my nuff

Intan Permata

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas
di kaunter Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia
dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang
akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini.
“Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang
masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-
lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu
pegawai itu lagi.
“Insya’Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji
Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi
bersama isteri kesayangannya.
Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke
rumah. “Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uwei sebaik turun
dari keretanya. “Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?”
tanya Mak Pah.
“Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke
Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi
kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam
Kaabah tu dah melambai-lambai,” cerita Pak Uwei dengan
wajah berseri-seri.
“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia
dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam
senarai.”
“Betullah Pah oii…… saya ni baru je balik dari Pejabat
Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar
segera selewat-lewatnya minggu depan.” “Mana kita nak
cari duit banyak tu bang?
Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit
kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak
Pah merenung gusar wajah suaminya.
“Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis.
Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak,
cuma dua ribu seorang saja.”
Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak-
anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan
harapannya. “Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-
budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei.
“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang
pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang,
lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah
minta duit anak-anak.”
Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.
“Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah
besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan
nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita
tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak
bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan
menghampakan kita kali ni.”
Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung
digantungkan kepada anaknya. “Tapi bang………..” “Dahlah……
pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu
hala. Saya nak telefon budak-budak tu,” pintas Pak Uwei
sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya.
Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan
pulang, kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di
pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa
memberitahu hajatnya.
“Insya’Allah, Kis balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis
suruh Intan balik sama?” tanya Balkis. “Ikut suka kaulah,
bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz.
Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak
Uwei. Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi
hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan denga
Intan.
Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu
menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak
seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah.
Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab.
Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan
untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar tiga
tahun lalu.
Kini hubungan mereka seperti orang asing. “Abah tak
setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau
sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju dengan
niat Intan yang hendak bekerja kilang. “Intan dah tak
minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang.
Kerja kilang pun bukannya haram.” Bantah Intan
menaikkan darah Pak Uwei. “Aku suruh kau belajar kau
tak nak, kau nak kerja kilang.
Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak
akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak,
bolehlah buat apa yang kau sukakan.
Kau nak bebas macam tu?” “Itulah Abah, selalu nampak
yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat
KL tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje,
pokok pangkalnya hati.
Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh Abah.”
Intan cuba membuat Abahnya faham. “Kenapalah kau
seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau.
Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah
cakap macam kau ni!” “Intan memang tak sama dengan
Kak Balkis, Abah. Intan suka berterus-terang, kalau tak
kena Intan cakap depan-depan, bukan membebel kat
belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan bara
dalam dada Abahnya. “Anak tak mendengar kata, ikut
suka kaulah.
Kalau kau nak pergi, pergi….. aku dah tak larat nak
larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.”
“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu
lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak
mempedulikan langsung apa yang Intan nak buat.
Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia
bersikap selamba biarpun abahnya tidak
mempedulikannya. Intan selalu menghulur duit, tapi hanya
kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Uwei bukan
kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia
sudah rindu dengan cucu-cucunya.
Malam itu, selesai menikmati makan malam dan
berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di
ruang tamu. “Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni
ada hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara. “Hajat apa
pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya. “Abah
dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam
senarai.
Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup
lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak
banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uwei
mengutarakan hasratnya. “Boleh tu boleh Abah, tapi
kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang
simpanan buat duit muka beli rumah.
Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.
“Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat
segera selewat-lewatnya minggu depan.” “Kalau dalam
seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat.
Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka
tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az
keluarkan,” jawab Muaz serba salah. “Kau beli rumah lagi,
rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei
melindungi kekecewaannya. “Rumah baru tu besar sikit
Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah
besar, masing-masing nak bilik sendiri.
Lagipun beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan
juga,” sampuk Mira isteri Muaz. Pak Uwei terdiam,
harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam mana
Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit
kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu
nanti,” Pak Uwei berpaling pada Balkis. “Kis pun rasanya
tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan duit
simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man.
Tengah gawat ni faham ajelah…… ni tak lama lagi nak
bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati
Pak Uwei mendengar jawapan Balkis. “Man bukan tak
nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit
boleh.
Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok
pakai duit pinjaman.” “Betul kata Man tu Abah. Kalau nak
ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,”
sokong Muaz.
Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang
menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang
dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh
Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan
menghampakannya. “Tak apalah kalau kau orang tak ada
duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada
rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba
meredakan keadaan. “Kalau nak pergi sendiri dah lama
saya pergi Pah.
Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi,
biarlah kita sama-sama tak pergi….. dah tak ada rezeki
kita nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun masuk
ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.
Intan tahu Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun
orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi
Intan faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana
tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung
akan mengecewakannya begitu. “Anak awak tu tak balik
ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut
serta balik bersama dengan abang dan kakaknya.
“Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak
Pah sambil mencapai kain selendangnya. “Nak ke mana
pulak tu?” tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.
“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya
kuih lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan
suara bila menyebutnya anaknya.
Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar
membeza-bezakan anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan,
Intan bersiap-siap hendak keluar. “Nak ke mana Intan
pagi-pagi dah bersiap ni?” “Intan ada hal sikit kat bandar
mak. Intan pergi dulu ye.”
“Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,”
suruh Mak Pah. “Tak payah mak, Intan nak pergi banyak
tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Intan pergi dulu.”
Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu.
Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang
keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika
Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan
abahnya sedang menikmati juadah tengah hari. “Kau ni
Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu?
Mari makan sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai,
mak masak lemak cili api.” “Ingat lagi Abah lauk
kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh
mencapai pinggan. “Mak Bapak memang tak pernah
lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan
mak bapak,” jawap Pak Uwei sinis. Intan tersenyum
pahit.
Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan
solat Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan
abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya
sedan membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.
“Mak, Abah….. Intan ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar
Intan menghampiri mereka.
Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya.,
kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan
untuk membaca. “Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal
Pak Uwei merenung Intan.
Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya.
Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa.
Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat
kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. “Abah ni……
ke situ pulak….” “Habis tu?” “Ini….. kad Tabung Haji Mak.
Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan
duit ke akaun Mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini
dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah.
Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat
sebelum berangkat nanti.” Intan memasukkan duit itu
dalam genggaman Pak Uwei. “Apa???” Pak Uwei terkejut.
Matanya merenung Intan dan duit ditangannya bagai
tidak percaya. “Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja
dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal Abah,
terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan Abah.
Intan tak pernah dapat membahagiakan hati Abah.
Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang
Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam
Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu
Abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan
dapat tunaikan hasrat Abah.” “Dah banyak kali Abah
tangguhkan hasrat nak naik haji.
Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak
tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap
Abah sudi terima pemberian Intan,” tutur Intan perlahan
memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang
sudah berkedut dimamah usia. “Terima kasih Intan.
Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu Abah
selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang
jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja
kilang yang membantu Abah,” luah Pak Uwei sambil
mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak
yang selama ini dimusuhinya. “Sudahlah Abah.
Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan
gembira Abah sudi terima pemberian Intan.” “Pemberian
kau ni terlalu terlerai bagi Abah dan Mak kau Intan….,”
ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat. “Hah……tulah,
jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak
Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh
kesyukuran.
“Mak ni…..,” gelak Intan memandang abahnya yang
tersengih. Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam
keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak
Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan
gembira bercampur hiba. “Semua dah siap ke Mak?” tanya
Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak
Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.
“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Intan nak pesan Mak
belikan di sana nanti?” “Tak ada mak. Mak janganlah
fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak
dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.” “Hah! Awak
dengan tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan
nak membeli-belah,” tambah Pak Uwei yang turut
mendengar perbualan dua beranak itu.
“Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari
sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia
di dunia dan akhirat,” pesan Intan sambil memeluk
emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-
tiba sebak dengan permintaan Intan itu. Hanya dua jam
lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air.
Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya.
Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa
sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati.
Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai
menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan
mimpinya bertemu Intan di Tanah Suci.
Intan tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu
yang dia akan pergi jauh. “Kenapa resah aje ni Bang?”
Mak Pah terjaga. “Entahlah Pah, saya teringat sangat
dengan Intan dan anak-anak kita.” “Sabarlah, dah nak
sampai dah ni,” pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei
sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.
“Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan
dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata
menitis laju. “Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak
Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan. “Mereka
menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis
sambil mencium tangan Pak Uwei. “Intan pun tak datang
juga ke?” tanya Pak Uwei terasa hampa.
“Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di
rumah.” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama
Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga
jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama
oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan
suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.
“Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau
terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar
cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz
dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang
memandu. “Tentulah Abah ingatkan Intan, sebab Intan
yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun
terasa sayu.
“Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam
mimpi Abah tu, Abah nampak Intan macam nak beritahu
dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya
renung Abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau
Az?” “Err….. tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu
Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman. “Tak payah, dah
dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uwei.
Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari
kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan.
Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu.
Semua yang ada menitiskan air mata. “Mak dengan Abah
sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa
mentuanya. “Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit.
Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar
bila Intan tidak kelihatan. “Naik dulu Ngahnya…….,” suruh
Long Semah. “Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar
bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas
dia memanjat tangga menuju ke bilik Intan. Matanya
terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil
yang bercadar kain batik lepas.
Dadanya bergetar. “Az….. mana Intan? Mana adik kau
Az?” tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar.
Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
“Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.
“Kenapa Az…….. kenapa?”
Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan
dan melangkah laju ke bilik Intan. “Mak…. Intan dah tak
ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang
terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya
menerima berita itu.
Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak
menantu menglilinginya. Pak Uwei duduk di tepi
kepalanya. “Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita.
Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana
hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk
Long Semah yang masih belum pulang. “Intan ada
tinggalkan surat untuk kita.
Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-
rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala
salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas
pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uwei
menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.
“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa
nazaknya?” tanya Mak Pah. “Kami semua ada Mak. Dia
begitu tabah menanti detik kematiannya Mak.
Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak
kemaskan rumah.
Mak dan Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi,
tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak dia sakit
kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke
hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru
dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat
Mak... tiga hari lepas.
Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita
Muaz. Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya,
terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka
sebelum melepaskan pemergian mereka.
Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan
berpesan, “Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa
pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, Mak dan
Abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…..” “Islam
pada mulanya terasing, dan ia akan kembali terasing,
maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing”...

BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff