my nuff

Cintanya Pada Isterinya


Setiap petang bila Faiz ada KAFA kat sekolah, Ain akan pergi jemput dia. Pukul 4.30 Ain dah kuar ofis (tq bos bagi kelepasan kejap sebab Ain balik kerja kul 5). Sementara tunggu Faiz habis KAFA Ain berbual dengan pak cik guard sekolah tu.
Sebelum ni office mate Ain penah cerita pak cik guard sekolah tu selalu cerita tentang arwah isterinya. Walaupun kadangkala cerita yang sama yang disampaikan.
Dan kali ni Ain pula jadi pendengar ceritanya tentang arwah isterinya. Intipatinya tetap sama. Berapa lama dia bersama isterinya. Setiap tarikh yang bermakna disebutnya dengan penuh. Tarikh kahwin, tarikh isterinya mula sakit, tarikh isterinya meninggal  dunia.
Pesara JKR tu cerita bagaimana dia berhijrah ke KL selepas pencen dan jadi guard. Dan dia kembali semula ke Temerloh setelah isterinya jatuh sakit. Dia cerita, apa sakit isterinya. Usahanya membawa isterinya berubat di merata tempat. Hakikatnya isterinya telah meninggalkan dia hampir 2 tahun. Tapi dibibirnya masih meniti kisah dia dan isterinya.

Sedih Weiiiiii.........

Ain nangis bila baca citer ni kat Facebook....

KISAH BENAR


Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lam...bat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya.
Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif.
Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang. "Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?" Dia terkejut dan wajahnya berubah. "Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya "Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?" " Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu." Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ......." Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Dipetik dari pengalaman seorang guru yang dedikasi.

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki

BAHAGIAN 31


ATIQAH meneliti profile syarikat yang diberi oleh Mimi. Ada tiga profile syarikat yang mesti ditelitinya. Beberapa minggu yang lepas Datuk Marzuki ada menyebut untuk mengambil alih dan membantu beberapa buah syarikat. Namun baru hari ini dia tergerak untuk mengambil profile syarikat berkenaan daripada Mimi. Sebab itu dia datang ke Angkasa Holdings.

Dadanya berdebar-debar apabila melihat logo Syarikat Tegas di salah sebuah profile tersebut. Lama dia tergamam. Diambil dan ditelitinya lama sebelum dibukanya perlahan. Dalam debar, Atiqah meneliti nama lembaga pengarah yang berada di dalam buku tersebut. Ada nama Encik Badrul, nama Faizal dan Tuan Ahmad. Dia meneliti modal pusingan, keuntungan dan aset syarikat. Agak lama dia membelek-belek profile tersebut. Membaca satu per satu dengan teliti. Datuk Marzuki tidak pernah memberitahunya tentang Syarikat Tegas.

Dia kembali teringat kata-kata penghinaan yang dilemparkan oleh Tuan Ahmad kepadanya. Dia benar-benar sakit hati dan inilah masanya untuk dia membalas dendam. Namun pada masa yang sama dia amat bersimpati dengan Faizal. Dia menekan nombor intercom Mimi.

“Mimi, Datuk Marzuki free ke?”

Free, kenapa Iqa, awak nak jumpa dia ke?” Tanya Mimi lembut.

“Boleh juga, ada beberapa perkara yang nak dibincangkan. Saya datang sekarang, Mimi.”

Atiqah bangun membawa profile Syarikat Tegas menuju ke bilik Datuk Marzuki. Mengangkat keningnya pada Mimi yang tersenyum merenungnya.

“Masuklah.” Suruh Mimi.

Atiqah mengangguk. Dia memberi salam kepada ayahnya yang sedang meneliti sesuatu di komputer yang berada di hadapannya.

“Hai ayah, dah pandai gunakan komputer?” Atiqah mengusik.

Datuk Marzuki ketawa mendengarnya. Sejak Atiqah berada di syarikat tersebut, Atiqah banyak mengjarnya menggunakan komputer. Semakin lama fobianya dengan komputer semakin berkurangan.

“Tak ada apa, check E-Mail kalau ada yang urgent. Ada apa Iqa datang jumpa ayah?” Datuk Marzuki berkata lembut.

Atiqah duduk di hadapan ayahnya lalu menunjukkan profile yang berada di tangannya.

“Syarikat Tegas, ayah dah teliti profile syarikat ni?”

Datuk Marzuki mengerutkan dahinya kemudian mengambil profile yang berada di tangan Atiqah. Dia tidak meneliti profile tersebut sebelum ini cuma memintanya daripada Tuan Ahmad. Apabila lelaki itu memberi profile tersebut padanya, dia memberi terus kepada Mimi. Menyuruh Mimi menelefon Atiqah dan menyuruh anaknya itu membuat keputusan.

“Hem… syarikat Tuan Ahmad ni, syarikat ni taklah besar sangat, terpulang pada Iqa untuk decide. Ayah beri peluang untuk Iqa menguruskannya. Kalau syarikat ini kita ambil, mungkin juga boleh kita jadikan sebagai interface. Pendapat Iqa bagaimana?”

Atiqah mengambil semula profile tersebut dan kemudian dibukanya perlahan-lahan.

“Syarikat Tegas tak mengalami kerugian untuk dua tahun kebelakangan ni tapi, apa tujuan dia menyuruh Angkasa Holding membeli ekuiti mereka?” Atiqah inginkan penjelasan.

Datuk Marzuki tersenyum sambil menggoyang pen di tangannya. Atiqah semakin hari semakin serius dengan kerjanya.

“Untuk menambah modal Iqa, Tuan Ahmad kawan baik ayah. Dia mempunyai beberapa syarikat pembinaan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, syarikat pembinaan mengalami kesukaran untuk hidup. Langkah yang diambil oleh Tuan Ahmad mungkin betul. Membesarkan syarikat dan menjual ekuitinya untuk menyelamatkan syarikatnya yang lain. Kalau dia menyuruh syarikat lain membantu syarikat pembinaannya, tak mungkin ada yang mahu kerana di mana-mana syarikat pembinaan sekarang mempunyai masalah. Pegangan saham yang kita ada mungkin boleh dijual semula dalam masa lima tahun. Bergantung pada perjanjian dan keputusan yang Iqa nak buat nanti.” Datuk Marzuki menerangkan dengan panjang lebar.

Atiqah tidak tahu yang selama ini Tuan Ahmad mengalami masalah di dalam perniagaan. Setahunya Syarikat Komputer Tegas tidak pernah mengalami kerugian. Faizal tidak pernah memberitahunya. Mungkin kerana dia hanya seorang kerani. Faizal menyangka dia tidak boleh dibawa berunding. Dia tersenyum sendirian.

“Inilah untungnya kalau membuat berbagai-bagai perniagaan. Sekarang bagu Iqa faham kenapa ayah bertukar bidang. Dah lama Tuan Ahmad membuat cadangan ni ayah?” Atiqah bertanya kepada ayahnya. Dia benar-benar berminat nampaknya.

“Baru pertengahan tahun ni. Apa pendapat Iqa?”

“Iqa tertarik kerana pekerjanya hampir sembilan puluh peratus bumiputera. Barisan pengarah masih lagi muda dan ini peluang kita membantu mereka.” Atiqah memberikan pendapatnya.

“Iqa pentingkan keuntungan syarikat atau mahu membantu?” Usik Datuk Marzuki.

Atiqah merenung wajah ayahnya.

“Ayah, Syarikat Angkasa tahun ni aja memungut keuntungan 1.2 billion. Dalam jangka masa lima tahun kita masih boleh berdiri kukuh dengan projek dan perjanjian yang kita dapat dari luar negara. Sekarang bukan masanya untuk memikirkan keuntungan tapi memikirkan apa yang boleh kita buat untuk membantu syarikat kecil seperti ini. Syarikat ni memerlukan perubahan, ayah. Tender-tender yang mereka dapati hanya mengharapkan tender dari kerajaan dan orang perseorangan. Setakat ni langsung tak ada tender besar daripada syarikat asing.”

Datuk Marzuki mengangguk. Direnungnya wajah Atiqah, lama. Atiqah terlalu cepat belajar. Baru beberapa bulan Atiqah di Syarikat Angkasa, gadis itu sudah pandai menimbang dan membuat keputusan.

“Bagaimana dengan dua syarikat yang lain Iqa. Satu Syarikat Kum Man, mempunyai aset yang agak besar, lima ratus ribu ringgit tapi mengalami kerugian untuk dua tahun yang lepas. Iqa tak mahu bantu?” Tanya Datuk Marzuki.

Atiqah terdiam lama.

“Iqa akan teliti ayah, mungkin aset yang mereka ada bukan aset yang boleh dicairkan, Iqa kena teliti dulu sebelum membuat apa-apa keputusan.” Atiqah berkata tenang.

“Cepat Iqa teliti profile tu!” Datuk Marzuki mengusik.

Atiqah hanya tersengih sambil melihat jam di pergelangan tangannya.

“Bulan depan kami ada exco meeting Iqa, ayah ingat ayah nak buat satu pengumuman penting di sana dan ayah mahu Iqa hadir.”

Atiqah mengerutkan dahinya. Apa yang penting sangat sehingga ayahnya memberitahu sejak awal lagi?

Apa yang penting sangat ayah. Ada yang Iqa tak tahu ke?” Atiqah mengusik ayahnya.

Exco kali ini ayah rasa amat penting dan lagi satu ayah bangga dengan apa yang Iqa lakukan baru-baru ni. Mr. Mahmud beritahu ayah dia suka bekerja dengan Iqa. Dia cakap dia tak sangka orang semuda Iqa dapat melakukan kerja dengan baik dan ayah setuju dengan cadangan Iqa supaya Kilang Take 2020 berdiri sendiri. Mungkin ayah akan beritahu dalam exco nanti.” Terang Datuk Marzuki.

Atiqah mengangguk gembira. Dia sebenarnya banyak terhutang budi dengan Mini yang banyak memberinya maklumat dan membantu dia melakukan kerja-kerja di pejabat, Wanita tersebut banyak memberinya nasihat yang bernas hasil pengalamannya yang lama bersama Datuk Marzuki.

“Kalau Iqa nak pemandu, ayah boleh bagi.” Sambung Datuk Marzuki lagi.

Atiqah menggeleng. Pemandu? Dia sendiri tidak pernah memikirkannya.

“Tak apalah ayah, kereta yang ayah belikan tu dah cukup dan Iqa sukakannya.” Atiqah berkata lembut.

Datuk Marzuki tersenyum kelat. Direnung wajah Atiqah lama. Atiqah sudah semakin berlembut dan boleh diajak berunding. Mungkin usia mematangkan mereka berdua. Sesungguhnya dia merasa gembira sejak akhir-akhir ini.

“Bila Iqa nak balik rumah?” Tanya Datuk Marzuki.

Atiqah terkedu. Satu soalan yang paling cuba dielakkannya setiap kali mereka bertemu. Setiap kali dia balik ke rumah, bayang-bayang silam menerpa fikirannya. Amat payah untuk dilupakan walaupun sudah agak lama ia berlaku.

“Mama tak telefon Iqa?” Tanya Datuk Marzuki lagi.

Atiqah ketawa. Beberapa hari yang lepas mamanya ada menelefon. Suara mamanya kedengaran begitu gembira. Mamanya memberitahu ada beberapa orang dari Malaysia mahu melabur di motelnya. Mama sedang meneliti perjanjian yang akan diadakan walaupun pada dasarnya dia hampir lapan puluh peratus bersetuju dengan perjanjian tersebut. Atiqah hanya mendoakan kejayaan mamanya dan berharap luka di hati mamanya telah sembuh.

“Ada, mama sihat. Mungkina akan balik ke Malaysia tapi tak tahu bila.”

Wajah Datuk Marzuki terpancar cahaya gembira. Atiqah dapat mengesannya.

“Baguslah… kalau boleh ayah nak juga jumpa mama kamu.”

Atoqah tersenyum mendengarnya. Dia tidak tahu adakah Datuk Marzuki ikhlas ataupun tidak. Namun dari riak lelaki itu, Datuk Marzuki nampak ikhlas.

“Nantilah… mungkin Iqa boleh bawa mama jumpa ayah. Itu pun kalau mama mahu.” Atiqah membalasnya ikhlas.

Datuk Marzuki tersenyum kelat. Selepas mereka disahkan bercerai, banyak kata nista yang dilemparkan kepada Zainab. Sebenarnya itu lebih berdasarkan rasa sakit hati kerana Zainab meminta cerai sedangkan selama ini dia menyangka Zainab amat lembut dan baik itu tidak berani melakukannya. Apatah lagi apabila melihat Atiqah melawannya secara terang-terangan. Dia rasa begitu kecewa dan kalah. Dan untuk melawan kekalahannya, dia cuba menyakitkan hati Zainab dan Atiqah. Hasilnya Zainab dan Atiqah semakin jauh darinya.

“Lama betul ayah tak jumpa dengan mama kamu. Terlalu lama rasanya…” Datuk Marzuki berkata perlahan, seolah-olah kesal dengan dirinya sendiri.

Atiqah terpandang satu gambar lama berwarna hitam putih terletak di belakang meja ayahnya. Atiqah turut menyimpan gambar tersebut. Gambar dia bersama Datuk Marzuki dan mamanya sekali. Namun mulutnya tidak terbuka untuk bertanya.

“Memang mama dah lama di New Zealand. Okeylah ayah, ayah setuju ke dengan keputusan Iqa ni?” Tanya Atiqah kembali.

Datuk Marzuki mengerutkan dahinya lama sebelum mengangguk.

“Bukankah ayah dah cakap terpulang pada Iqa. Dalam hal ni, ayah bagi Iqa kebebasan. Apa saja keputusan Iqa ayah terima dengan hati yang terbuka. Tapi jangan buat keputusan menggunakan hati. Gunakan otak, okey?”

Atiqah ketawa mendengarnya. Dia memungut profile yang berada di hadapan Datuk Marzuki dan bangun meminta diri. Ketika keluar dia tersenyum sendirian. Macam ayah tahu apa yang berlaku, desis hatinya. Dia mengangkat kening pada Mimi yang kebetulan merenungnya.

Petang itu Atiqah berjumpa dengan nik Arif di KLCC. Lelaki itu mengajak Atiqah menemaninya membeli belah. Diikutkan sahaja walaupun agak penat.

“Nik nak beli apa?” Tanya Atiqah pada Nik Arif yang tersenyum menunggunya di hadapan Pasar Rasa Isetan.

“Tak tahu. Dah lama betul tak shopping.”

Atiqah hanya diam mendengar kata-kata Nik Arif.

“Iqa tak mahu shopping? Nak beli baju, nanti Nik belikan.” Nik Arif memegang tangan Atiqah.

Atiqah menolak perlahan tangan Nik Arif.

Nik Arif senyum mengerti.

“Mark and Spenser di bawahkan?” Tanya Nik Arif sambil menarik tangan Atiqah yang sedang asyik melihat barang seramik yang di atur cantik.

“Alah… nak tengok ni kejap.”

Nik Arif menggeleng, membiarkan Atiqah membelek sebuah pasu kecil yang diwarna dan dilukis dengan begitu cantik sekali.

“Berapa?” Tanya Nik Arif.

Atiqah melihat tanda harga yang di bawah pasu tersebut. Dia menjuih bibir.

“Mahal, Sembilan puluh ringgit.”

Nik Arif merenung Atiqah.

“Nak, ambillah.” Nik Arif menyuruh.

Atiqah menggeleng. Dia tidak akan senang-senang mengeluarkan wang membeli barang yang tidak berfaedah itu semata-mata kerana cantiknya. Walaupun dia anak orang kaya, simpanannya ada lebih dua ratus ribu pemberian mamanya, itu tidak bermakna dia boleh boros berbelanja.

“Material termasuk warna tak lebih sepuluh ringgit agaknya.” Atiqah berkata perlahan.

“Tapi art Iqa. Bila masa kita nak appreciate art. Inilah masanya.” Nik Arif membalas, mengusik.

“Ramai lagi orang tak makan kat luar tu.” Atiqah menyindir.

Nik Arif ketawa. Atiqah sentiasa bersedia dengan alas an. Itu salah satu faktor yang membuat dia menyayangi gadis itu.

“Susah Iqa ni. Banyak sangat cakapnya.”

“Hai Iqa!”

Atiqah mengangkat muka. Dia merenung Kasmah yang berada di hadapannya. Atiqah tersenyum seraya melepaskan tangan Nik Arif yang memegang tangannya.

“Hai Kasmah. Seorang aja?” Atiqah menghulurkan tangannya. Mereka bersalaman. Dia dapat melihat mata Kasmah merenung Nik Arif yang tersenyum.

“Nik, ni Kasmah dan Kasmah, ini Nik Arif.”

Atiqah memperkenalkan Nik Arif kepada Kasmah. Mereka berdua bersalaman.

Shopping seorang?” Atiqah bertanya sekali lagi apabila soalannya sebentar tadi berlalu sepi tanpa jawapan.

Mata Kasmah tidak lepas-lepas merenung Nik Arif yang tersenyum. Tampan juga lelaki ni, desis hati Kasmah. Dia tidak percaya Atiqah akan mendapat seorang teman lelaki yang tampak begitu hebat. Ah… lelaki sekarang. Bukan boleh percaya, desis hatinya sendiri.

“Faizal sibuk dengan syarikat dia. Yalah… syarikat sendiri.”

Atiqah tahu benar, nada suara Kasmah itu seolah-olah mahu menunjuk. Mahu sahaja dia ketawa apabila mengingatkan Syarikat Tegas sehari dua lagi akan berada dalam genggamannya. Menyedari diri mula diselubungi rasa riak, dia segera mengucap di dalam hati.

“Tak apalah Kasmah, minta diri dulu.” Atiqah meminta izin.

Kasmah hanya mengangguk.

“Siapa tu Iqa? Make-up tebalnya. Macam burung jampuk!” Nik Arif bertanya apabila mereka berdua sudah keluar dari Isetan.

“Hiss… apalah Nik ni, mengata orang pula!” Atiqah mencubit lengan Nik Arif.

Nik Arif ketawa besar. Direnungnya wajah Atiqah. Atiqah sedari dulu memang tidak suka mengumpat orang.

“Siapa dia tu Iqa?” Nik Arif mendesak inginkan jawapan.

“Sabarlah… satu masa nanti Nik akan tahu juga.”

Nik Arif dapat merasakan seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Atiqah daripada pengetahuannya.

“Apa maksud Iqa sebenarnya? Pelik jawapan tu!”

“Tak ada apalah Nik. Satu masa nanti kalau Iqa ada masa, Iqa akan ceritakan dengan Nik.”

Nik Arif mengangkat bahu. Dia tidak mahu mendesak. Apa pun, suatu masa nanti jika Atiqah tergerak hati untuk menceritakannya, dia akan mendengar.

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff