my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki

BAHAGIAN 36


ATIQAH sedang memeriksa casing komputer yang baru dikeluarkan dari acuan. Dibelek-beleknya dengan teliti. Beberapa bulan yang lepas, Kilang Take 2020nya sudah bersetuju mengeluarkan komputer yang pelbagai warna. Mereka sudah memulakan production dua bulan yang lepas dan sambutan orang perseorangan terhadap komputer tersebut amat menggalakkan.

“Iqa ada wakil BUS menanti awak di luar.” Setiausaha Atiqah, Pamela memberitahu.

Atiqah mengerutkan dahinya, kemudian mengangguk. Dia baru teringat, perjanjian dengan salah sebuah syarikat di Arab Saudi telah pun ditandatangani. Penghantaran akan dilakukan dalam bulan depan. Datuk Marzuki sudah menghantar profile Syarikat BUS untuk ditelitinya. Namun dia terlupa. Atiqah segera meletakkan casing yang dipegangnya di sebelah QC yang sedang memeriksanya.

“Berapa orang?” Tanya Atiqah pada Pamela yang sedang sibuk meninjau bahagian production melakukan kerjanya.

“Dua orang.” Pamela menunjukkan jarinya.

“Suruh dia masuk ke bilik sayalah. Sekejap lagi saya datang.”

Pamela akur.

Atiqah memerhatikan langkah Pamela. Atiqah mengangkat tangan pada seorang jurutera yang sedang merenungnya. Mereka berbalas senyum.

“Clip dekat sebelah kanan tak berapa licin. Cuba betulkan mesin.” Atiqah menepuk bahu QC Zaini yang mengangguk mengiskan kata-kata Atiqah. Dia merenung Atiqah sekilas. Sejak diletakkan sebagai pengurus operasi, Atiqah begitu rajin turun ke production.

Atiqah melangkah perlahan ke biliknya. Sepatutnya syarikat BUS menghantar wakil seminggu yang lepas tetapi ketika itu dia pula terlalu sibuk. Ketika dia menolak pintu bilik pejabatnya, darahnya tersirap. Dari pandangan sisi dia dapat melihat dengan jelas wajah lelaki yang memakai baju biru laut dan bertali leher hitam.

“Hah… minta maaf encik kerana menunggu.” Tergagap-gagap Atiqah bersuara,

Mata mereka berpandangan. Nik Arif mengetap bibir. Dia macam tidak percaya yang berdiri di hadapannya ialah Atiqah. Betulkah apa yang dilihatnya? Beberapa kali matanya dipejamcelikkan.

“Minta maaf cik, kami datang tanpa appointment. Kebetuan kami ada urusan di kawasan berdekatan, saya Mr. Chua dan ini Encik Nik Arif.” Lelaki Cina yang berada di sebelah Nik Arif memperkenalkan diri.

Atiqah cuba melemparkan senyuman mesra. Mengambil kad yang dihulurkan oleh Mr.Chua dan kemudian menghulurkan kadnya pula. Dia tahu Nik Arif merenungnya sedari tadi. Dia sendiri takut untuk menatap wajah Nik Arif. Memang silap dia, dia tidak pernah ambil peduli tempat kerja Nik Arif apatah lagi mahu menelefon lelaki tersebut.

“Encik berdua nak minum apa?” Tanya Atiqah sopan.

Mr.Chua ketawa kecil.

“Teh Cina cukuplah. Arif, you nak minum apa?” Tanya Mr. Chua.

“Apa-apa ajalah Chua.” Akhirnya Nik Arif bersuara juga.

Atiqah menekan intercom dan memanggil Pamela.

“Pam, Chinese Tea satu, Milo dua.” Dia meminta kemudian melirik pada Nik Arif yang masih merenungnya.

“Saya minta maaf Mr. Chua, sepatutnya saya adakah satu meyuarat pada minggu lepas. Tapi disebabkan kesuntukan masa dan perjanjian penjualan komputer ke Arab Saudi baru saja ditandatangani, jadi saya menangguhkan mesyuarat itu.”

Atiqah membetulkan duduknya yang dirasakan kurang selesa. Atau… sememangnya dia sendiri yang tidak selesa dengan ‘pertemuan’ ini.

“Tak mengapa, Datuk yang menyuruh saya datang berjumpa dengan awak. Lagipun menurut Datuk perjanjian akan dibuat dalam bulan ini. Bukan kerana kami bimbang tender itu dapat kepada orang lain tapi Datuk Marzuki yang beria-ia sangat.”

Atiqah ketawa kecil. Dia merenung Nik Arif yang masih menatap wajahnya tanpa sebarang bicara. Cuma matanya sahaja yang tajam berkata-kata.

“Sebenarnya tender penghantaran tak dibuka Mr.Chua, ia memang diberi terus kepa BUS. Tak tahu sebab apa. Mungkin Datuk percayakan syarikat awak. Ini merupakan satu bonus.” Atiqah menerangkan.

Mr.Chua ketawa kecil. Dia merenung sekilas pada Nik Arif yang masih terpaku menatap wajah Atiqah.

“Boleh hantar proposal schedule? Mungkin saya boleh meneliti sebelum perjanjian dibuat.” Atiqah berkata lebut. Nik Arif yang sedari tadi tidak bercakap membuatkan dia naik risau.

“Kami ada menghantar pada Datuk Marzuki tapi tak mengapa. Kami ada bawa salinannya. Arif, ada pada youkan?” Tanya Mr.Chua pada Nik Arif. Nik Arif membuka fail yang dibawanya kemudian mengeluarkan beberapa helai kertas dan diunjuk pada Atiqah.

Atiqah meneliti perlahan. Pintu biliknya terkuak. Pamela masuk dengan tiga cawan minuman. Kemudian mengagihkannya kepada setiap orang.

“Iqa, you dah sain consignment untuk hari ni? Dia orang nak hantar barang sekejap lagi.”

Atiqah meletakkan kertas ditangannya bila mendengar kata-kata Pamela yang berdiri tegak di hadapannya.

Mencari sesuatu di meja belakangnya kemudian mengambil fail plastic berwarna hijau.

“Pamela make sure suruh Guna check betul-betul berapa barang yang kita nak hantar. Dua hari lepas ada defect. Syarikat Berjaya call saya.” Atiqah mengeluarkan beberapa helai kertas yang berada di dalam fail tersebut. Meneliti seketika sebelum menandatangani kertas tersebut.

“Jangan lupa buat salinan.”

Pamela mengangguk. Dia mengambil kertas yang dihulurkan oleh Atiqah.

“By the way Iqa, meeting pukul tiga dengan Vision Com dekat Bangi.”

Atiqah mengangguk. Jadualnya semakin hari semakin ketat. Nasib baik Pamela membantu dan kadangkala Atiqah tidak segan silu ke Syarikat Angkasa meminta pertolongan daripada Mimi atau Datuk Marzuki.

“Okay, back to our discussion, saya akan meneliti proposal ini, Mr.Chua dan kalau ada perubahan nanti mungkin kita boleh bincangkan kemudian. Penghantaran juga bergantung pada requirement client, mungkin client perlukan cepat. Ada apa-apa pertukaran, saya akan beritahu nanti sebelum sebarang perjanjian ditandatangani. Beri saya masa dalam seminggu.” Atiqah menerangkan.

Mr.Chua mengangguk. Fikirannya lebih banyak tertumpu pada Nik Arif. Dia benar-benar hairan dengan Nik Arif yang tidak banyak bercakap pada hari itu. Pemuda itu lebih banyak merenung muka Atiqah. Ketika meminta diri untuk pulang, Mr.Chua mengusik Nik Arif.

“I tengok mata you tak berkelip pandang Cik Atiqah tu. You dah jatuh cinta?”

Nik Arif hanya tersengih. Bukan dia sudah jatuh cinta tetapi fikirannya tidak menentu. Macam-macam yang difikirkannya sekarang.

“Cantik dan terlalu muda. Macam mana dia boleh jadi pengurus operasi kilang? Datuk Marzuki pula nampaknya begitu percayakan dia.” Mr.Chua memberikan komennya.

Nik Arif menelan air liurnya. Pahit, payau dan pelbagai rasa lagi. Dia akan meminta kepastian daripada Atiqah. Sesungguhnya sampai sekarang dia tidak mempercayai Atiqah menerajui Kilang Take 2020. Sejak Atiqah bertukar kerja, Atiqah tidak pernah berubah dari segi pakaian dan percakapan. Cuma yang jelas, Atiqah hanya menukar keretanya. Kereta Fiat Punto itu memang agak mahal tetapi tidaklah terlalu mewah.

“Kalau you dapat tackle dia, untung you Arif. Cantik, cakap lembut dan respect dekat orang. She’s very confident. Hem… untunglah siapa yang dapat dia.” Mr.Chua mengusik lagi.

Nik Arif hanya menelan kata-kata Mr.Chua dengan perasaan yang bercampur baur. Dia tidak sabar mahu berjumpa dengan Atiqah. Bersemuka dengan Atiqah dan meminta kepastian.

PUKUL lima tiga puluh minit petang, dia sudah berada di rumah. Tanpa sabar dia terus menunggu kepulangan Atiqah di halaman. Tiap detik dirasakan terlalu lama, sedangkan hatinya bagai digaru-garu dengan pelbagai perasaan.

Pukul enam tiga puluh minit barulah Atiqah menunjukkan mukanya. Dia berjalan pantas kearah Atiqah yang baru keluar dari keretanya.

“Iqa tipu Nik lagi Iqa?”

Nik Arif memegang tangan Atiqah. Kalau diikutkan hatinya yang sakit, mahu sahaja dia menjerit melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Dia mendengar Atiqah mengeluh.

“Iqa tak pernah tipu Nik.” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif merenung wajah Atiqah yang muram.

“Kenapa dengan Iqa ni, banyak sangat yang Nik tak tahu pasal Iqa. Kenapa Iqa buat Nik macam ni?” Nik Arif benar-benar sudah tidak dapat menahan perasaannya. Rasa marah dan hiba bercampur aduk. Atiqah membuat dia berkecil hati. Bukan sekali ini sahaja malah sudah banyak kali dan tidak mustahil dia akan merasainya lagi.

“Iqa minta maaf.” Atiqah merenung wajah Nik Arif yang merah.

“Minta maaf, minta maaf. Lepas tu Iqa tipu Nik lagi. Selama ni Nik percayakan Iqa. Dulu Iqa tipu siapa mama Iqa. Sekarang Iqa tipu kerja Iqa.” Suara Nik Arif semakin meninggi.

“Iqa tak tipu Nik.” Atiqah cuba menegakkan pendiriannya.

Nik Arif merengus geram. Sakit hatinya Tuhan sahaja yang tahu.

“Tak tipu, habis apa yang Iqa buat di Take 2020 tu.” Tengking Nik Arif.

Atiqah merenung wajah Nik Arif yang benar-benar sudah meradang. Atiqah mengurut dadanya perlahan. Dia tahu dia bersalah tetapi Nik Arif tidak patut menengkingnya begitu. Siapa Nik Arif yang boleh berlaku seenaknya ke atas dirinya?

“Nik pun tak pernah tanya Iqa kerja apa. Macam mana Iqa nak beritahu!” Atiqah cuba bertenang.

Nik Arif mencebir.

“Iqa cakap Iqa kerani, kerani, kerani. Iqa lupa?” Nik Arif menengking lagi.

“Memanglah… tapi tu dulu, sebelum Iqa berhenti kerja dan bekerja dengan kilang tu.” Atiqah sudah berjalan perlahan masuk ke dalam rumah.

Nik Arif yang kelihatan begitu tidak sabar mendengar penjelasan daripada Atiqah, berlari mengekori Atiqah dan masuk ke rumah Atiqah tanpa disuruh.

“Iqa pernah cakap yang Iqa naik pangkat sikit, masakan Nik dah lupa? Lepas tu Nik tak tanya apa-apa pun lagi. Buat apa Iqa nak beritahu, nanti Nik cakap Iqa berlagak!” Atiqah membuka lampu di ruang tamu rumahnya. Meletakkan beg tangannya di sofa.

Nik Arif duduk di sofa tanpa di suruh. Merenung Atiqah yang berdiri tegak di hadapannya.

“Siapa Iqa sebenarnya?” Tanya Nik Arif tiba-tiba. Dia mula ragu-ragu dengan Atiqah. Atiqah terlalu muda untuk menjawat jawatan tersebut.

Apa hubungan Atiqah dengan Datuk Marzuki? Dia tiba-tiba teringatkan Datuk Marzuki yang memang kaki perempuan, sekejap-sekejap bertukar isteri. Adakah Atiqah perempuan simpanan Datuk Marzuki?

Dia teringat bagaimana Atiqah berusaha menolak ajakannya untuk berkahwin walaupun berkali-kali dia merayu. Nik Arif mengetap bibirnya. Dia rasa hiba tiba-tiba.

“Maafkan Iqa, Nik. Iqa tak bermaksud nak lukakan hati Nik. Demi Tuhan memang selama ni banyak perkara yang Iqa tak boleh cerita pada Nik. Iqa takut nak cerita, takut Nik marah Iqa dan takut Nik tak percaya.” Atiqah mengetap bibir.

Nik Arif merenung Atiqah dengan pandangan berbalam. Kata-kata Atiqah seolah-olah kena dengan anggapannya.

“Apa hubungan Iqa dengan Datuk Marzuki?” Tanya Nik Arif dengan suara berketar.

Atiqah menelan liurnya. Perlukan dia berbohong lagi? Perlukan dia memberitahu hal yang sebenar? Dia sebenarnya tidak suka orang tahu siapa dia namun kalau dia tidak memberitahu Nik Arif, lelaki itu terus berprasangka dengannya.

Akhirnya dia melutut dan memegang lutut Nik Arif yang sedang mengusap-usap rambutnya sendiri. Gelisah sekali kelihatannya.

“Iqa benar-benar malu nak beritahu Nik. Iqa tak mahu Nik tahu siapa Iqa. Tapi sekarang, setelah apa yang berlaku hari ini, Iqa rasa Nik perlu tahu.” Atiqah berkata perlahan kemudian mengetap bibirnya.

Nik Arif merenung wajah Atiqah lama. Apakah rasa cintanya selama ini akan berkubur begitu sahaja? Dia hanya membiarkan Atiqah memegang tangannya. Dia rasa tersentuh dengan kelakuan Atiqah. Selama ini Atiqah tidak pernah mahu menyentuhnya.

“Maafkan Iqa, Nik.” Atiqah berkata dengan suara menggeletar. Dia merenung Nik Arif dengan wajah yang muram.

“Datuk Marzuki ialah ayah Iqa, Nik.” Akhirnya Berjaya juga kata-kata itu meluncur keluar dari bibirnya. Atiqah benar-benar lega selepas meluahkannya.

Nik Arif tersentak. Dia merenung Atiqah meminta kepastian. Atiqah menganggukkan kepalanya. Dia merenung Atiqah tanpa berkelip dan akhirnya dia menutup matanya. Dia teringat wajah Atiqah yang keluar di surat khabar. Atiqah Datuk Marzuki. Kenapa dia begitu bodoh dan membuat prasangka pada Atiqah? Kenapa dia tidak terfikir yang Atiqah anak Datuk Marzuki? Lama dia menutup matanya. Hatinya benar-benar lega kini.

“Iqa malu kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ni terlalu banyak gosip tentang ayah Iqa, tentang ayah Iqa yang kaki perempuan. Sejak dia berpisah dengan mama Iqa, ayah dah berkahwin sebanyak tiga kali. Memang ayah usahawan yang berjaya tapi Iqa betul-betul tak dapat terima perangai ayah yang kaki perempuan tu. Iqa malu Nik!”

Nik Arif membuka matanya. Merenung wajah Atiqah lama. Dia tersenyum. Perlahan-lahan tangan Atiqah yang memegang tangannya dibawa ke mulutnya. Diciumnya beberapa kali dengan hati yang lega.

“Kenapa mesti malu?”

Atiqah mengeluh. “Nik suka kalau orang ejek Nik bila orang tahu Nik anak Datuk Marzuki?” Atiqah bertanya perlahan. Membuang jauh-jauh rasa jengkel yang ingin bertapak kembali di hati.

Nik Arif tersenyum. Perlahan jari Nik Arig mengusap lembut pipi Atiqah.

“Tak semua orang perfect Iqa, termasuk ayah Iqa.” Nik Arif memujuk.

Dia memang terperanjat apabila mendengar bahawa Atiqah anak Datuk Marzuki tetapi dalam dunia ini tidak ada yang mustahil. Lagipun dari cara pembawakan Atiqah dia tah gadis itu bukan calang-calang orang, Atiqah tampak begitu bijak.

“Iqa malu Nik, lebih-lebih lagi heboh kisahnya bernikah dengan Zakiah. Setahun lebih Iqa tinggalkan rumah, Iqa bekerja sebagai kerani kerana masa tu Iqa hanya perlukan pengalaman. Tapi kemudian Iqa kasihankan ayah. Mungkin masa Iqa tak ada ayah berubah. Tapi tak tahulah. Ayah yang mencari Iqa. Iqa rasa aman bila orang tak tahu Iqa anak Datuk Marzuki. Kadangkala Iqa tertanya-tanya kenapa Iqa seorang aja anak Datuk Marzuki, tak tiga atau empat supaya beban perasaan ni tak Iqa tanggung seorang diri.” Atiqah meluahkan perasaan yang selama ini terpendam di dalam hatinya.

Nik Arif merenung wajah Atiqah dengan perasaan sayu. Sesungguhnya dia cuba untuk mengerti.

“Iqa suka menjadi Iqa yang biasa aja. Iqa tak tahu kenapa Iqa takut orang akan tahu siapa Iqa. Pernah dulu Iqa masuk kedai makanan segera, ada beberapa orang perempuan bercerita pasal ayah Iqa. Iqa malu Nik!” Atiqah mengetap bibirnya menahan tangis yang mahu terbit.

Nik Arif merenung wajah sayu buah hatinya. Dia tidak tahu apa yang berlaku di antara Atiqah dengan Datuk Marzuki tetapi dia bersimpati dengan nasib malang gadis itu.

“Iqa, apa pun yang berlaku, Datuk Marzuki tetap ayah Iqa. Menyembunyikan diri tak menghapuskan pertalian yang ada.” Nik Arif memujuk lembut.

Atiqah mengeluh, dia masih berlutut di hadapan Nik Arif. Satu, satu dia bercerita tentang apa yang berlaku di antara ayah dan mamanya. Rentetan kisah bagaimana dia terluka melihat perbuatan ayahnya di hadapan matanya yang sampai kini tidak akan dilupakannya. Dia bercerita bagaimana marahnya Datuk Marzuki bila mendapat tahu yang dia belajar hanya seperuh jalan. Minat yang kurang dalam bidang undang-undang, membuatkan dia mengambil keputusan berhenti dari universiti. Turut diceritakan juga bagaimana Datuk Marzuki melemparkan kata-kata yang kesat padanya dan menghalau dia keluar dari rumah bila dia cuba mempertikaikan perkahwinan Datuk Marzuki dengan Zakiah.

Atiqah menangis teresak-esak.

Nik Arif mendengar dengan perasaan yang berbaur antara sayu, simpati dan terluka yang bersilih ganti. Patutlah selama ini Atiqah nampak berlainan. Kadangkala riang dan kadangkala suka menyendiri.

“Kita kahwin Iqa, biar Nik tolong Iqa.” Nik Arif berkata lembut, mengusap air mata di pipi Atiqah.

Atiqah menggeleng. Perlahan air matanya disekanya.

“Nik tak marah Iqa lagi?” Atiqah berkata perlahan.

Nik Arif tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Atiqah sudah lama menderita.

“Lain kali jangan buat Nik macam ni, Iqa.” Nik Arif berbisik lembut sambil jarinya mengusap-usap pipi Atiqah.

Atiqah tersenyum kelat.

Ketika itu, baik Nik Arif atau Atiqah tidak perasan yang June berada di muka pintu. Darah June tersirap. Dia hampir mahu menjerit. Patutlah selama ini Nik Arif selalu menolak ajakannya untuk keluar. Mahu terbakar dadanya melihat segalanya itu.

“I love you so much Iqa. I love you.” Nik Arif berbisik lembut di telinga Atiqah.

Atiqah menahan hatinya dengan perangai Nik Arif namun pada masa yang sama dia sedikit tenang.

“Nik tak malu dapat bapa mertua seperti Datuk Marzuki?” Tanya Atiqah sambil merenung Nik Arif yang ketawa. Hidung Atiqah ditariknya lembut.

“Walau siapa pun Iqa, Nik tetap sayangkan Iqa. Nik tetap cintakan Iqa. Iqa mesti percaya tu. Lagipun apa nak dimalukan. Yang pentingnya Nik kahwin dengan anak dia. Dapat tumpang senang!” Nik Arif mengusik.

Atiqah menampar bahu Nik Arif manja.

Nik Arif ketawa lagi. Dia teringat cerita-cerita Datuk Marzuki tentang anaknya. Mahu sahaja dia ketawa apabila mengingatinya. Alangkah anehnya dunia! Direnung wajah Atiqah denga rasa sayang yang menggila. Dia rasa dia manusia yang paling bertuah dalam dunia.

“Tak semestinya kalau ayah kaya, Iqa akan kaya.”

“Tak kisahlah Iqa, Nik main-main aja. Yang pentingnya kita kahwin. Nik dah lama sukakan Iqa. Iqa bukan tak tahu. Nik dah lama gilakan Iqa dan Nik akan gila kalau tak dapat bersama Iqa…”

Atiqah merenung muka Nik Arif yang tidak sampai seinci dari mukanya. Dia tersenyum apabila teringatkan sesuatu.

“Mak, setakat Si Iqa tu, dekat Kuala Lumpuir tu berlambak-lambak. Nik tengok pun dia tersenyum-senyum, macamlah Nik ni suka sangat dekat dia. Kalau dah kerani tu kerani jugalah. Hiss.. Nik ni berpangkat mak. Jumpa orang sana sini. Seganlah kalau dapat bini macam dia.”

Nik Arif membeliakkan matanya mendengar kata-kata Atiqah. Direnungnya wajah Atiqah dengan rasa tidak percaya.

“Iqa dengar apa yang Nik cakap dengan mak cik. Masa tu Iqa ada dekat pintu dapur. Nik bercakap dengan penuh semangat dan penuh perasaan. Masa tu Iqa langsung tak ada hati dengan Nik. Macam mana Nik boleh tuduh Iqa macam tu?”

Nik Arif menelan air liurnya beberapa kali. Terkulat-kulat dia sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Atiqah sudah bangun dan duduk di sofa yang agak jauh darinya.

“Maafkan Nik. Masa tu mak selalu push Nik, dia cakap dia sukakan Iqa. Iqa pula masa tu sombong. Tak pernah tegur Nik. Nik baru balik dari overseas dah kena match. Melentinglah! Bagilah peluang Nik bernafas dulu.” Nik Arif tergagap-gagap member alas an.

Atiqah ketawa.

Sekarang Nik Arif pula duduk melutut sambil memegang lutut Atiqah. Merenung Atiqah dengan mata yang mengharap.

“Yalah Encik Nik, suka hati awaklah.” Atiqah mengejek.

Nik Arif merenung Atiqah lama. Beberapa kali air liurnya ditelan.

“Itu dulu Iqa, sumpah! Nik mula jatuh cinta dengan Iqa masa Iqa datang betulkan komputer Nik. Lepas tu hati Nik berdebar-debar tiap kali tengok muka Iqa. Nik yakin dengan perasaan Nik bila Iqa ke New Zealan. Sumpah Iqa, Nik cintakan Iqa!”

Atiqah mencebir melihat wajah Nik Arif yang terkebil-kebil merenungnya.

“Lelaki bukan boleh percaya, cakap aja. Konon tak pernah mengata Iqalah, porah!” Atiqah mengangkat tangannya.

Nik Arif benar-benar terkena kali ini. Dia benar-benar tidak suka mendengar kata-kata Atiqah. Atiqah seolah-olah memulangkan paku buah kerasnya.

“Lainlah kawan dia tu mak, cantik. Dia kerja apa mak?” Atiqah mengejek lagi.

Nik Arif pantas merangkul Atiqah dan digigitnya pipi Atiqah sehingga Atiqah menjerit kuat.

“Ungkit lagi ungkit, nanti bukan pipi aja, hidung Iqa pun tanggal tahu tak!” Nik Arif mengejek.

Atiqah menggosok pipinya yang dirasakan begitu perit. Ditumbuknya dada Nik Arif.

Akhirnya kedua-dua mereka ketawa sedangkan di luar rumah Hajah Mimah, June sedang duduk di buaian dengan hati yang sebal dan sakit.

“Aku bunuh kau Iqa!” Dia menjerit di dalam hati.





BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff