my nuff

Pesanan Terakhir Seorang Lelaki

BAHAGIAN 42


DATUK MARZUKI melihat diari di tangannya. Dia melihat tanda yang dibulatkan di dalam diari. Tarikh dia akan berangkat ke Mekah. Entah mengapa hatinya meronta-ronta mahu pergi.

“Mimi, panggil Baharom sekejap.” Datuk Marzuki menekan interkom.

Tidak berapa lama kemudian muncul Baharom di muka pintu.

“Ada apa Datuk?’ Baharom duduk di hadapan majikannya yang sudah seperti abangnya sendiri. Mata Baharom merenung Datuk Marzuki yang terbatuk-batuk. Sesekali lelaki itu menekan-nekan dadanya.

“Awak banyak kerja?” Tanya Datuk Marzuki tenang.

Baharom mengangguk. Sebentar tadi dia baru balik dari berjumpa Amir dan Mr.Tong, meminta laporan tentang perkembangan rancangan mereka di New Zealand.

“Tak mengapalah. Berehatlah sesekali. Saya tahu kamu bekerja terlalu kuat. Saya bangga dapat pekerja macam kamu.” Datuk Marzuki berkata lembut. Dia batuk lagi.

Sejak akhir-akhir ini Baharom dapat merasakan Datuk Marzuki seolah-olah berada di dalam kesakitan. Namun dia tidak pernah melihat Datuk Marzuki berehat di rumah.

“Datuk sakit. Datuk perlukan rehat nampaknya.”

Datuk Marzuki tersenyum. Dia mengambil frame gambar yang berisi gambar Atiqah yang sedang bersanding dengan Nik Arif. Gambar tersebut baru beberapa minngu di atas mejanya.

“Saya tak ada apa-apa. Saya rasa saya masih sihat.” Datuk Marzuki berkata tenang. Dia merenung frame yang berada di tangannya.

“Akhirnya dapat juga saya tengok Atiqah bersanding. Dia memang gadis yang cerdik dan baik.” Datuk Marzuki merenung gambar Atiqah, agak lama.

“Cuma saya sedikit terkilan Baharom. Zainab masih tak mahu memaafkan saya.” Suara Datuk Marzuki begitu rendah. Ada bibit-bibit kesayuan di hatinya.

“Aneh… masakan dia tak maafkan Datuk. Saya tengok dia begitu mesra dengan Datuk pada hari persandingan Atiqah.”

Bukan itu yang dimaksudkan oleh Datuk Marzuki. Memang Zainab begitu mesra dengannya pada hari persandingan Atiqah tetapi ada sesuatu yang membelenggu perasaannya sekarang.

“Abang minta maaf dengan apa yang abang lakukan pada awak, Zainab.” Dia berkata perlahan apabila mereka tinggal berdua sahaja. Selepas selesai berbincang tentang perkahwinan Atiqah.

“Tak mengapa bang, perkara dah lepas. Kita masing-masing dah berumur. Tak ada apa yang mahu dimaafkan lagi. Saya dah melupakannya.” Zainab berkata perlahan namun di dalam suara Zainab dia mendengar ada getaran. Dia menahan sebak di dada.

“Memang sifat manusia agaknya. Bila sedang melakukan kesalahan, kita langsung tak perasan apa yang dah kita lakukan. Tapi bila masa berlalu barulah kita sedar, kita sebenarnya dah melakukan kesilapan.” Datuk Marzuki membalas. Dia mahu Zainab mengerti bahawa di kesal dengan apa yang berlaku.

“Alangkah bagusnya Zai kalau kita dapat bersama semula. Bersama anak kita Atiqah dalam satu bumbung. Abang rindukan saat-saat begitu.”

Puan Zainab dapat mengesan kelainan dalam kata-kata Datuk Marzuki itu.

“Isteri abang mana? Tak nampak-nampak sejak saya datang ke sini?”

Dia mendengar suara Zainab tenang. Ada sesuatu yang mengocak perasaannya. Sesuatu yang sejak akhir-akhir ini disimpannya. Mendengar pertanyaan Zainab membuat persoalan tersebut timbul semula.

“Rasanya tak payahlah abang ceritakan pasal dia.” Datuk Marzuki tidak mahu nama Zakiah timbul ketika dia berbincang dengan Zainab.

“Kenapa?’ Tanya Zainab ragu-ragu.

Datuk Marzuki menggeleng. Di a tahu sebagai lelaki dan sebagai suami, dia tidak boleh berdiam diri dengan kata-kata orang sekeliling.

“Tak ada jodoh Zai. Mungkin abang dah tua. Penat melayan kerenah perempuan muda sekarang.” Dia ketawa kecil. Dia melihat Zainab tersenyum. Mungkin Zainab memikirkan yang dia masih seperti dahulu. Suka merapati perempuan muda.

“Dia public figure. Semakin abang tua abang nahukan seorang perempuan yang boleh menyambut abang dengan senyuman ketika abang balik. Abang sekarang tak suka balik dengan rumah kosong dan hanya disambut orang gaji. Mungkin faktor umur Zai.”

Kedengaran agak aneh pendapat Datuk Marzuki di telinga Zainab. Namun hanya dianggukkan kepalanya.

“Bila difikirkan balik, abang merasakan betapa bodohnya abang. Abang terlalu mengejar keduniaan. Terlalu mengejar impian. Penghabisan, ini jadinya. Abang tak mempunyai anak selain daripada Atiqah. Basib baik Atiqah seorang anak yang baik. Abang pula sudah terlalu banyak melukakan hatinya.”

Hidup ini memang tidak seperti yang dijangka, fikir Datuk Marzuki. Mengejar untuk mendapatkan sesuatu, terpaksa melepaskan apa yang telah dimiliki. Tidak semua yang kita inginkan akan kita dapat.

“Segalanya dah berlaku bang. Kita masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Apa yang nak kita kesalkan. Segalanya tak boleh diputar semula. Kita terpaksa menerima hakikatnya.” Sudah bertahun-tahun perkara tersebut berlaku. Zainab sudah melupakannya. Sakit di hati sudah terubat walaupun parutnya masih ada. Melihat apa yang dilakukan oleh Datuk Marzuki di hadapan matanya membuat hatinya tawar.

“Abang benar-benar kesal…” Suaranya bergetas. Kekesalan yang lahir dari lubuk hati yang ikhlas.

Aku yang melakukan dan sekarang aku menerima padahnya. Datuk Marzuki berkata sendiriaan. Hidup kesunyian walaupun harta melimpah ruah. Rupa-rupanya di dalam kehidupan terlalu banyak orang yang berpura-pura. Mendekatinya hanya kerana kemewahan yang dia ada.

“Tak ada apa yang nak dikesalkan bank. Abang semakin kaya. Bukankah itu yang abang cita-citakan dulu? Menjadi orang kaya dan ternama. Abang dah dapat sekarang. Apa yang mahu dikesalkan?’

Zainab menyindir, fikir Datuk Marzuki.

“Kemewahan tak membawa kita ke mana-mana rupanya…” Dia mengeluh sendirian. Diusik sebak.

Dahulu dia masih ingat betapa bahgianya dia walaupun mereka tidak semewah mana. Setiap kali dia pulang ke rumah, Zainab dan Atiqah menyambutnya dengan senyuman. Kemudian mereka akan makan bersama, sembahyang bersama dan berbincang apa sahaja bersama. Dia benar –benar rindukan saat tersebut.

“Kenapa Datuk cakap macam tu?” Baharom yang berada di hadapannya bertanya.

Datuk Marzuki tersentak dari lamunan. Baharom dipandangnya tanpa berkelip.

“Apa yang saya cakap tadi Baharom?” Tanya Datuk Marzuki.

Baharom mahu sahaja ketawa. Datuk Marzuki memang sedang berkhayal.

“Datuk cakap, kemewahan sebenarnya tak membawa kita ke mana-mana.” Baharom mengulangi kata-kata Datuk Marzuki sebentar tadi.

Datuk Marzuki tersenyum. Mengangguk.

“Saya rasa tak sabar lagi mahu ke Mekah.” Kata-kata yang keluar dari kerongkongnya seolah-olah menggegarkan seluruh tubuhnya. Dia tidak tahu kenapa sejak akhir-akhir ini dia menjadi semakin tidak sabar mahu menjejakkan kaki di tanah suci itu.

“Tak lama lagi Datuk. Sabarlah. Setiap niat yang baik itu insya-Allah Tuhan akan dorong kita. Saya yakin Datuk akan dapat menjejakkan kaki ke sana.” Baharom memujuk.

Sejak akhir-akhir ini Datuk Marzuki lebih banyak bercerita tentang kehidupan seharian daripada bercerita tentang perniagaan. Lelaki itu macam tidak berminat lagi menjalankan perniagaan. Atiqah sahaja yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh.

“Andai kata saya tak pulang lagi, barulah kamu beritahu Zainab rahsia MZA.” Datuk Marzuki merenung Baharom lemah. Dia memenag mempercayai Baharom. Baharom seperti tangan kanannya. Sejak Zakiah meninggalkannya, pada Baharomlah segala masalah dicurahkan. Mahu memberitahu Atiqah, dia rasa bersalah. Atiqah terlalu sibuk dengan perniagaan yang cuba dilepaskan sedikit demi sedikit pada anaknya itu.

“Itu saja yang dapat membalas dosa saya pada Zainab.” Datuk Marzuki menyambung kata. Entah berapa puluh kali Baharom mendengarnya. Selagi Datuk Marzuki mahu mengatakan perkara yang sama, dibiarkan. Sejak akhir-kahir ini juga, Datuk Marzuki selalu mengimbau kenangan lama. Dia tidak berdaya untuk membantu meringankan beban masalah dan perasaan bersalah Datk Marzuki itu. Dia Cuma mampu untuk menjadi pendengar yang baik. Memadailah, bisik hatinya.

“Saya benar-benar kasihankan Atiqah. Andai kata terjadi sesuatu pada saya nanti, tolonglah Atiqah. Saya tahu suaminya baik, Cuma lelaki kadangkala tak dapat dijangka. Selagi kamu hidup Baharom, saya mahu kamu memerhatikan Atiqah. Tolong perhatikan Nik Arif. Tegur mereka berdua jika perlu.” Kata-kata Datuk Marzuki memang aneh, seperti orang buang tabiat. Jodoh, ajal maut semuanya di tangan Tuhan, bisik hatinya.

“Insya-Allah Datuk. Itu pun kalau saya masih ada lagi. Manalah tahu kalau-kalau saya yang pergi dulu daripada Datuk.” Baharom berkata sambil ketawa kecil.

“Saya yakin Bahrom, saya yang pergi dulu, bukan awak!”

Baharom hanya tersenyum mendengar kata-kata Datuk Marzuki itu. Dalam dunia ini semuanya berkemungkinan. Segalanya boleh berlaku walaupun perkara yang tidak dapat diterima akal. Apa yang hendak dihairankan kalau dia pergi dulu. Bukan dia yang menentukan ajal maut orang.

“Kita tak tahu Datuk, ajal maut semuanya di tangan Tuhan.” Baharom berkata perlahan, cuba memujuk.

“Yalah betul kata kamu Baharom tapi saya amat yakin, saya yang akan pergi dulu.”

Baharom merasakan kelainannya namun dia tidak mahu mengulas lebih lanjut. Biarlah Datuk MArzuki dengan perasaannya sendiri. Dia Cuma mampu berdoa untuk kesejahteraan majikannya itu.

“San saya minta satu, Baharom. Saya mahu awak ikut saya ke sana nanti.”

Baharom mengerutkan dahinya. Tersentak dengan permintaan tersebut.

“Tapi Datuk…” Baharom mahu bersuara tetapi terhenti apabila dia melihat Datuk Marzuki mengangkat tangannya.

“Segalanya saya tanggung. Saya rasa saya perlukan awak di sana nanti.”

Baharom mahu membantah namun dia merasakan permintaan Datuk Marzuki tidak seharusnya dihampakan.




Bahagian sebelumnya boleh baca DISINI




BEN ASHAARI

Yang Popular

Google+ Followers

Terima Kasih Sahabat

my nuff