun dah merah. Marah? Nik bukan sengaja, jam kat luat tu!”

Atiqah hanya mampu menelan air liur apabila Nik Arif dengan beraninya mengusap pipinya. Lembut.

Atiqah menjarakkan kedudukan antara mereka. Tidak senang dengan kelakuan lelaki tersebut.

“Encik Nik nak jumpa saya buat apa?” Tanya Atiqah gugup. Dia mendengar Nik Arif ketawa.

“Kenapa nak berencik-encik dengan kekasih sendiri? Menyampah Nik dengar. Please jangan panggil Nik encik lagi Iqa.” Jari Nik Arif sudah mengusap lengan Atiqah dengan jari telunjuknya.

Atiqah tidak senang dengan kelakuan lelaki tersebut. Kekasih? Bila masa aku jadi kekasih dia? Dengus hati Atiqah. Nik Arif benar-benar sudah lain macam. Takut dia dibuatnya.

“Kenapa panggil saya ke sini?” Tanya Atiqah gugup. Dia dapat merasakan yang Nik Arif begitu rapat dengannya. Dia rimas. Dia tidak suka dengan kelakuan lelaki itu.

“Saja… Iqa macam larikan diri aja. Telefon tak, apa tak… Macam ni mana masalah nak selesai Iqa?”

Atiqah mengumpulkan kekuatan untuk berbicara. Dia kurang senang apabila Nik Arif tidak putus-puts merenungnya.

“Saya tak larikan diri, saya sibuk. Lagipun kita bukan ada masalah.” Atiqah mengeraskan suaranya. Dia terdengar Nik Arif ketawa lagi.

“Okey… kalau tak ada masalah, jom kita kahwin.”

Atiqah tersentak, dia berpaling merenung Nik Arif yang melawan renungannya. Lelaki itu kemudian tersenyum-senyum.

“Nik ingat senang nak kahwin?” Bentak Atiqah tiba-tiba. Dia tidak tahu apa sebenarnya muslihat lelaki itu.

Nik Arif tersenyum bila mendengar Atiqah tidak lagi memanggilnya encik. Lega dia mendengarnya. Itu petanda awal Atiqah sudah mula menerimanya.

“Apa susah… ijab kabul, lelaki, perempuan, wali, orang Islam.”

Atiqah meradang mendengar suara Nik Arif yang seolah-olah mengejeknya. Atiqah mengetap bibir. Hatinya sakit. Seorang pelayan datang mengambil pesanan. Dia mengambil kesempatan itu untuk menenangkan hatinya yang tiba-tiba dibakar kemarahan.

“Nik… berterus teranglah dengan saya, apa muslihat Nik sebenarnya. Kalau tak suka saya duduk di rumah sewa tu, tak suka tengok muka saya, saya boleh pindah.” Atiqah berkata keras tetapi nada suaranya masih lagi rendah.

“Memang Nik tak suka Iqa duduk di rumah sewa sekarang. Nik mahu Iqa pindah ke rumah Nik, pindah ke bilik Nik. Iqa… kenapa Iqa tak percaya dengan kata-kata Nik? Nik dah hantar bungan, Nik dah hantar raket. Orang tak pernah buat tahu tak?”

Atiqah mencebir, meluat.

“Kalau orang tak pernah buat, kenapa buat?” Ejek Atiqah.

“Habis… apa yang boleh Nik buat lagi? Iqa gilakan squash, Nik belikan Iqa raket supaya Iqa faham yang Nik memang sukakan Iqa, syokkan Iqa.” Nik Arif geram kerana kata-katanya dipermain-mainkan.

Atiqah menggoyang bahunya. Geli-geleman dia mendengar perkataan ‘syok’ daripada Nik Arif. Mahu ketawa pun ada. Cara Nik Arif bercinta macam-macam budak belasan tahun.

“Tadi marah-marah. Lepas tu senyum. Apa hal ni?” Nik Arif mengusik.

Atiqah terdiam. Dia tidak perasan yang dia tersenyum sebentar tadi.

“Nik serius Iqa, Nik sukakan Iqa. Sayangkan Iqa.” Nik Arif cuba meyakinkan Atiqah.

“Begitu mudah! Dalam beberapa bulan aja?” Tanya Atiqah keras.

“Apa masalahnya, orang boleh jatuh cinta dalam satu saat Iqa. Inikan pula dah berbulan-bulan!” Sangkal Nik Arif.

Atiqah hilang kata-kata namun dia masih tidak berputus asa untuk mengenakan Nik Arif sepuasnya.

“Tapi saya tak layak berkawan dengan Nik.” Atiqah mencari alasan baru.

“Iqa yang tak layak atau Nik yang tak layak? Yelah… orang muka dah keluar surat khabar. Dah glamor!”

Atiqah merenung Nik Arif. Kepalanya digelengkan beberapa kali.

“Saya takut mak cik tak suka.”

Atiqah mendengar Nik Arif ketawa. Atiqah merenung lelaki tersebut dengan perasaan hairan.

“Kalau nak cari alasan menolak pun janganlah gunakan mak, Iqa. Iqa pun tahu yang mak terlalu sayangkan Iqa. Iqa masak apa aja sedap. Iqa buat apa aja elok. Kadangkala bagi Nik, mak terlalu mendewakan Iqa. Macam mana Iqa boleh kata yang mak sukakan Iqa? Apa masalah Iqa sekarang? Cakap dengan Nik. Iqa dah ada kekasih? Nik sanggup lakukan apa saja. Minta dibayar pun Nik tak kisah Iqa!” Nik Arif begitu bersungguh-sungguh.

Atiqah mengutuk dirinya sendiri kerana mengadakan alasan yang tidak munasabah. Akhirnya dia mengeluh sendirian. Dia sendiri tahu Hajah Mimah suka dan sayangkannya.

“Saya tak tahu Nik… malaslah nak fikir. Sama ada Nik nak mainkan saya ke, sungguh-sungguh ke…”

Akhirnya Atiqah membuat keputusan.

Nik Arif ketawa, direnungnya wajah Atiqah lama. Dia rasa semakin tidak sabar untuk menyentuh Atiqah. Dia menelan air liurnya berkali-kali. Sabar, dia mengingatkan dirinya.

“Orang ajak kahwin pun pening kepala. Iqa tak payah keluar satu sen pun. Nik akan tanggung semuanya!”

Huh! Atiqah mencebit. Duit tidak menjadi masalah bagi Atiqah. Namun dia rasa dia tidak mencintai Nik Arif malah sesiapa pun.

Iqa, listen! I love you okay… Looking at you I star thinking of hundred things I want to do with you. Please let me love you, Iqa.”

Atiqah tersentak, jari Nik Arif sudah membelai jarinya. Lelaki itu kemudian mengucup jarinya lembut. Berkali-kali. Nik Arif sudah macam orang yang tidak waras. Atiqah cuba menarik tangannya perlahan-lahan. Nik Arif kian mengeratkan genggamannya.

“Iqa, mungkin Iqa tak percaya yang Nik suka dan cintakan Iqa. Tapi tak tahu kenapa Iqa… masa Iqa dekat New Zealand, Nik rasa macam tak bermaya aja… hari-hari Nik jenguk rumah Iqa, kalau-kalau Iqa dah balik. Please Iqa… please let me love you.”

Atiqah menarik tangannya dari genggaman Nik Arif apabila pelayan datang menghantar makanan. Dia menjeling Nik Arif yang tersengih. Dia benar-benar marah dengan kelakuan kurang sopan Nik Arif. Dia dapat melihat bagaimana sinisnya pelayan tersebut merenung Nik Arif yang membelek-belek jarinya.

“Saya tak tahu Encik Nik, bagi saya masa.” Atiqah berkata perlahan sambil mengucapkan terima kasih kepada pelayan. Direnungnya Nik Arif yang merenung manja padanya.

“Nik sayang… Bukan Encik Nik, okey?”

Atiqah menolak tangan Nik Arif yang mengusap-usap pipinya. Dia benar-benar tidak selesa. Dia memerhatikan beberapa orang yang sedang makan di situ. Dia tidak suka kelakuan kurang sopan Nik Arif dilihat oleh orang ramai yang ada di situ. Nasib baik tidak ada sesiapa yang ambil peduli.

“Saya tak suka Nik buat saya macam ni…” Atiqah berkata tegas namun dadanya gementar.

“Habis, Iqa ingat Nik suka Iqa dera Nik macam ni? Dah berminggu Nik menderita macam ni Iqa. Pergi ke mana aja, Nik nampak muka Iqa,”

Atiqah makin tidak tentu arah. Hatinya serba salah. Jari Nik Arif sudah menyulam jarinya. Dia memerhatikan lengan lelaki tersebut yang terletak di lengannya. Kalau begini, sampai malam pun masalah tidak selesai! Nik Arif bukan sahaja bercakap tetapi tangannya turut berjalan ke sana ke mari. Agaknya kepada semua perempuan dilakukan begini.

“Saya minta maaf Nik… tapi saya bukan perempuan yang Nik sangka. Kalau nak bercakap, bercakap ajalah, tak payah pegang-pegang saya macam ni.” Atiqah berkata dalam nada geram. Dia mendengar Nik Arif ketawa sambil tidak lepas-lepas merenung ke wajahnya.

“Mana Nik tahan! You’re perfect, you’re beautiful Iqa. I love you so much…” Nik Arif berbisik lembut.

Atiqah kian rimas dan gelisah. Nik Arif memang sudah lain. Lelaki itu bukan lelaki yang pernah dikenalinya sebelum ini.

Nik Arif sudah mula menyudu nasi goreng yang dipesannya. Atiqah cuba mengelak apabila lelaki itu menyuakan ke mulutnya.

“Makanlah sesudu dua, kita share.”

Atiqah mengerutkan dahinya, geli –geleman dia mendengar suara Nik Arif yang begitu lembut. Patutlah June selalu memuji Nik Arif. Nik Arif baik, gentlemean. Yeark! Hampir hendak termuntah dia.

“Kenapa tak mahu… dah kenyang?” Bisik Nik Arif lembut.

Atiqah terasa mahu menjerit sahaja. Kenapa dia diperlakukan begitu? Apa salahnya!

Sampai mereka beredar dari Hotel Park Royal pun Nik Arif masih memegang tangannya, bercakap begitu dekat dengannya dan merengek entah apa-apa. Nasib baik mereka datang berasingan, kalau tidak dia lebih rela naik teksi daripada mengikut lelaki itu pulang.

Ketika Nik Arif menghantar dia ke tempat letak kereta, lelaki itu tanpa segan silu mengucup pipinya beberapa kali. Beberapa kali dia mengesat mukanya dan entah berapa kali dia rasa mahu termuntah bila mengingatkan perlakuan Nik Arif yang memualkan tekaknya. Yeark!!!

Ketika Atiqah sampai di rumah, June masih lagi belum tidur. Gadis itu sedang terbaring di atas sofa, menonton televisyen.

June memerhatikan Atiqah yang menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia hairan dengan kelakuan Atiqah. Sesekali dia mendengar Atiqah bersungut yang tidak ketentuan biji butirnya.

“Tadi kawan kau Dahlia telefon.” June memberitahu Atiqah.

Atiqah merenung June. Dia bersungguh-sungguh rasa bersalah dengan June.

“Dia ada cakap apa-apa?”

June menggeleng.

Call baliklah… Kita pergi rumah Hajah Mimah nak? Aku nak jumpa Nik Ariflah tapi segan. Nanti mak cik cakap apa pula.”

Atiqah mengerutkan dahinya. Dia teringat kembali kelakuan Nik Arif sebentar tadi. Adakah June juga diperlakukan begitu oleh lelaki itu?

“Dah lama kau tak keluar dengan Nik Arif. Kau ada boyfriend lain ke?” Atiqah membelek surat yang berada di atas almari di sebelah televisyen. Dia mendengar June merengus perlahan.

“Nik Arif tu susah sangat. Berjalan nak pegang tangan pun tak mahu. Dia tu baik, gentleman tapi tak romantis.”

Atiqah duduk di sofa. Dadanya berdebar-debar mendengar cerita June.

“Romantis… apa maksud kau?” Atiqah pura-pura ketawa. Dia tunduk membuka surat yang tertulis namanya.

“Yalah, bercakap pun duduk jauh-jauh! Nak seberang jalan pun tak mahu pegang tangan. Susahlah! Tapi kau tengoklah nanti Iqa, aku mesti dapatkan dia!”

Atiqah mengetap bibir. Dia teringatkan Nik Arif yang memegang tangannya tanpa segan-silu. Kemudian lelaki itu merengek entah apa-apa padanya. Dia macam tidak percaya dengan kata-kata June. Dia teringat bagaimana Nik Arif begitu bernafsu membelai pipinya. Tidak mungkin Nik Arif begitu baik dengan June?

“Sepatutnya memang macam tulah June, kau berduakan baru kenal. Lelaki macam tulah yang bagusnya. Kau suka kalau lelaki yang baru kau kenal peluk kau, pegang tangan kau? Lelaki jenis apa tu? Gatal dan ambil kesempatan!” Atiqah berkata perlahan, beralas.

June yang sedang leka menonton televisyen ketawa kecil.

“Lelaki macam tulah bagus, romantis dan barulah kita tahu dia sayangkan kita atau tak!”

“Gila kau! Kalau aku, tak mahu aku. Itu bukan romantis… gatal namanya!” Tingkah Atiqah. Dia tidak hairan June akan berkata begitu. June terlalu ramai teman lelaki dan dia tahu bagaimana selera June.

“Bodohlah kau… Kalau aku, aku suka kalau lelaki belai aku. Barulah bagus!”

Jijik Atiqah mendengarnya.

“Bagus…. Baguslah nanti kalau kau lahirkan anak tak ada bapak.”

Atiqah bangun.

June ketawa. Dia tidak kisah dengan kata-kata Atiqah lagi.

“Kau lainlah… kayu! Sebab tu sampai sekarang tak ada boyfriend.” Ejek June.

Kata-kata tersebut memang menyakitkan hati namun Atiqah hanya ketawa mendengarnya. Kayu-kayu dia pun, Nik Arif sudah merayunya separuh mati siang tadi.

“Kau nak pergi rumah mak cik tak?” Tanya June.

Atiqah melihat jam di dinding.

“Dah dekat pukul sepuluh, tak kuasa aku. Nik Arif tu bukan suka sangat kat aku. Nanti kau yang nak jumpa dia, aku dikutuknya.” Atiqah berkata perlahan, memberi alas an.

Namun kata-kata tersebut begitu janggal di telinganya.

“Alah kita pergi berdua, masakan dia nak mengata kau depan aku.”

“Malaslah aku, aku letih ni.” Atiqah member alas an. Dia melihat June merengus.

“Kau ni susahlah. Kalau kau tak pergi, aku pun tak boleh pergi!”

Atiqah tidak menjawab. Dia masuk ke dalam biliknya dan merebahkan badannya di katil. Dia rasa macam tidak percaya dengan apa yang berlaku dalam hidupnya sekarang. Nik Arif jatuh cinta dengannya? Huh… tak masuk di akal langsung. Dia baru mengenali lelaki itu untuk beberapa kali. Mereka bermain squash, tidak lebih daripada itu. Begitu mudahkan orang jatuh cinta?

Ah… Nik Arif lelaki, lelaki memang mudah menuturkan kata-kata. Mudah memperlakukan perempuan sesuka hati. Namun bila mengenang kata-kata June, dia mula terfikir apakah Nik Arif benar-benar menyukainya…

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff