my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki

BAHAGIAN 38


PEMBELIAN SAHAM SYARIKAT TEGAS telah berjalan seperti yang dirancang. Atiqah menukarkan Encik Badrul pergi Angkasa Holdings sementara Mary ditukarkan ke Kilang Take 2020. Faizal pula dilantik sebagai Pengurus Syarikat Tegas.

Ketika Mary diberitahu tentang hal itu, dia amat terperanjat. Termangu-mangu dia ketika mendapat surat pertukaran. Dia tertanya-tanya kenapa dia ditukarkan dan pertukaran pula dikuatkuasakan serta merta. Ketika dia sampai ke Kilang take 2020, dia tidak menjangka apa-apa. Dia tahu Syarikat Tegas sekarang telah dibeli oleh Angkasa Holdings.

“Boleh jumpa pengurus kilang?” Dia bertanya Pamela ketika sampai di kilang tersebut.

Pamela merenung Mary sambil mengangguk.

“Siapa puan?” Tanya Pamela. Dia melihat diari ketuanya. Ada beberapa mesyuarat yang akan diadakan pada petang itu.

“Mary.” Mary menjawab perlahan. Dia membayangkan pengurus syarikat tersebut mesti seorang lelaki. Hatinya berdebar-debar.

“Okey Cik Mary, pengurus sedang menunggu cik di biliknya. Silakan masuk. “ Pelawa Pamela sambil membawa Mary masuk ke dalam bilik pengurus.

Demi melihatAtiqah yang sedang duduk di meja pengurus, Mary begitu terperanjat dan spontan menjerit.

“Atiqah?”

Jeritan Mary hambir membuat semua orang yang berada di luar bilik Atiqah berpaling. Pamela hanya tersenyum melihat kelakuan Mary. Dia kemudian keluar meninggalkan Mary dan Atiqah berdua.

“Apa kau buat dekat sini Iqa?”

Atiqah hanya berkunjung sekali sahaja di Syarikat Tegas ketika pengambilalihan diadakan. Ketika itu Mary tidak ada. Jadi tidak hairanlah kalau Mary terperanjat melihat kewujudannya di syarikat itu.

Atiqah ketawa kecil sambil memeluk Mary. Mesra.

“Duduklah Mary, nanti kau jatuh pengsan pula!” Atiqah mengusik sambil mengusap belakang Mary mesra.

Mary duduk di hadapan Atiqah dengan dibaluti seribu satu pertanyaan.

“Terperanjat tengok aku ada di sini?” Tanya Atiqah sambil ketawa.

Mary mengangguk. Bukan sahaja terperanjat bahkan dia tidak percaya sama sekali.

“Tahniah kerana dinaikkan pangkat pengurus pemasaran. Aku mahu kerjasama daripada kau. Ini surat appointment untuk kau dan kenaikan tangga gaji dua puluh peratus. Aku mahu kau bekerja lebih kuat lagi di sini.

Berkerut dahi Mary mendengarnya. Dia mengambil surat yang dihulurkan oleh Atiqah kepadanya. Dibacanya perlahan.

“Pengurus Besar Take 2020, Atiqah Datuk Marzuki, Iqa?” Mary menjerit lagi.

Atiqah ketawa sambil mengangguk.

“Aku macam tak percaya. Kenapa kau kerja dengan Tegas?”

Mary benar-benar tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Beberapa kali nama Atiqah dibacanya kuat-kuat.

“Panjang ceritanya Mary tapi yang penting sekarang, aku mahu kerjasama daripada kau. Aku percayakan kebolehan kau sebab tu aku melantik kau sebagai pengurus di sini. Aku tak mahu orang pertikaikan kebolehan kau dan sekali gus orang mempertikaikan keputusan aku. Aku harap kita dapat bekerja sebagai satu pasukan.” Atiqah berkata dengan penuh harapan.

Mary membaca kembali surat tawaran bekerjanya. Dia tidak mampu bersuara. Kenaikan gaji dua puluh peratus memang amat besar dirasakannya.

“Encik Badrul ke Angkasa rupanya kerja kau juga?”

Atiqah tersenyum mengiakan.

“Encik Badrul tak terperanjat tengok kau?”

Atiqah menggeleng selamba.

“Langsung tak terperanjat atau dia dah tahu siapa kau? Kau dengan dia sama aja. Habis orang Tegas kau bawa keluar. Tegas macam mana?” Tanya Mary sambil tersenyum.

Atiqah sudah merancang banyak perkara. Dia telah meminta pendapat Datuk Marzuki dan Datuk Marzuki bersetuju dengan segala rancangannya.

“Beberapa orang dari Angkasa Holdings aku letak di tegas. Kami akan besarkan dan perlukan orang-orang berpengalaman. Untuk ambil hati, Faizal diletakkan sebagai pengurus besar.” Atiqah menerangkan rombakan secara besar-besaran Syarikat Tegas kepada Mary. Mary berpuas hati dengan rombakan tersebut walaupun rasa tidak percayanya masih menebal.

“Kasmah bagaimana?”

Atiqah mengangkat tangannya.

“Itu terpulang pada Faizal. Faizal menggantikan tenpat Encik Badrul. Keputusan di tangan dia jadi dia boleh merombak apa yang dia mahu. Tapi tempat kau, aku ambil seorang dari Angkasa. Takut aku nak usik Kasmah. Marah Faizal nanti!” Atiqah menerangkan secara bergurau.

Mary ketawa besar. Atiqah ada-ada sahaja. Gasid itu tidak pernah berubah. Tegasnya bertempat dan gurauannya beradat.

“Kau anak Datuk Marzuki? Macam tak percaya aku. Datuk Marzuki selalu keluar surat khabar masa kita dekat Tegas lagi. Kau tak pernah komen apa-apa pun?” Mary masih kurang percaya.

Atiqah tersenyum. Dia tidak menyalahkan Mary namun yang lepas biarlah terus berlalu menjadi sejarah. Dia tidak ingin mengingatinya lagi.

“Malas nak beritahu. Buat apa heboh-heboh?”

“Padan muka Tuan Ahmad. Aku masih ingat lagi muka dia masa marah kau. Hiss… seronoknya aku!” Mary memeluk tubuhnya sebdiri, riang. Dia cuba membayangkan wajah Tuan Ahmad yang begitu sombong itu tentu berubah apabila mengetahui yang Atiqah anak Datuk Marzuki.

“Sudah Mary. Aku ambil kau kerja di sini bukan untuk mengumpat, perkara tu dah lepas. Dah berlalu. Aku tak lawan Tuan Ahmad sebabdia lebih tua daripada aku. Aku kena hormat ketuaannya tu.” Atiqah berlucu.

“Faizal macamana?” Tanya Mary lagi,ingin tahu.

Dia membayangkan Faizal mesti terperanjat seperti Tuan Ahmad apabila mengetahu siapa Atiqah. Anak beranak itu sama aja, fikir Mary.

“Mana aku tahu. Tak ada kena mengena aku dengan dia.” Atiqah membeliakkan matanya kemudian ketawa,

Mary ketawa besar. Gembiranya berganda hari itu. Dinaikkan pangkat, naik gaji dan lebih gembira apabila mengetahui Atiqah ialah bos barunya. Segalanya seperti mimpi.

“Hai sorry… ada tamu?”

Pintu terkuak. Nik Arif berdiri dengan senyuman menggodanya merenung Atiqah yang menepuk dahi memandangnya.

Mary menyiku Atiqah. Atiqah mengeluh perlahan. Nik Arif memang begitu, selalu masuk tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu.

“Who’s the charming guy?”

Atiqah tersenyum mendengar pertanya Mary.

Nik Arif mengangkat tangannya seolah-olah memohon maaf. Dia benar-benar tidak menyangka yang Atiqah mempunyai tamu.

“Introduce to you Mary… Nik Arif my…” Atiqag tersengih-sengih. Kata-katanya mati setakat itu sahaja. Serba salah dia melihat Mary yang bulat matanya merenung Nik Arif.

“Your husband?” Pertanyaan Mary bernada yakin.

“Not yet.” Balas Atiqah.

Dia melihat jam tangannya. Patutlah Nik Arif sudah sampai. Rupa-rupanya sudah hampir pukul satu. Lelaki itu saban hari ke kilangnya sekarang. Mengambilnya dan mereka keluar makan bersama.

“Coming soon.” Nik Arif menyampuk sambil menghulurkan tangannya pada Mary. Mereka berjabat tangan.

“This is Mary, Nik. Remember, I curi her from Syarikat Tegas!”

Mary ketawa besar mendengarnya. Dia merenung Nik Arif. Lelaki itu begitu segak dan penampilannya begitu berkeyakinan. Pandai Si Iqa ni mencari buah hati, dia berkata sendiri.

“Well sayang, nak makan kat mana ni?” Tanya Nik Arif . Tersenyum pada Mary yang asyik memandangnya sedari tadi.

“Dekat mulut.” Atiqah menjawab selamba sambil membelek-belek kertas yang berada di mejanya.

Nik Arif terkena. Jarinya laju mencucuk pinggang Atiqah.

Atiqah menepis pantas, kurang senang dengan kelakuan Nik Arif itu. Dia sebenarnya malu dengan Mary.

“Apalah Nik ni. Macam budak-budak. Dahlah masuk macam office bapak dia!” Atiqah mengejek.

Nik Arif ketawa tanpa mempedulikan Mary. Lengannya sudah memaut pinggang Atiqah. Atiqah berusaha melepaskan dirinya.

“Dia yang macam budak-budak, dia cakap kita. Ini bukan office bapak Nik tapi office bapak mertua Nik. Salah?” Nik Arif bergurau.

Mary tersenyum melihat kelakuan mereka berdua.

“Perasan… Macamlah anak Datuk Marzuki nakkan awak!”

Nik Arif ketawa lagi. Dia tidak kisah dengan kata-kata Atiqah. Dia sudah lali. Atiqah mahu atau tidak, dia akan mengusahakannya supaya Atiqah mahu mengahwininya.

“Today is you first day here Mary?” Tanya Nik Arif pada Mary yang masih tersenyum. Atiqah pernah bercerita tentang Mary padanya.

Mary mengangguk. Hari pertama dia di situ penuh dengan kejutan.

“Terperanjat datang ke sini?” Tanya Nik Arif sambil ketawa besar. Mary hairan dengan ketawa tersebut tetapi dianggukkan juga kepalanya. Tanda setuju dengan kata-kata Nik Arif. Dia menjeling Atiqah di sisi.

“Budak ni memang teruk.” Nik Arif mencubit pipi Atiqah yang sedang menyusun kertas di atas meja.

Atiqah terperanjat. Terkial-kial dia cuba melepaskan diri. Pipinya berbekas merah apabila Nik Arif melepaskan pipinya.

“Kenapa cakap macam tu?” Tanya Mary. Hairan mendengar kata-kata Nik Arif.

“I pun kena macam tu dengan dia. First, I tak tahu dia siapa, bercinta bagai nak rak. I jatuh cinta dengan dia when she was worked at your place. I cuma tahu dia anak Datuk Marzuki sebab I bump her, here. Ini this office too.”

Ah..! Mary merenung Atiqah yang pura-pura tidak mendengar tetapi senyum sendirian.

“Interesting.”

Mary ketawa besar.

Nik Arif turut melebarkan senyuman.

“First time, I feel really like a stupid person. How come I don’t know who she is?” Kadangkala bila duduk sendirian, dia memikirkan betapa tidak percayanya dia dengan apa yang dihadainya.

“Mengamuk I dibuatnya.”

Mary ketawa merenung Atiqah. Kalau Nik Arif kekasih Atiqah sendiri kena tipu, bagaimana dengan dia.

“Sekarang dah okeylah?” Mary mengusik.

“Sekarang, kalau boleh setiap saat nak kepit dia.” Nik Arif ketawa besar.

Atiqah mencebir. Kurang senang dengan kata-kata Nik Arif yang tidak ada segan-silunya di hadapan Mary.

Mary ketawa lagi.

“Menyampah betul. Cakap tu beralaslah sikit!” Atiqah mengambil beg tangannya. Kemudian menyiku perut Nik Arif yang mengelak sambil tersenyum nakal.

“Okay guys, time to move.” Atiqah menghayunkan tangannya. Menyuruh Mary dan Nik Arif keluar. Kalau mendengar cerita Nik Arif, sampai esok pun tidak habis.

“Makan kat mana?” Tanya Nik Arif merenung wajah Atiqah. Mukanya dirapatkan ke muka Atiqah.

Atiqah mengelak perlahan. Perangai Nik Arif tidak pernah berubah walaupun di hadapan orang ramai. Cuma di hadapan ayahnya sahaja Nik Arif sedikit sopan. Itu pun puas dia menjelingnya.

“Ask her to choose. Today your day, Mary.”

Mary mengerutkan dahinya. Kenapa dia pula yang kena memilih?

“Anywhere should be okay Iqa. I don’t know any place here. Like German to me?”

Atiqah ketawa besar. Mary memang suka menggunakan perkataan tersebut. Kalau dia tidak tahu sesuatu, dia akan berkata, aku tak tahu apa dia… macam Jerman aja. Bermakna tempat tersebut begitu asing baginya.

“Okeylah… kalau macam tu kita makan dekat Tembok Berlin.” Nik Arif bergurau.

Atiqah dan Mary ketawa serentak.

Lucu juga kekasih Atiqah ni, fikir Mary dalam tawa yang kian reda.

Dompet Pertama Faiz

Faiz... Faiz....
Bila tengok kawan2 dia ada dompet, dia pun sibuk nak ada dompet.
Yang bestnya dompet tu dia beli sendiri kat koperasi sekolah.
Harganya RM1.


Dompet Transformers


BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff